Wednesday, February 17, 2010

Menyambut Maulidur Rasul tiada fadhilat ?

Saya teruja dengan kenyataan ulama yang saya hormati Ybhg Al-Fadhil Tuan Guru Nik Abd Aziz Nik Mat yang mengatakan sambutan Maulidur Rasul tiada fadhilat. Pada saya kemungkinan kenyataannya disalah tafsir oleh akhbar. Harap-harap begitulah.

Tetapi sekiranya betul Ybhg Al-Fadhil Tuan Guru ada mengucapkan kata-kata sedemikian, saya tetap menghormati pandangannya kerana Islam sentiasa meraikan perbezaan pendapat apatah lagi dalam soal khilafiyah.

Justeru tidak perlu bagi mereka yang enggan menyambut Maulidur Rasul membidaahkan golongan yang menyambutnya dan begitulah sebaliknya. Yang penting, jangan kita bertengkar sesama sendiri dalam hal seperti ini kerana ia bukan soal pokok dalam agama. Hendaklah kita saling hormat menghormati dan berlapang dada !

Para pembaca sekalian,

Dari dulu sehingga sekarang, saya sentiasa bersama dengan majoriti umat Islam di Malaysia meraikan Sambutan Maulidur Rasul. Malah di kawasan perumahan saya, AJK Pembinaan Surau Vila Suria bercadang untuk mengadakan sambutan Maulidur Rasul pada 6hb March nanti. Dijadualkan pada hari itu ada gotong royong memasak sesama penghuni taman. Pasti meriah !

Ada juga surau-surau dan masjid yang memulakan majlis sejak dari awal pagi. Di sebelah siang diadakan pertandingan azan, berzanji dan mewarna. Manakala sebelah malamnya ialah acara kemuncak iaitu ceramah Agama dari penceramah jemputan.

Saya percaya surau-surau dan masjid di seluruh Negeri Sembilan sudah mula menentukan tarikh dan tentatif program bagi menjayakannya. Beberapa penceramah yang 'tersohor' sudah mula dihubungi dan ditempah sejak beberapa bulan yang lalu. Nama-nama penceramah seperti Dato' Haron Din, Dato' Hassan Din al-Hafiz, Dato' Ismail Kamus antara yang paling top.

Begitulah 'excitednya'umat Islam di Malaysia menyambut Maulidur Rasul. Alangkah baiknya kalau sikap 'excited' itu diterjemah dalam usaha mendaulatkan syariat Allah.

Muslimin dan muslimat sekalian,

Saya juga bersetuju dengan langkah kerajaan yang mengadakan anugerah Tokoh Maulidur Rasul kategori non-Muslim, moga-moga dengan cara itu akan menghampirkan mereka dengan Rasulullah saw.


Majlis macam ni lagi tiada fadhilat....!

Selain itu saya juga bersetuju jika pihak surau dan masjid menjemput warga non-muslim di kalangan jiran-jiran setempat untuk turut serta mendengar ceramah Maulidur Rasul dan menikmati jamuan yang disediakan. Bukankah Rasulullah saw diutus kepada semua bangsa ? Tiada dalil yang menunjukkan golongan non-muslim dilarang masuk ke masjid asalkan mereka menutup aurat dan menjaga adab-adabnya.

Pembaca yang dihormati,

Mengadakan Maulidur Rasul termasuk dalam perkara yang boleh menzahirkan perasaan cinta kepada Rasulullah saw. Kita akui, memang terdapat segelintir ulama yang kontra dalam amalan ini. Alasannya kerana sambutan seperti ini tidak pernah dilakukan oleh Salafussoleh (umat Islam yang hidup pada kurun-kurun awal kenabian). Jika amalan seperti ini ada, sudah tentu golongan salafussoleh lebih layak melakukannya kerana mereka lebih memiliki rasa cinta kepada Rasulullah saw.


















Pun sama juga.., majlis yang tiada fadhilat, Syirik !

Pembaca budiman,

Antara persoalan yang sering dikemukakan oleh golongan yang membantah Maulidur Rasul ialah , mengapa mengingati kelahiran Rasulullah saw hanya dibuat pada masa-masa tertentu sahaja ? Bukankah mengingati Rasulullah saw sama ada tarikh kelahirannya, sirah perjuangannya dan segala ajarannya perlu diingati dan dihayati sepanjang masa, tidak tertentu pada bulan dan hari yang khusus ? Bukankah menentukan waktu khusus bagi memperingati rasulullah adalah termasuk perbuatan mengada-ngadakan sesuatu yang tidak ada dalam agama – Bidaah ?

Para pembaca sekalian,

Menurut As-Saiyid Muhammad bin Alwi al-Maliki (w 1425H) seorang ulama terkenal Mekah, menyambut Maullidur Rasul hukumnya adalah harus, tidak termasuk dalam perkara bidaah yang tercela. Sebab dalam perayaan tersebut kaum muslimin dapat mendengar tazkirah dan riwayat hidup Nabi Muhammad saw, membaca dan mendengar solawat yang memang sepatutnya menjadi hak baginda, seterusnya bersedekah dengan menyediakan makanan dan minuman yang menggembirakan hati para hadirin pendengar.

Bukankah bergembira di atas kelahiran Rasulullah saw itu suatu perkara yang sangat dituntut dalam Islam. Kalau orang kafir seperti Abu Lahab turut merasa gembira dengan kelahiran baginda apatah lagi umatnya.

Sejarah mencatatkan , apabila mendengar sahaja berita kelahiran Rasulullah saw, Abu Lahablah orang yang sangat gembira dan terus memerdekakan hambanya yang bernama Thuwaibah kerana dialah yang membawa berita gembira itu kepadanya. Dengan kegembiraannya itu, Allah SWT meringankan seksaan ke atasnya pada setiap hari Isnin.

Para pembaca sekalian,

Memang benar mengadakan Sambutan Maulidur Rasul tidak semestinya dibuat pada hari-hari atau masa-masa tertentu, kerana mengingati nabi saw sudah menjadi satu kewajipan bagi umat Islam setiap masa dalam sepanjang kehidupan.

Cuma harus diakui bahawa sambutan Maulidur Rasul yang diadakan pada bulan Rabuil Awwal dianggap lebih menarik perhatian orang ramai kerana mereka merasakan adanya hubungan antara masa sekarang dengan masa lampau dan hubungan perasaan antara orang-orang yang menyaksikan kehidupan baginda di masa dahulu dengan orang-orang yang hidup di zaman sekarang.

'Ala kulli hal, 'Selamat Menyambut Maulidur Rasul'.

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.