Demi Allah, saya tidak ada uzur yang menghalang


 

Tafsir Al-Quran
Surah at-Taubah : 117 – 119

“Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, orang-orang Muhajirin dan Ansar, yang mengikut Nabi dalam kesulitan. Setelah hati segolongan mereka hampir berpaling. Kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Dia (Allah) terhadap mereka (yang tersebut) itu Maha Pengasihan Belas lagi Maha Penyayang (117)  Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka). Hingga apabila bumi sudah menjadi sempit kepada mereka. Pada hal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit oleh mereka, serta mereka mengetahui tidak ada lagi tempat lari dari (seksa) Allah melainkan kepada-Nya juga. Kemudian Allah menerima taubat mereka agar tetap di dalam taubat mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang (118) Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan jadikanlah kamu tetap bersama-sama orang-orang yang benar.” (119)

Huraian ayat 

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 117,


            “Sesungguhnya Allah telah menerima taubat Nabi, …

            Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa Dia memberi kemaafan kepada Nabi SAW yang memberi keizinan kepada orang-orang munafik yang tidak ikut serta dalam peperangan Tabuk. Perang Tabuk ialah peperangan terakhir yang dipimpin oleh Nabi SAW yang berlaku pada bulan Rejab tahun ke 9 Hijrah. Perang ini juga dikenali sebagai perang al-‘Usrah yang bererti perang kesulitan kerana berlaku di musim panas yang terik, ditambah lagi jarak antara Madinah dan Tabuk ialah 610 km.

            Perang ini terjadi apabila Nabi SAW menerima maklumat bahawa tentera Rom yang dipimpin oleh Kaisar Herculis sedang menyiapkan bala tenteranya untuk menyerang kota Madinah. Justeru Nabi SAW memerintahkan kepada para sahabat,

            “Wahai kaum muslimin ! ketahuilah sesungguhnya aku hendak memerangi orang Rom. Oleh itu bersiap sedialah kamu semua”.

            Dalam suasana kaum muslimin bersiap siaga seramai 30 000 orang untuk berangkat ke medan Tabuk, orang-orang munafik pula memberi pelbagai alasan untuk mengelakkan diri daripada peperangan ini. Antaranya ialah al-Jad bin Qais bin Sakhar. Katanya kepada Nabi SAW,

            “ Ya Rasulullah, izinkan saya tinggal di Madinah sahaja. Tapi jangan pula tuan memfitnah saya. Demi Allah saya khuatir, jika saya melihat perempuan Rom, nafsu saya tidak boleh dikawal. Saya adalah seorang lelaki yang sangat mudah tertarik dengan kecantikkan wanita”.  Jawab Nabi SAW, “Aku izinkan engkau untuk tidak turut serta”.

            Mendengar Nabi SAW memberi perlepasan kepada al-Jad bin Qais bin Sakhar, maka berduyun-duyunlah lagi orang-orang munafik seramai 80 orang berjumpa Nabi SAW untuk meminta izin bagi dikecualikan daripada menyertai peperangan ini. Tindakan Nabi SAW memberi keizinan kepada  mereka tanpa usul periksa sama ada alasan yang diberikan itu benar atau tidak telah ditegur oleh  Allah SWT. 

            Firman Allah SWT lagi,


            “….orang-orang Muhajirin dan Ansar, yang mengikut Nabi dalam kesulitan setelah hati segolongan mereka hampir berpaling…..

            Allah SWT juga menjelaskan Dia menerima taubat orang-orang Muhajirin dan Ansar yang menyertai peperangan ini. Disebabkan  keadaan yang sukar sewaktu menuju ke Tabuk, rasa lapar, dahaga dan panas sehingga ada di kalangan sahabat yang mengeluh, “bilakah agaknya kita akan terlepas dari kesengsaraan ini”.

            Saidina Abu Bakar a.s yang terkenal dengan kesabarannya turut memohon supaya Rasulullah SAW mendoakan mereka, “ Ya Rasulullah, tuan seorang yang dimakbulkan doa, doakanlah kebaikan buat kami”. Berkat doa Nabi SAW, maka  turunlah hujan ke atas mereka dengan selebat-lebatnya.

            Firman Allah SWT di hujung ayat,
           
           
            “…Kemudian Allah menerima taubat mereka itu. Sesungguhnya Dia (Allah) terhadap mereka (yang tersebut) itu Maha Pengasihan Belas lagi Maha Penyayang” (117) 

            Allah SWT menyatakan sikap mereka yang berkeluh kesah semasa bersama Nabi SAW itu diampunkan-Nya kerana Dia adalah Tuhan yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

            Firman Allah SWT pada pangkal ayat 118,


            “ Dan terhadap tiga orang yang ditangguhkan (penerimaan taubat mereka)..
           
            Ayat ini turun khusus kepada 3 orang sahabat Nabi SAW tidak menyertai peperangan ini. Ketika tentera muslimin sudah mula berangkat ke Tabuk, Nabi SAW sedar ada 3 orang sahabat baginda yang turut tidak serta dalam peperangan.  Mereka ialah Kaab bin Malik, Mararah bin Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah. Mereka  bukanlah golongan munafik, malah sahabat-sahabat yang mempunyai keislaman yang sejati.

            Kaab bin Malik pada mulanya menangguh pemergiannya ke Tabuk kerana tidak ada kenderaan. Tetapi setelah membeli kenderaan, Kaab berlengah-lengah sehinggalah dia tertinggal ketika tentera Islam sudah mula jauh  meninggalkan kota Madinah. 

            Manakala dua orang lagi iaitu Mararah bin bin Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah tidak pergi kerana leka dengan buah-buahan yang sedang ranum di kebun mereka, di samping musim panas yang begitu terik.

Nabi SAW dan  tentera muslimin pulang ke Madinah

            Sebaik sahaja tiba di Tabuk, Nabi SAW mengatur kedudukan tentera muslimin. Namun setelah sekian lama menunggu, tentera musuh tidak muncul. Ahli sejarah berbeza pendapat, ada yang mengatakan tentera Rom tidak pernah bersedia untuk menyerang Madinah. Namun ada juga pendapat yang mengatakan tentera Rom merasa takut untuk berdepan dengan kekuatan tentera muslimin.

            Nabi SAW kemudian mengarahkan tentera muslimin balik semula ke Madinah dengan membawa kemenangan moral apabila tentera musuh merasa kecut untuk berdepan dengan tentera muslimin walaupun berada di tempat mereka.

            Sampai di Madinah, sekali lagi 80 orang munafik yang tidak ikut serta dalam peperangan ini mengadap Nabi SAW memohon kemaafan dari baginda dengan memberi pelbagai alasan yang semuanya adalah dusta sama sekali. Namun Nabi SAW tetap memaafkan mereka. 

            Apabila sampai giliran Kaab bin Malik mengadap, beliau memberi salam kepada Rasulullah SAW, namun salam itu dijawab oleh Nabi SAW dengan senyuman sinis. Sabda Nabi SAW,

            “ Mengapa kamu tidak turut berangkat ke Tabuk ?”

        Kaab menjawab dengan jujur dan berterus terang. Beliau tidak mahu berdusta dseperti orang-orang munafik kerana akibatnya akan mengindang kemurkaan Allah SWT.

            “Demi Allah ! Saya tidak ada uzur yang menghalang saya untuk menyertai peperangan ini ya Rasulullah. Demi Allah ! Sesungguhnya saya belum pernah mempunyai kekuatan dan kelapangan seperti waktu saya ketinggalan dari tuan, ketika berangkat ke Tabuk”.

            Mendengar pengakuan jujur Kaab bin Malik, Nabi SAW bersabda :

            “Ada pun tentang perkara ini engkau adalah benar. Maka pergilah engkau sehingga Allah memberi keputusan  mengenai engkau”.

          Kemudian datang pula Mararah bin bin Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah di hadapan Nabi SAW. Mereka juga membuat pengakuan yang sama seperti Kaab bin Malik, tidak mahu berdusta dengan Rasulullah SAW. Rasulullah SAW memberi jawapan sama seperti baginda memberi jawapan kepada Kaab bin Malik.

 Hukuman ke atas mereka bertiga

            Nabi SAW mengarahkan para sahabat memulaukan mereka selama 50 hari 50 malam. Mereka tidak boleh berbicara dengan sesiapa dan tidak boleh duduk di tempat ramai. Hanya isteri sahaja yang boleh mendekati mereka. Justeru mereka merasakan bumi ini begitu sempit dan inilah yang disebut oleh Allah SWT,


            “…Hingga apabila bumi sudah menjadi sempit kepada mereka. Pada hal bumi itu luas dan jiwa mereka pun telah sempit oleh mereka, serta mereka mengetahui tidak ada lagi tempat lari dari (seksa) Allah melainkan kepadaNya juga…..

            Namun setelah masuk hari ke 41, satu lagi hukuman berat menimpa mereka di mana Nabi SAW mengarahkan pula isteri-isteri mereka supaya tidak mendekati mereka bertiga dalam erti kata lain melayani atau meniduri mereka.  Isteri Hilal bin Umaiyah telah datang merayu kepada Nabi SAW,

            “Ya Rasulullah !, sesungguhnya Hilal adalah seorang yang sudah berusia lanjut dan lemah. Dia tidak mempunyai pelayan untuk membantunya, maka izinkanlah aku menjadi pelayannya” Nabi SAW menjawab, “Tidak”. Setelah dia mendengar Nabi SAW tidak membenarkannya, sekali lagi dia merayu, “ Ya Rasulullah !, Demi Allah ! Dia selalu menangis sejak terjadinya peristiwa itu”. Demi Allah !, Dia tidak ada keinginan lagi kepadaku”.

            Setelah Nabi SAW mendengar cerita dari isteri Hilal, maka timbullah perasaan kasihan Nabi lalu baginda membenarkan isteri Hilal menjaga Hilal seperti hari-hari biasa.

            Apabila isteri Kaab bin Malik  mendapat tahu bahawa isteri Hilal bin Umaiyah mendapat keizinan daripada Nabi SAW untuk menjaga suaminya lalu dia berkata,

            “Alangkah baiknya jika engkau pergi meminta izin daripada Rasulullah SAW agar baginda mengizinkan aku melayani engkau sebagaimana baginda telah memberi izin kepada isteri Hilal untuk melayani suaminya”.

            Jawab Kaab bin Malik,

            “ Demi Allah ! Aku tidak tahu apa yang aku hendak ucapkan nanti kepada Rasulullah kerana aku masih muda. Dengan itu aku tiada alasan untuk meminta izin daripada baginda agar engkau dapat melayaniku”.

            Sejak di pulau, Mararah bin Rabi’ dan Hilal bin Umaiyah hanya duduk di rumah sahaja. Adapun Kaab bin Malik masih keluar ke masjid dan juga ke pasar tidak mahu rasa dirinya terpulau. Walaupun tidak ada seorang pun yang sudi bercakap-cakap dengannya apatah lagi memandang wajahnya, dia tetap mahu menjadi sahabat Nabi SAW yang baik serta tidak mahu menderhaka kepada Allah dan juga Rasul-Nya.

            Satu hari Kaab bin Malik telah bersua dengan Nabi SAW di masjid. Dia memberi salam kepada Rasulullah SAW setelah baginda selesai mendirikan solat sunat. Tetapi Nabi SAW tidak menjawab salam Kaab. Pada hari yang lain Kaab bin Malik turut sama-sama bersembahyang dengan Nabi SAW dan cuba mengamati-amati sikap Nabi SAW kepadanya. Manlah tahu kalau Nabi sudah berubah dan mahu bermesra dengannya. Tetapi Nabi SAW tetap dengan pendirian iaitu memulaukan.

            Pernah satu ketika, sewaktu beliau memandang ke arah lain, Kaab perasan yang Nabi SAW memandang kearahnya. Dengan segera beliau berpaling ke arah Nabi SAW , maka dengan  segera pula Nabi SAW mengalihkan pandangan baginda ke arah lain. Maka terasa benarlah kepada Kaab yang Nabi SAW memang tidak sudi untuk memaafkannya.

Allah mengampuni mereka

            Firman Allah SWT di penghujung ayat,


            “Kemudian Allah menerima taubat mereka agar tetap di dalam taubat mereka. Sesungguhnya Allah itu Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang ”(118)

            Setelah genap hari ke 50 di pulaukan, ketika Kaab bin Malik baru sahaja selesai menunaikan solat Subuh, terdengarlah padanya satu suara yang menyeru,

            “Wahai Kaab bergembiralah engkau !”

           Tahulah Kaab bahawa itulah adalah utusan Rasulullah SAW yang disuruh datang memberitahu bahawa dosanya dan dua orang lagi sahabatnya telah diampunkan oleh Allah SWT. Sebaik sahaja Kaab mendengar berita gembira ini, beliau menjatuhkan dirinya ke atas tanah dan terus sujud kepada Allah SWT.

            Ketika Kaab bin Malik datang mengadap Rasulullah SAW beliau bertanya,

        “Ya Rasulullah, adakah keampunan ini datangnya dari tuan atau dari Allah SWT ? ” Rasulullah SAW menjawab, “Bukan dari saya, tetapi datangnya dari Allah SWT”. Kaab kemudian berkata kepada Nabi SAW,   “ Oleh kerana taubat ini telah diterima oleh Allah SWT, maka aku hendak sedekahkan segala harta bendaku kepada Allah dan juga Rasul-Nya”. Nabi SAW menjawab pula, “ Tahanlah atas sebahagian harta engkau itu, kerana itulah yang terlebih baik  bagimu”.  

            Demikianlah kisah penerimaan taubat oleh Allah SWT ke atas tiga orang sahabat Nabi SAW yang bersalah kerana tidak hadir dalam peperangan Tabuk.

            Firman Allah SWT pada ayat 119,


          “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan jadikanlah kamu tetap bersama-sama orang-orang yang benar”. (119)

           Dalam ayat ini Allah SWT menyeru orang-orang yang beriman agar bertaqwa kepada-Nya dan bersama-sama orang yang benar. Kaab bin Malik berserta 2 orang rakannya boleh berbohong untuk mengelakkan diri di hokum oleh Rasulullah SAW seperti mana pembohongan yang dilakukan oleh orang-orang munafik. Tetapi mereka memilih untuk bercakap benar dengan rasuulullah SAW. Dengan bercakap benar, mengaku kesalahan dan menyesal di atas apa yang telah berlaku akhirnya Allah SWT menerima taubat mereka sekaligus menunjukkan keimanan mereka yang sejati.

            Kata Kaab bin Malik,

            “Syukur aku kepada Allah, aku tidak berdusta dengan Nabi SAW”.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu