Janji Allah kepada Nabi
Tafsir Al-Quran
“ Sesungguhnya telah nyata bagi setiap orang yang berakal, bahawa Muhammad itu bukanlah tukang sihir atau penyair! Kata-katanya Kalam Tuhan semesta alam. Maka, benarlah semua yang memiliki hati untuk mengikuti baginda.”
Untuk memasuki kota Mekah Rasulullah telah mengatur beberapa strategi. Antaranya memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat pasukan dan masuk ke Mekah melalui empat penjuru. Rasulullah SAW memerintahkan tentera Islam supaya tidak melakukan kekerasan apatah lagi pembunuhan melainkan kalau tepaksa.
Akhirnya pada 10 ramadhan tahun ke 8 Hijrah bersamaan 630 M Rasulullah SAW dan tentera muslimin berjaya measuki kota Mekah tanpa tentangan. Selesai sahaja Mekah dmasuki, maka Rasulullah SAW melakukan tawaf, mencium Hajar Aswad dan mengarahkan sahabat supaya memusnahkan berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah. Baginda kemudian memaaf dan membebaskan penduduk Mekah yang suatun ketika dahulu sangat kuat menentang Islam.
Surah
al-Fath : 27-28
Sesungguhnya Allah akan membuktikan
kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya bahawa kamu pasti
akan memasuki Masjidil Haram dengan izin Allah secara aman, dengan mencukur
rambut kepala dan mengguntingnya, tanpa perasaan takut. Dan Allah mengetahui
apa yang kamu tidak tahu dan di samping itu Dia akan memberikan satu kemenangan
dalam masa yang terdekat kepadamu (27) Dialah yang mengutus Rasul-Nya dengan
membawa pertunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap semua
agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi (28)
Huraian ayat
Firman Allah SWT,
“Sesungguhnya Allah akan
membuktikan kepada Rasul-Nya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya …..”
Pada tahun ke 6 hijrah Nabi SAW bermimpi
mengerjakan umrah, dan mimpi baginda
dikongsi dengan para sahabat. Bila mendengar mimpi ini, para sahabat
khususnya golongan muhajirin merasa rindu untuk pulang ke kampung halaman
masing-masing di Mekah.
Maka pada tahun yang sama bulan
Zulka’dah, berangkatlah Nabi SAW bersama 1400
orang sahabat menuju ke Mekah untuk mengerjakan umrah, tanpa niat untuk
berperang. Mereka membawa 70 ekor unta
untuk di jadikan korban. Setelah berjalan kira-kira 14 km, maka sampailah Nabi
SAW dan rombongan di suatu tempat yang bernama Zulhulaifah. Di situ Nabi SAW
memerintahkan kepada para sahabat agar memakai pakaian ihram dan berniat ihram
umrah. Kemudian rombongan umrah ini meneruskan perjalanan sambil bertalbiah
dalam keadaan bersemangat.
Apabila sampai di Hudaibiyah, lebih kurang 21
km sebelum sampai ke Mekah rombongan ini telah berhenti rehat. Melalui risikan yang baginda terima, Rasulullah
SAW mendapat tahu orang-orang musyikin Mekah dengan segala kekuatan akan menghalang kedatangan
baginda dan ahli rombongan umrah.
Justeru untuk meredakan hal ini Nabi SAW
meminta Saidina Omar bin al-Khattab pergi ke Mekah untuk memberitahu orang-orang Quraisy bahawa kedatangan
baginda dan sahabat bukan untuk
berperang tetapi untuk mengerjakan umrah.
Menerima sahaja perintah Nabi SAW ini
maka Saidina Omar berkata,
“Ya Rasulullah aku khuatir orang-orang Quraisy akan
mengambil tindakan ke atasku. Kerana di Mekah
tidak ada Bani Adi bin Kaab yang akan melindungiku. Oleh itu aku mencadangkan lelaki yang lebih
layak membawa pesanan ini ialah Othman bin Affan”.
Mendengar kata-kata Saidina Omar, maka Rasulullah
SAW kemudian menyuruh Saidina Othman menyampaikan pesanan itu. Maka
berangkatlah Saidnia Othman ke Mekah bagi melaksanakan amanah Rasulullah SAW
tersebut. Malangnya setelah beberapa
hari Saidina Othman di Mekah, beliau tidak pulang ke Hudaibiyah sehingga timbul
khabar angin yang mengatakan beliau
telah di bunuh oleh musyirikin Mekah.
Marah dengan
berita ini, umat Islam telah berkumpul di bawah sebatang pokok Samrah dan
bersumpah untuk menuntut bela di atas kematian Saidina Othman. Sumpah ini
dikenali sebagai baiatur Ridwan. Sabda Rasulullah SAW,
“Kamu adalah sebaik-baik
manusia di muka bumi. Hari ini, tidak dimasukkan
ke dalam neraka seorang pun yang membuat baiah di bawah pohon ini.”
Berita Rasulullah SAW membuat
baiatur Ridwan telah sampai kepada orang-orang musyrikin Mekah. Mereka sangat
gerun dengan perpaduan umat Islam untuk membela kematian Saidina Othman. Akhirnya mereka membebaskan Saidina Othman
di samping menghantar wakil untuk berunding dengan Rasulullah SAW. Maka
berlakulah dalam sejarah Islam apa yang dinamakan perjanjian Hudaibiyah.
Di
antara isi perjanjian Hudaibiyah ialah gencatan senjata di antara kedua belah
pihak selama 10 tahun. Di samping itu
umat Islam tidak dibenarkan memasuki kota Mekah pada tahun tersebut sebaliknya
mereka dibenarkan datang mengerjakan umrah pada tahun berikutnya dengan syarat
hendaklah keluar dari kota Mekah selepas 3 hari.
Selain
itu mana-mana pihak sama ada Madinah atau Mekah berhak membuat perjanjian
diplomatik dengan mana-mana suku atau kabilah tetapi jika suku-suku atau
kabilah ini berperang antara satu sama lain, mereka tidak boleh membantu
sekutu-sekutu yang mengikat perjanjian dengan mereka. Jika mana-mana
orang Quraisy menyerah kepada Nabi Muhammad SAW tanpa izin walinya maka
hendaklah dikembalikan kepada wali mereka, sebaliknya mana-mana orang Islam
yang menyerah diri kepada orang-orang Quraisy tidak perlu dikembalikan kepada
Rasulullah.
Setelah termeterai perjanjian ini
maka Rasulullah SAW mengarahkan sahabat supaya menyembelih unta dan bercukur
kepala. Malangnya arahan Nabi SAW ini tidak dihiraukan oleh sahabat kerana
mereka tidak boleh menerima hakikat bahawa mereka perlu kembali semula ke
Madinah tanpa masuk ke Mekah seperti yang mereka rancangkan. Para sahabat
merasakan mereka tidak patut mengalah dengan kehendak musyrikin Mekah seperti
yang telah termeterai dalam perjanjian ini Hudaibiyah.
Setelah Nabi SAW melihat para sahabat
tidak mematuhi arahan baginda, Rasulullah SAW marah dan terus masuk ke khemah
dan menceritakan perihal kekecewaan baginda kepada isterinya yang bernama Ummu
Salamah. Kata Ummu Salamah,
“ Ya Rasulullah ! Janganlah tuan
pedulikan mereka semua. Sembelihlah ternakan tuan dan panggillah orang mencukur
rambut tuan. Janganlah tuan bercakap-cakap dengan sesiapa pun”.
Selepas mendengar nasihat dari
isterinya, Nabi SAW kemudian keluar dari khemah baginda seterusnya menyembelih
unta ternakannya, kemudian memanggil tukang cukur untuk mencukur rambut
baginda. Melihat perbuatan Nabi SAW itu, akhirnya para sahabat berubut-rebut
meniru pekerjaan baginda iaitu menyembelih unta korban masing-masing serta
mencukur rambut. Jumlah unta yang disembelih ialah 70 ekor. Setiap sahabat
diberi satu bahagian daripada 7 bahagian daging yang disembelih itu.
Firman Allah SWT,
“…..bahawa kamu pasti akan memasuki
Masjidil Haram dengan izin Allah secara aman, dengan mencukur rambut kepala dan
mengguntingnya, tanpa perasaan takut….
Pada tahun berikutnya (bulan
Zulka’dah tahun 7 Hijrah), seperti yang telah termeterai dalam perjanjian
Hudaibiyah, Nabi SAW dan umat Islam telah menuju ke Mekah semula dan berjaya
menyempurnakan umrah secara aman tanpa gangguan. Umrah ini dikenali sebagai umrah
Qadak dengan jumlah ahli seramai 2000 orang. Inilah penunaian janji Allah SWT
bahawa Nabi dan umat Islam pasti akan memasuki kota Mekah dalam keadaan aman
dan selesa.
Sewaktu Nabi SAW tiba di Mekah,
orang-orang musyrikin berbaris di pintu Darun-Nadwah,
ingin melihat baginda dan para sahabat mengerjakan umrah. Mereka menyebarkan
berita palsu yang kononnya rombongan umat Islam dalam keadaan letih, sakit dan
demam. Untuk menunjukkan kekuatan umat Islam, Nabi SAW dan sahabat telah
berlari-lari anak semasa tawaf pusingan pertama, kedua dan ketiga bagi
menafikan berita palsu tersebut.
Setelah 3 hari Nabi SAW di Mekah dan seperti
yang telah dipersetujui dalam perjanjian Hudaibiyah, maka baginda serta ahli pun
pulang semula ke Madinah. Di pertengahan jalan, di tempat yang bernama Sarif,
Nabi SAW melangsungkan perkahwinan dengan Maimunah binti al-Harith yang
merupakan perkahwinan baginda yang terakhr. Maimunah binti al-harith saudara
perempuan kepada isteri Abbas bin Abdul Muttalib, bapa saudara Nabi SAW.
Antara yang
turut hadir semasa majlis perkahwinan ini ialah Khalid bin al-Walid iaitu anak
saudara kepada Maimunah binti al-Harith. Setelah selesai majlis perkahwinan
itu, Khalid al-Walid telah mengisytiharkan dirinya memeluk Islam dengan
katanya,
“ Sesungguhnya telah nyata bagi setiap orang yang berakal, bahawa Muhammad itu bukanlah tukang sihir atau penyair! Kata-katanya Kalam Tuhan semesta alam. Maka, benarlah semua yang memiliki hati untuk mengikuti baginda.”
Ada
juga pendapat yang mengatakan Nabi SAW sudah bernikah dengan Maimunah binti
al-Harith semasa baginda di Mekah lagi dalam keadaan masih berihram. Dalilnya
sebuah hadis daripada Bukhari dan Muslim,
“Sesungguhnya diriwayatkan oleh Rawad bin Abbas
bahawa nabi SAW bernikah dengan Maimunah binti al-Harith sedang baginda dalam
ihram”.
Berdasarkan hadis di atas, sebahagian fuqaha
membolehkan akad nikah dalam keadaan ihram haji atau umrah. Namun pendapat yang
paling kuat dan rajih menurut jumhur ulama ialah haram dan tidak sah bernikah
dalam keadaan ihram haji atau umrah merujuk kepada dalil hadis yang
diriwayatkan oleh Uthman bin Affan yang bermaksud,
“Orang yang ihram (sedang mengerjakan
haji atau umrah) tidak boleh mengahwinkan, tidak boleh dikahwinkan dan tidak
boleh meminang”. (HR Muslim)
Firman Allah SWT seterusnya,
“…...Dan Allah mengetahui apa yang
kamu tidak ta.....
Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan,
hikmah daripada perjanjian Hudaibiyah itu tidak diketahui oleh sahabat.
Walaupun nampak berat sebelah, tetapi sebenarnya ia memberi kemenangan kepada
umat Islam. Ia adalah kunci pembukaan kota Mekah.
Semasa Nabi SAW memeterai perjanjian
Hudaibiyah, ada sahabat yang tidak berpuas hati dengan perjanjian ini, kerana
pada zahirnya ia memberi keuntungan kepada kaum musyrikin. Di antara sahabat
yang tidak berpuas hati ialah Saidina Omar bin al-Khattab r.a,
Beliau telah menemui Saidina Abu
Bakar as-Siddiq dan berbincang dengan percakapan dialog seperti berikut :
“Wahai
Abu Bakar, bukankah dia Rasulullah ? Jawab Saidina Abu Bakar,
Ya memang !. Tanya Saidina Omar, bukankah kita ini muslimin ? Jawab Saidina
Abu Bakar : Ya memang !. Tanya
lagi Saidina Omar, Bukankah mereka itu musyrikin ? Jawab Saidina Abu Bakar, Ya
memang !. Tanya Saidina Omar, Kenapakah kita mahu direndahkan oleh mereka itu dalam
soal agama kita? Jawab Saidina Abu Bakar, Wahai Umar ! Duduklah di tempat kamu,
aku bersaksi bahawa dia Rasulullah SAW”.
Kemudian Saidina Umar Al-Khattab
kembali menemui Rasulullah SAW dan mengulangi soalan yang sama ditujukan kepada
Saidina Abu Bakar as-Siddiq. Rasulullah SAW menjawab kepadanya,
“Sesungguhnya aku ini hamba Allah
dan Rasul-Nya, aku tidak akan melanggar perintah-Nya dan Dia tidak akan
menyesatkan aku !”
Firman Allah SWT di hujung ayat 27,
“…dan di samping itu Dia akan
memberikan satu kemenangan dalam masa yang terdekat kepadamu ”(27)
Dengan takdir Allah SWT, telah
meletus peperangan antara Bani Bakar yang mengikat perjanjian dengan Mekah
dengan Bani Khuzaah yang mengikat perjanjian dengan Madinah. Dalam peperangan
ini, musyrikin Mekah telah mengambil kesempatan dengan membantu Bani Bakar dari
sudut senjata, sekaligus telah melanggar isi perjanjian Hudaibiyah yang mereka
tanda tangani bersama Rasulullah SAW.
Bani Khuzaah telah mengadu hal ini
kepada Rasulullah SAW. Nabi kemudiannya telah meminta musyrikin Mekah supaya
membayar pampasan kepada Bani Khuzaah. Permintaan Nabi SAW ini telah ditolak
oleh musyrikin Mekah, malah mereka telah melahirkan hasrat untuk berperang
dengan Nabi SAW. Ekoran dari sikap musyrikin Mekah, maka Nabi SAW telah
menyiapkan bala tentera seramai 10 000
orang untuk menakluk Mekah.
Dalam perjalanan, tentera Islam telah bermalam di 'Marun
zahrán', Rasulullah mengarahkan tentera Islam supaya mendirikan khemah dan
menyalakan obor api yang banyak untuk menggerunkan musyrikin Quraisy. Mereka
telah menghantar Abu Sufyan untuk berunding dengan Nabi SAW. Malangnya nasi
sudah menjadi bubur, pintu rundingan sudah tamat.
Abu
Sufyan yang sebelum ini banyak melakukan kezaliman ke atas umat Islam akhirnya
insaf dan akur bahawa kota Mekah yang selama ini di bawah pimpinan beliau
akhirnya akan jatuh juga ke tangan Nabi SAW.
Keinsafan ini membawa kepada pengislaman beliau di depan Nabi SAW dan para sahabat serta disambut
dengan perasaan gembira dan laungan takbir kemenangan.
Untuk memasuki kota Mekah Rasulullah telah mengatur beberapa strategi. Antaranya memerintahkan tentera Islam supaya berpecah kepada empat pasukan dan masuk ke Mekah melalui empat penjuru. Rasulullah SAW memerintahkan tentera Islam supaya tidak melakukan kekerasan apatah lagi pembunuhan melainkan kalau tepaksa.
Akhirnya pada 10 ramadhan tahun ke 8 Hijrah bersamaan 630 M Rasulullah SAW dan tentera muslimin berjaya measuki kota Mekah tanpa tentangan. Selesai sahaja Mekah dmasuki, maka Rasulullah SAW melakukan tawaf, mencium Hajar Aswad dan mengarahkan sahabat supaya memusnahkan berhala yang terdapat di sekeliling Kaabah. Baginda kemudian memaaf dan membebaskan penduduk Mekah yang suatun ketika dahulu sangat kuat menentang Islam.
Firman
Allah SWT pada ayat 28,
“Dialah yang mengutus Rasul-Nya
dengan membawa pertunjuk dan agama yang benar agar dimenangkan-Nya terhadap
semua agama. Dan cukuplah Allah sebagai saksi”(28)
Untuk menguatkan mimpi Rasulullah SAW
itu, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia mengutus Nabi Muhammad SAW
untuk membawa pertunjuk dan syariat agama Islam bagi menghapuskan
syariat seluruh agama-agama lain serta menjadikan agama Islam sebagai agama
yang unggul, lebih unggul dari agama-agama lain yang diturunkan dari langit.
Dan cukuplah Allah SWT sebagai saksi di atas kerasulan Nbi Muhammad SAW
tersebut.
Wallaahualam.
Comments
Post a Comment