Thursday, August 27, 2009

Jenayah Arak


Van JAIP yang membawa Kartika ke Penjara Wanita Kajang berpatah balik selepas bergerak 200 meter, kerana menerima arahan penangguhan hukuman sebat daripada pihak atasan. Alasan ‘menghormati bulan Ramadhan’ diberikan kepada keluarga Kartika, telah menyebab’kan satu keluarga Kartika agak berang kerana mereka telah bersedia dari segi mental & fizikal untuk menerima hukuman 6 kali sebatan rotan. Kartika merupakan wanita pertama yang disebat akibat kesalahan meminum arak.

Pendahuluan

Biarpun Islam lahir di tengah-tengah bangsa Arab jahiliah yang kuat menagih arak sejak zaman berzaman, tetapi Islam tidak pernah berkompromi dengan minuman tersebut malah tetap melarang umatnya daripada meminum arak melalui larangan yang berperingkat-peringkat.

Ayat pertama yang turun mengenai arak ialah surah An-Nahl ayat 67,

ومن ثمرت النخيل والأعنب تتخذون منه سكرا ورزقا حسنا
ان فى ذلك لأيت لقوم يعقلون (67)

Maksudnya : Dan dari buah-buahan kurma dan anggur dapat kamu mengambil daripadanya minuman yang memabukkan dan rezeki yang baik. Sesungguhnya pada yang demikian itu suatu tanda bagi kaum yang mahu berfikir.

Ayat di atas turun di Mekah, mengajak manusia berfikir tentang kebesaran Allah SWT yang telah mencipta pelabagai rezki untuk manusia daripada sumber buah-buahan iaitu kurma dan anggur.

Apabila Islam telah mempunyai Negara di Madinah, usaha kearah pengharaman arak diteruskan lagi dengan menerangkan bahawa kesan buruk minum arak itu adalah lebih besar daripada manfaatnya. Firman Allah SWT dalam surah Al-Baqarah ayat 219, .

يسألونك عن الخمر والميسرقل فيهما اثم كبير ومنافع للناس
واثمهما أكبر من نفعهما

Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah : Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa kedua-duanya lebih besar daripada manfaatnya. ( Al-Baqarah : 219)

Dengan turunnya ayat di atas, sebahagian besar para sahabat sudah mula terhidu tentang pengharaman arak walaupun larangan ini tidak disebut secara jelas. Di kalangan mereka sudah mula meninggalkan perbuatan tersebut menyebabkan jumlah peminum arak di kalangan umat Islam sudah berkurangan.

Kemudian telah berlaku satu peristiwa di mana seorang sahabat Nabi saw yang bernama Abd Rahman bin ‘Auf telah menganjurkan satu majlis jamuan yang terdapat hidangan arak. Kata Saidina Ali kwj, tidak lama selepas kami mabuk maka azan pun berkemundang. Lalu mereka semua menolak aku menjadi imam sembahyang Tiba-tiba dalam sembahyang aku telah terbaca,

" قل يا أيها الكفرون أعبد ما تعبدون"

Dengan adanya peristiwa ini, maka Allah SWT turunkan ayat 43 surah An-Nisa’,

يا أيها الذين امنوا لا تقربوا الصلاة وأنتم سكارى حتى تعلموا ما تقولون

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakana (An-Nisa’ : 43)

Setelah turunnya ayat di atas, maka mereka tidak lagi meminumnya pada waktu-waktu hendak sembahyang. Tetapi mereka meminumnya selepas solat Isyak, bila mabuk mereka akan kembali siuman menjelang waktu Subuh. Atau mereka minum selepas Subuh, bila mabuk mereka akan kembali siuman menjelang masuknya waktu Zuhur. Secara tidak langsung, ayat ini melatih orang-orang Islam agar berdisplin dalam mengambil minuman yang memabukkan tadi. Secara tidak langsung ia telah mengurangkan tempoh minuman mereka.

Suasana begini berpanjangan sehinggalah berlaku satu peristiwa dimana seorang sahabat dari kalangan Ansar, disebabkan mabuk telah memukul sahabat yang bernama Sa’ad bin Abi Waqas. Lalu Sa’ad mengadu perkara ini kepada Rasulullah saw untuk mendapatkan kepastian tentang hukum sebenar minum arak. Maka turunlah ayat yang sekaligus Allah mengharamkan arak secara mutlak iaitu,

يا أيها الذين امنوا انما الخمر والميسر والأنصاب والأزلام رجس من عمل الشيطان فاجتنبوه لعلكم تفلحون (90)

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman ! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) keji (kotor)dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berolah kejayaan. (Al-Maidah : 90)

Kalau diperhatikan ayat di atas Allah SWT menggabungkan perbuatan minum arak, berjudi, memuja berhala dan tenung nasib sebagai satu kategori yang sama. Dengan sebab itulah dalam sebuah hadis , Nabi saw bersabda ,

“ Penagih arak sekiranya dia mati nescaya dia akan bertemu dengan Allah seumpama penyembah berhala ” ( Riwayat Ahmad)

Maksudnya orang yang minum arak termasuk dalam kategori orang yang tidak beriman kepada Allah SWT. Sabda Rasulullah saw,

اذا زنى العبد أوشرب الخمر نزع الله عنه الايمان كما يخلع الانسان القميص من رأسه

Maksudnya : Apabila seseorang melakukan zina atau minum arak, maka Allah mencabut imannya, ibarat orang yang membuka baju melalui kepalanya. (Riwayat Hakim)

Kemudian Allah SWT mengkhabarkan perbuatan tersebut sebagai keji (kotor) . Lafaz keji ini tidak digunakan oleh Al-Quran melainkan terhadap arak, berhala dan daging babi. Ini menunjukkan satu larangan yang sangat tegas daripada Allah SWT.

Siti Aisyah r.a berkata : Rasulullah saw bersabda,

“ Orang yang minum arak, maka janganlah kamu kahwini mereka, kalau dia sakit janganlah kamu jengoknya dan apabila mereka mati janganlah kamu solatkan jenazahnya. Demi Allah, yang telah mengutus saya sebagai Nabi dengan membawa agama yang Haq, tidak akan mahu meminum arak kecuali orang yang terkutuk, baik diterangkan di dalam kitab Taurat, Injil Zabur dan kitab Furqan. Dan siapa yang memberi makan kepada mereka walau sesuap, maka Allah Taala akan membelitkan ular serta kalajengking pada badannya, barangsiapa yang membantu keperluannya, maka bererti dia membantu menghancurkan Islam, barangsiapa yang meminjamkan wang kepadanya, berertia dia membantu membunuh seorang mukmin, dan barangsiapa menggaulinya maka akan di hela oleh Allah dalam keadaan buta serta tak ada yang memimpinnya ” . (Al-Hadith)

Abu Laits Assamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Asma’ binti Yazid r.a berkata : Saya telah mendengar Rasulullah saw bersabda, “ Siapa yang minum arak sehingga masuk dalam perutnya maka tidak akan di terima sembahyangnya satu minggu (tujuh hari) dan sekirannya dia minum sehingga mabuk maka tidak diterima sembahyangnya empat puluh hari, dan sekiranya dia mati tanpa bertaubat maka matinya adalah mati kafir, dan jika dia bertaubat maka Allah terima taubatnya, dan sekiranya dia mengulanginya lagi (setelah bertaubat) maka layaklah bagi Allah untuk memberinya minum dari Thinatil Khabaal ( darah yang bercampu nanah ahlli neraka) ”

Allah SWT melaknat peminum arak dan mereka yang terlibat dengannya. Sabda Rasulullah saw,

لعن الله الخمر وشاربها وساقيها وبائعها ومبتاعها وعاصرها
ومعتصرها وحاملها والمحمولة اليه

Maksudnya : Allah telah melaknat minuman arak, peminumnya, penuangnya penjualnya, pembelinya, pemerahnya (sama ada untuk dirinya atau untuk orang lain), orang yang meminta ia diperah (sama ada untuk dirinya atau untuk orang lain), pembawanya dan orang yang meminta ia di bawa kepadanya. (Riwayat Abu Daud dan Ahmad)

Rasulullah saw juga bersabda,

من كان يؤمن بالله واليوم الاخر فلا يجلس على مائدة يشرب عليها الخمر

Maksudnya : Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka janganlah dia duduk di suatu majlis yang di dalamnya di minum minuman khamr. ( Riwayat At-Tabrani)

Diriwayatkan daripada Abi Umamah, Nabi saw bersabda,

ثلاثة لا يدخلون الجنة مدمن خمر وقاطع الرحم ومصدق السحرة
ومن مات مدمن الخمر سقاه الله تعالى من نهر الغوطة وهو نهر يجرى
من فروج الزانيات يؤذى أهل النار من نتن ريحه

Maksudnya : Tiga golongan yang tidak masuk syurga, iaitu peminum arak, orang yang memutuskan silaturrahim (kekeluargaan) dan orang yang mempercayai tukang tenung. Barangsiapa yang meninggal dunia, kekal sebagai peminum arak, maka dia akan diberi minum oleh Allah Ta’ala dari sungai Gautha’, iaitu sungai yang mengalir dari kemaluan perempuan-perempuan pelacur. Sungai itu menambah sakitnya para penghuni neraka disebabkan baunya yang busuk . ( Riwayat Ahmad dan Ibnu Adi’in)

Said meriwayatkan daripada Qatadah berkata : Rasulullah saw bersabda, 189

أربعة لا يجدون ريح الجنة وان ريحها ليوجد من مسيرة خمسمائة عام :
البخيل والمنان ومدمن الخمر والعاق لوالديه

Maksudnya : Empat jenis manusia yang tidadak akan mencium bau syurga, pada hal bau syurga itu terbau dari jarak perjalanan lima ratus tahun. Pertama orang yang bakhil, kedua orang yang mengungkit-ungkit pemberiannya, ketiga orang yang minum arak dan keempat orang yang derhaka kepada kedua ibubapanya.

Telah berkata Abdullah bin Masud r.a, “ Sesungguhnya orang yang minum arak di waktu pagi, bereti dia telah mensyirikkan Allah SWT sehingga ke petang hari, dan barang siapa yang meminum arak di waktu petang maka bererti dia telah mensyirikkan Allah SWT sehingga ke pagi. Katanya lagi, Jka seorang peminum arak mati, maka engkau kuburkanlah mayatnya dan tahanlah aku, kemudian engkau galilah kuburnya. Jika kamu tidak mendapati mayatnya berpaling dari kiblat maka engkau bunuhlah aku.

Erti arak / Al-Khamr

Menurut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad yang dimaksudkan dengan minum arak ialah meminum cecair yang memabukkan sama ia dinamakan khamr atau tidak, sama ada ia berasal daripada perahan anggur ataupun lainnya seperti tamar, anggur kering, gandum, barli, dan padi sama ada ia memabukkan dengan kadarnya yang sedikit atau dengan kadarnya yang banyak.

Apa hukum mengambil arak sebagai ubat

Mengambil arak sebagai ubat hendaklah dijauhi, kerana Allah SWT tidak menjadikan ubat pada bahan-bahan yang dihramkan kita mengambilnya. Rasulullah saw pernah ditanya oleh seorang lelaki yang mengambil arak untuk dibuat ubat. Baginda menjawab, “ Arak bukan ubat, tetapi racun. Setiap penyakit carilah ubatnya, tetapi jangan cari bahan yang diharamkan .”

Jika seseorang itu minum arak untuk jadikan ubat, menurut pendapat yang terkuat di dalam mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali ialah dia wajib dikenakan hukuman had. Iaitu disebat sebanyak 40 kali sebatan (Mazhab Syafie) dan . Tetapi sekiranya dia menggunakannnya sebagai bahan gosokan di atas kulitnya sahaja dia tidak dikenakan hukuman had. Cuma Imam Abu Hanifah sahaja berpendapat adalah harus seseorang itu minum arak untuk tujuan berubat.

Tetapi sekiranya seseorang itu dalam keadaan darurat, setelah mendapat pengesahan dan nasihat daripada doktor pakar muslim yang kuat pegangan agamanya supaya mengambil arak sebagai ubat bagi menyelamatkan nyawanya, setelah puas hati tiada lagi ubat lain yang mampu merawat penyakitnya, maka dalam keadaan itu hukumnya adalah harus dia mengambil arak untuk mengubat penyakitnya. Firman Allah SWT,

“ Barangsiapa yang dalam keadaan terpaksa, sedang dia tidak menginginkannya dan tidak (pula) melampaui batas, Maka Sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun lagi Maha penyayang". ( Al-An’aam ayat 145)

Pelaksanaan Sebat

Dari segi pelaksanaannya, cara hukuman sebat ke atas pesalah minum arak tidak ada bezanya dengan cara hukuman sebat ke atas pesalah zina. Cuma para ulama berbeza pendapat, sekiranya seseorang itu disabitkan melakukan kesalahan zina dan dalam masa yang sama juga disabitkan dengan kesalahan minum arak, yang mana satukah hukuman hendak dijalankan terlebih dahulu ? Menurut Imam Abu Hanifah hukuman had zina hendaklah dijalankan terlebih dahulu manakala hukuman had bagi kesalahan minum arak hendaklah ditangguhkan. Alasannya hukuman zina ditentukan di dalam Al-Quran, sebaliknya hukuman arak tidak ditentukan oleh Al-Quran.

Tetapi Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendapat hukuman yang ringan yakni had minum arak hendaklah dijalankan terlebih dahulu kemudian baru diikuti dengan hukuman yang berat iaitu had zina. Manakala Imam Malik pula berpendapat terpulanglah kepada pihak pemerintah untuk memulakan yang mana satu yang dikehendakinya.

Para ulama telah bersetuju bahawa perlaksanaan hukuman tidak harus dilakukan ketika pesalah di dalam keadaan mabuk. Oleh itu Kadi atau timbalannya hendaklah menunggu sehingga dia kembali siuman kerana tujuan hukuman adalah untuk memberikannya pendidikan dan pengajaran sedangkan orang yang mabuk tidak merasai apa-apa yang berlaku ke atas dirinya.

Wallahu’alam

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.