Perang Hunain

Tafsir Al-Quran
Surah at-Taubah 25-26

Firman Allah SWT,

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai" (25)

Huraian ayat

Ayat ini berkaitan tentang perang Hunain yang berlaku 15 hari selepas penaklukan Mekah pada tahun 8 hijrah. Berita tentang kejayaan tentera muslimin menakluki kota Mekah telah bergema ke seluruh semenanjung tanah arab. Ketika Nabi saw sedang sibuk menyusun program-program politik dan Islam bersama para sahabat di kota suci ini, tiba-tiba kedengaran oleh Nabi saw bahawa beberapa suku Arab musyrikin yang mendiami kota Taif yang jaraknya 90 km dari kota Mekah dan kawasan-kawasan sekitarnya sedang membuat persiapan untuk menghalang kemaraan tentera Islam yang sedang berada di Mekah itu. Sedangkan pada hakikatnya tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah saw tidak pernah ada rancangan untuk melanggar Taif.

Itu hanyalah bayangan pemimpin Taif sahaja kerana mereka menyangkakan Rasulullah saw pasti akan membalas dendam terhadap dosa yang pernah mereka lakukan ke atas Rasulullah saw sepuluh tahun yang lalu. Mereka bimbang selepas Mekah, giliran pemimpin-pemimpin Taif pula di tawan sekaligus menerima hukuman daripada Rasulullah saw.

Bagi mengelakkan apa yang berlaku ke atas Mekah berulang ke atas Taif, maka pemimpin Taif iaitu Malik in Auf telah mengumpulkan suku-suku Arab yang mendiami Taif yang terdiri daripada Bani Thaqif, Bani Jusyam, Bani Riab dan Bani Hilal seterusnya membentuk satu pasukan tentera yang kuat 30 000 orang. Pasukan tentera ini diberi nama Hawazin di pimpin sendiri Malik bin Auf.

Sebelum berangkat menuju ke Mekah, Malik bin Auf telah menghantar pasukan perisik seramai tiga orang untuk mengetahui kekuatan tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah sqaw. 3 orang perisik ini kemudian pulang memberitahu Malik bahawa tentera Islam amat kuat, cukup bersedia dengan segala kelengkapan tentera. Mereka menasihatkan Malik agar membatalkan hasratnya untuk menyerang tentera Islam di Mekah. Tetapi Malik bin Auf tetap dengan pendiriannya untuk berperang dan sanggup menanggung risiko daripada peperangan tersebut. 3 orang pengintip ini kemudiannya dipenjarakan oleh Malik kerana bimbang mereka akan mempengaruhi tentera Hawazim supaya jangan pergi berperang.

Maka bergeraklah tentera Hawazin ke Mekah untuk bertempur dengan tentera muslimin. Sampai di lembah Hunain, (kira-kira 19 km sebelum sampai ke Mekah) Malik bin Auf mula mengatur staregi ketenteraan. Dia mengarahkan tentera kuffar supaya bersembunyi di atas bukit dan celah-celah batu.

Nabi saw juga tidak ketinggalan untuk menghatar perisiknya ke Taif iaitu Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy. Rasulullah saw meminta supaya Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy tinggal di tengah-tengah kaum musyrikin Taif untuk mengumpul maklumat tentang kekuatan tentera Hawazin. Setelah pulang ke Mekah Abdullah bin Abi Hadrad al-Aslamiy melaporkan kepada Rasulullah saw bahawa tentera Hawazin mempunyai kekuatan antara 20 hingga 30 ribu orang. Pasukan kuffar ini turut membawa bersama seluruh harta benda kepunyaan mereka yang dianggarkan 25000 ekor unta, 40000 ekor kambing dan 4 000 uqiyah emas. Selain itu mereka juga membawa anak dan isteri bagi menaikkan semangat untuk berperang.

Rasulullah s.a.w kemudiannya bersama 10 ribu tentera muslimin dari Madinah dan 2000tentera muslimin dari Mekah yang dipimpin oleh Abu Sufian bin Harb telah menuju ke Taif. Dalam peperangan ini, Nabi saw menunggang baghal, tidak kuda. Tujuannya untuk mengelakkan salah tanggapan orang ramai terhadap diri baginda, mengatakan baginda menaiki kuda untuk merasa megah setelah berjaya menakluk Mekah.

Oleh kerana jumlah tentera Islam ketika itu ramai , ada sebahagian daripada mereka merasa sombong den bongkak sehingga mengeluarkan kata-kata berikut :

“Kita pasti kita tidak akan kalah dalam pepeangan ini. Pihak musuh pasti tidak akan dapat menewaskan kita kerana jumlah kita yang seramai ini .”

Sampai di lembah Hunain Nabi saw mengarahkan tentera Islam supaya berehat sebelum menyambung perjalanan ke Taif. Keesokan harinya ketika mereka bangun dan selesai menunaikan solat Subuh tiba-tiba pasukan depan yang dipimpin oleh Khalid bin Walid telah diserbu dari arah kiri dan kanan disamping anak panah yang menghujani mereka dari arah depan dan belakang.

Hasil serangan mengejut ini menyebabkan ramai tentera Islam yang gugur syahid terutama mereka yang baru memeluk Islam. Ini merupakan peringatan Allah SWT ke atas mereka yang ada perasaan angkuh dan sombong di samping berniat pergi berperang semata-mata inginkan harta rampasan perang. Serangan awal dari pihak kuffar benar-benar mengkucar-kacirkan tentera Islam dan ada di kalangan mereka yang telah lari dari medan pertempuran meninggalkan sebahagian tentera yang masih setia dengan Rasulullah saw.

Menurut riwayat Imam An-Nawawi rhm daripada 12 ribu tentera Islam, yang tinggal hanya 12 orang sahaja yang masih setia bersama-sama dengan Rasulullah saw. Antara mereka ialah Abu Bakar a.s, Omar bin al-Khattab, Ali bin Abi Talib Usamah bin Zaid, Muaatib bin Abu Lahab dan Aiman bin Ummu Aiman.

Rasulullah saw tidak menunjukkan sifat gelabah apabila melihat tentera Islam yang lari meninggalkan baginda, malah Rasulullah saw dengan tenang menghadapi situasi yang runcing ini. Inilah yang dimaksudkan dalam ayat seterusnya,

"Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir "(26).

Rasulullah s.a.w kemudian berteriak memanggil tentera Islam agar kembali berperang : “ Wahai hamba-hamba Allah! Aku merupakan seorang Nabi yang tidak berdusta!. Aku anak Ibnu Muttalib”. Namun suara Nabi saw tidak didengari tentera Islam yang kalut ketika itu. Lantas Nabi saw meminta bapa saudaranya Ibnu Abbas supaya berteriak memanggil tentera Islam.

Ibnu Abbas dengan suaranya yang lantang berteriak :”Wahai orang-orang memiliki surah al-Baqarah, wahai orang-orang yang turut berbaiah pada hari Hudaibiah, kembalilah ke medan pertempuran. Jeritan Ibnu Abbas yang nyaring akhirnya di dengari oleh tentera Islam sambil bersemangat mereka menyahut, Labbaika ya Rasulullah!, Labbaika ya Rasulullah ! Labbaika ya Rasulullah !

Mengapa orang Islam bersemangat apabila mendengar nama surah Al-Baqarah ?

Kerana dalam surah ini ada menyatakan,

“ Berapa banyak yang pernah terjadi, golongan yang sedikit Berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah ; dan Allah sentiasa bersama-sama orang-orang yang sabar ”(249)

Siapakah yang dimaksudkan dengan orang yang berbaiah pada hari Hudaibiyah ?

Iaitu mereka yang bersumpah setia dengan Rasulullah dalam perjanjian Ridwan. Firman Allah SWT,

"Bahwasanya orang-orang yang berjanji setia kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barangsiapa yang melanggar janjinya niscaya akibat ia melanggar janji itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar". (Al-Fath : 10)

Firman Allah SWT lagi dalam surah yang sama,

"Sesungguhnya Allah telah meredhai terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berbai'ah kepada engkau di bawah sepohon pokok". (Al-Fath : 18)

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud,

“ Tidak akan masuk neraka bagi mereka yang pernah menyertai Peperangan Badar dan Hudaibiyyah! ”

Abu Hurairah R.A. menyatakan bahawa Baginda Rasulullah S.A.W. pernah bersabda;

“ Sesungguhnya Allah melihat orang yang menyertai Perang Badar, lalu Dia berfirman; “ Lakukanlah apa sahaja yang kamu kehendaki kerana Aku akan mengampunkan dosa kamu!”

Serangan balas tentera muslimin

Setelah semua tentera Islam kembali ke posisi masing-masing, maka Rasulullah saw melancarkan serangan balas. Rasulullah saw sendiri telah menukar kenderaannya daripada baghal kepada kuda. Baginda mahu musuh tahu pemimpin tentera Islam masih hidup dan masih gagah, yang tadinya menunggang baghal sekarang sudah naik kuda pula.
Pada pusingan kedua inilah tentera Islam berjaya membunuh ramai tentera musuh sehingga ada di kalangan wanita dan kanak-kanak yang datang bersama tentera musuh turut terkorban ketika tentera Islam mahu mengejar tentera musuh yang sedang berundur. Melihat perkara ini lalu Rasulullah s.a.w meminta agar Khalid bin Walid supaya tidak membunuh wanita, kanak-kanak dan mereka yang lemah. Akhirnya tentera Islam mencapai kemenangan yang gemilang bukannya kerana jumlah tentera yang ramai tetapi kerana keyakinan dan juga keihklasan kepada Allah sehingga Allah mendatangkan pertolongan dan kemenangan.

Nabi saw membahagikan harta rampasa perang Hunain

Bila Rasulullah saw dan tentera Islam balik dari perang Hunain, semasa di Ja’ranah Nabi saw mula membahagi-bahagikan harta rampasan perang. Dalam Al-Quran, Allah SWT menetapkan 1 / 5 (20%) daripada harta rampasan perang hendaklah di peruntukkan kepada Rasulullah saw. Surah al-Anfal ayat 41.

"Dan ketahuilah daripada jumlah keseluruhan harta rampasan perang itu yang telah kamu perolehi (dalam peperangan), satu perlima daripadanya adalah untuk Allah, RasulNya dan keluarga terdekat, anak-anak yatim mereka yang memerlukan (orang-orang miskin) dan orang-orang dalam perjalanan)".

Setiap tentera berjalan kaki Nabi saw beri setiap orang 4 ekor unta dan 40 ekor kambing. Manakala setiap tentera berkuda Nabi saw beri 12 ekor unta dan 120 ekor kambing.

Nabi saw juga tidak lupa untuk beri harta rampasan perang kepada pembesar-pembesar Mekah yang ikut Nabi saw pergi berperang. Nabi menggunakan 20 peratus daripada harta rampasa yang diperuntukkan kepada baginda untuk tujuan itu. Termasuk di kalangan mereka yang masih kafir antaranyaa Safwan bin Umayyah ketua bagi kabilah Fazarah yang mendapat sekumpulan kambing sepenuh sebuah lembah. Ini menyebabkan Safwan bin Umayyah memeluk Islam diikuti oleh pengikut-pengikutnya. Apabila dia menganut Islam, harta yang dia dapat diinfakkan semula kepada perjuangan Islam.

Selain Safwan, Ada pembesar-pembesar Quraisy yang baru memeluk Islam sewaktu pembukaan kota Mekah antaranya Abu Sufian bin Harb mendapat 100 ekor unta. Kemudian Abu Sufian meminta kepada Rasulullah saw untuk mendapatkan bahagian anaknya Muawiyah bin Abu Sufian. Nabi saw memberi 10 ekor unta kepada Muawiyah bin Abu Sufian. Abu Sufian datang lagi berjumpa Rasulullah saw meminta bahagian untuk anaknya yang bernama Yazid bin Abu Sufian. Nabi saw beri lagi 100 ekor unta kepada Yazid. Selain Abu Sufian dan anak-anaknya Nabi saw juga memberi 100 ekor unta kepada Suhail bin Amru, dan Al-Harith bin Hisham yang mana kesemuanya adalah pembesar-pembesar Mekah.

Ada ketua-ketua kaum di Mekah yang Nabi saw bagi 50 ekor unta antaranya Adi bin Qais dan Umair bin Wahab. Dan ada pula ketua kaum yang Nabi saw beri 10 ekor unta sahaja iaitu Abbas bin Mirdas iaitu ketua bagi kaum bagi Bani Sulaim. Abbas bin Mirdas mengadu kepada Rasulullah saw, tidak puas hati dengan peruntukkan unta yang diperolehinya lalu Nabi saw beri lagi kepada Abbas 90 ekor unta menjadikan jumlah yang Abbas dapat 100 ekor unta.

Orang Ansar tidak mendapat bahagian.

Dalam pembahagian harta rampsan perang ini, Nabi saw tidak memberi sedikit pun kepada orang-orang Ansar menyebabkan di kalangan mereka berkata,

Bila berlaku peperangan, kitalah yang dipanggil untuk membantu. Tetapi bila sudah selesai peperangan, kita disisihkan. Sedangkan pedang kitalah yang banyak berlumuran dengan darah !

Nabi saw berdialog dengan orang-orang Ansar


“Wahai orang-orang Ansar, apakah ada dalam hati-hati kamu perasaan cintakan harta benda dunia ? Tahukah kamu harta yang aku agih-agihkan kepada kepada ketua-ketua kaum di Mekah supaya mereka jinak untuk menganut Islam? Apakah kamu masih belum puas dengan Islam yang aku beri kepada kamu? Tidak kah kamu tahu wahai orang-orang Ansar, Sesungguhnya aku mengasihi orang-orang Ansar lebih daripada aku mengasihi orang-orang yang aku berikan harta rampasan perang. orang-orang yang aku berikan harta rampasan perang itu mereka pulang membawa harta berupa kambing dan unta-unta sedangkan kamu wahai orang Ansar, pulang membawa aku Muhammad Rasulullah ? Demi Allah !, sekiranya manusia mengikut satu jalan di suatu lembah, dan orang Ansar pula mengikut jalan yang yang lain di satu lembah atau di tepi gunung, nescaya aku akan mengikut jalan atau gunung yang dilalui oleh orang-orang Ansar”.

Kemudian Nabi saw berdoa,

“Ya Allah ampunkanlah orang-orang Ansar, anak-anak orang Ansar dan anak-anak dari anak-anak orang Ansar ”

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu