Suruhlah anak anda menunaikan solat ....

Tafsir al-Quran
Surah al-Baqarah ayat 238-239


Firman Allah SWT,

“ Peliharalah oleh kamu semua solat dan solat pertengahan (Asar). Dan berdirilah kerana Allah dengan keadaan kamu taat setaatnya. (238) Jika kamu takut, maka boleh solat berjalan kaki atau berkenderaan. Apabila kamu aaman sentosa, maka sebutlah Allah (ingat kepada-Nya) sebagaimana Dia telah mengajarkan kamu akan apa-apa yang tiada kamu ketahui.” (239)

Huraian ayat

Dalam ayat ini Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya memelihara semua solat yang difardhukan. Sabda Rasulullah saw,

الصلاة عماد الدين. فمن أقامها فقد أقام الدين ومن تركها فقد هدم الدين

Maksudnya : Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mengerjakannya maka sesungguhnya ia telah menegakkan agama dan barangsiapa yang meninggalkannya maka dia telah meruntuhkan agama.

Orang yang meninggalkan solat fardhu adalah amat buruk dan sangat keji sekali, malahan ianya terlebih keji daripada iblis. Ini kerana si iblis hanya enggan sujud kepada nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk, tetapi orang yang meninggalkan solat adalah seorang yang enggan bersujud kepada Allah s.w.t yang merupakan Khaliq (pencipta).

Kepentingan solat 5 waktu dinyatakan lagi dalam sebuah hadis,

مرو أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوا هم عليها وهم أبناء عشر

Maksudnya : Suruhlah anak-anak kamu mendirikan solat apabila mereka berumur tujuh tahun dan pukullah mereka apaabila berumur sepuluh tahun. (HR Abu Daud)

Kemudian dalam ayat ini Allah SWT menyuruh agar memelihara solatul Wusta. Para ulama berbeza pendapat dalam mentafsirkan apakah yang dimaksudkan dengan solatul Wusta. Ada yang mengatakan solat Subuh, ada pula yang menyatakan solat Zuhur dan ada pula pendapat mengatakan solat Isyak.

Namun pendapat yang paling masyhur ialah solat Asar sebagaimana yang diterangkan dalam sebuah hadis,

الصلاة الوسطى صلاة العصر

Maksudnya : Solat Wusta ialah solat Asar.

Hukum orang yang meninggalkan solat

Menurut Mazhab Syafie, sesiapa di kalangan orang Islam yang pernah meninggalkan solat dengan sengaja, maka hendaklah mereka melakukan dua perkara iaitu bertaubat dan mengqadak semula solat yang ditinggalkan. Tidak memadai jika hanya sekadar mengqadak solat tanpa bertaubat atau hanya bertaubat tanpa mengqadakannya.






















"Solat Best... !"

Jika sibapa atau suami tidak mengerjakan solat fardhu, maka anak atau isteri wajib mengingatkan bapa atau suaminya dengan penuh hikmah. Jika sudah diingatkan tetapi bapa atau suami masih enggan, maka terlepaslah sudah tanggungjawab si anak atau isteri. Sekiranya seorang suami tidak mahu menunaikan solat setelah diberi nasihat oleh isteri, maka syariat Islam membenarkan si isteri menuntut fasakh daripada Qadhi.

Seorang wali atau bapa yang tidak menunaikan solat, dia tidak boleh menikahkan anak gadisnya kerana dia telah melakukan dosa besar. Maka hak wali untuk menikahkan berpindah kepada wali lain (ab’ad) yang selepasnya. Seorang wali atau bapa juga tidak harus mengahwinkan anak perempuannya dengan mana-mana lelaki yang meninggalkan solat, kerana pada hakikatnya dia bukanlah seorang Islam yang sebenar.

Menurut Prof. Dr Yusuf Al-Qardhawi dalam fatwanya menulis, mereka yang meninggalkan solat hilanglah hak persaudaraan dalam Islam iaitu (Jika engkau bertemu dengannya maka berilah salam kepadanya, jika dia menjemput datang kerumahnya maka penuhilah jemputannya, jika dia meminta nasihat daripadau maka berilah nasihat kepadanya, dan jika dia bersin lalu memuji Allah maka doakanlah kebaikan pada dirinya, dan jika dia sakit maka ziarahilah dia, dan jika dia mati maka iringilah jenazahnya.ke kubur).

Dalilnya ialah firman Allah dalam surah At-Taubah ayat 11,

“ Jika mereka bertaubat, mendirikan sholat dan menunaikan zakat, Maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama. dan kami menjelaskan ayat-ayat itu bagi kaum yang Mengetahui.”

Berdasarkan ayat ini, orang yang meninggalkan solat hendaklah bertaubat dan agar hak hak persaudaraannya dalam Islam dapat dikembalikan.

Seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan dia meninggalkan solat, maka hendaklah di lihat sama ada dia kafir atau pun fasik. Jika dia fasik, maka jenazahnya hendaklah di sembahyangkan dan di kebumikan di tanah perkuburan Islam dan urusannya di serahkan kepada Allah SWT.

Manakala menurut Imam Ahmad bin Hanbal dan lain-lain mengatakan bahawa orang itu tidak harus disembahyangkan apatah lagi dikebumikan di tanah perkuburan Islam. Namun pendapat yang paling sahih dalam mazhab ini ialah dia tidak dihukum kafir melainkan jika dia telah diajak oleh pemerintah atau pembantunya tetapi dia enggan.

Firman Allah SWT di hujung ayat 238,

" Dan berdirilah kerana Allah dengan keadaan kamu taat setaatnya".

Maksudnya hendaklah solat itu dilakukan dengan sempurna, jangan ada yang rosak rukun mahu pun syarat-syaratnya. Semasa mendirikan hendaklah khusyuk dan melupakan sesuatu yang berada di sekelilingnya.

Dalam ayat 239 maksudnya,

“Jika kamu takut, maka boleh solat berjalan kaki atau berkenderaan. Apabila kamu aman sentosa, maka sebutlah Allah (ingat kepada-Nya) sebagaimana Dia telah mengajarkan kamu akan apa-apa yang tiada kamu ketahui”

Dalam ayat Allah SWT mahu menegaskan bahawa solat itu suatu kewajipan yang tidak boleh diringankan. Sekiranya seseorang itu berada dalam ketakutan seperti dikejar musuh dalam peperangan atau dikejar binatang buas maka bolehlah solat itu dilakuan sama ada berjalan kaki, menunggang kenderaan sama ada mengadap qiblat atau tidak.

Di sini ulama feqah mengecualikan kewajipan mengadap qiblat sewaktu solat itu kepada 4 golongan iaitu :

1. Jika seseorang itu bermusafir dan berada dalam kenderaan, dia diberi keringanan untuk mengadap qiblat sewaktu mula solat sahaja (itu pun jika diketahui) Dalilnya sebuah hadis dari Amir bin Rabi’ah;

رأيت رسول الله (ص) يصلي على راحلته حيث توجهت به

Maksudnya : Saya lihat Rasulullah saw solat di atas kenderaan menuruti arah kenderaan itu.

2. Solat orang yang dipaksa, seperti dia diikat pada sebatang kayu atau lainnya. Maka dalam keadaan ini gugurlah kewajipan mengadap qiblat.

3. Solat orang sakit yang tiada seorang yang boleh membantu untuk mengadapkannya kearah kiblat.

4. Solat khauf, atau solat yang dilakukan dalam ketakutan seperti dalam peperangan atau dikejar musuh seperti firman Allah SWT dalam ayat 239 surah al-Baqarah tadi.

Di hujung ayat ini Allah SWT menjelaskan sekiranya sudah kembali dalam keadaan aman, maka solatlah seperti biasa dan ingatlah Allah SWT banyak-banyak kerana Dialah yang telah mengajar segala ilmu yang kita tidak ketahui sebelum ini. Wallahualam.

Dikuliahkan

Di Masjid Ampangan
Surau al-Amin
Surau al-Falah
Surau Desa Beringin

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu