Friday, February 5, 2010

Saya mula menulis buku …..


Saya tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Mencemburui rakan seangkatan saya, Ust Zaharuddin bin Abd Rahman bekas Presiden Gabungan Mahasiwa Islam Semenanjung (GAMIS), yang juga bekas jaguh politik kampus di Universiti Malaya satu ketika dahulu, kini saya mula mengorak langkah untuk menyiapkan sebuah buku sebagai amal jariah buat bekalan di hari akhirat.

Insya Allah, buku kedua saya berjudul “ Jika misionari Kristian bertanya anda…” , mula ditulis setahun yang lalu selepas pulang dari mengerjakan fardhu Haji. Buku ini mengandungi 20 soalan yang sering ditanya oleh misionari Kristian kepada orang-orang Islam. Satu daripadanya telah pun saya paparkan dalam blog ini.

Para pembaca sekalian,

Sesungguhnya, Allah SWT sudah lama mengingatkan kita bahawa orang-orang Yahudi dan Nasrani sama sekali tidak akan redha ke atas umat Islam selagi mana kita tidak mengikut jejak langkah mereka. (Rujuk Al-Quran surah Al-Baqarah ayat 120)


Risalah Kristian...

Untuk itu, dalam mengembangkan agama mereka, misionari Kristian pada kebiasaannya akan memetik beberapa ayat suci Al-Quran untuk meragukan orang-orang Islam terhadap kesucian wahyu Allah SWT. Justeru, bagi menangkis dakyah mereka, buku ini cuba membidas dan menjawab setiap persoalan yang mereka lontarkan.

Insya Allah, saya cuba menggunakan bahasa yang mudah difahami oleh semua golongan termasuk anak-anak remaja yang sering menjadi sasaran dakwah mereka. Moga-moga dengan lahirnya buku ini, akan membantu sedikit sebanyak umat Islam di Malaysia dalam menghadapi ancaman dakyah Kristian yang begitu hebat menggasak.






















Satu lagi risalah Kristian...

Setakat ini sebanyak 16 persoalan dan jawapan telah pun saya tulis, hanya tinggal 4 soalan sahaja lagi yang belum disiapkan. Saya mensasarkan untuk menyiapkan buku ini dalam tempoh 3 atau 4 bulan dari sekarang. Maklumlah, saya perlu membahagikan masa antara mengajar di sekolah, menyiapkan nota kuliah, menyampaikan ceramah di surau/masjid, menulis sesuatu di blog dan menyiapkan buku ini.

Mencari penerbit …

Sekiranya sudah siap , saya berhasrat untuk mengunjungi guru saya yang dikasihi Sahibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusuf bin Haji Ahmad, Mufti kerajaan Negeri Sembilan. Manalah tahu kalau dia berkenan untuk menerbitkan buku ini di bawah Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan.

Jika tidak, mungkin saya akan mencari mana-mana penerbit yang sudi menerbitkan buku ini. Sekiranya tuan-tuan mempunyai kenalan yang memiliki atau bekerja di mana-mana syarikat penerbitan bolehlah memaklumkan kepada saya. Usaha tuan akan saya hargai sepanjang hayat.

Doakan kebaikan buat saya…..Ma’as Salamah !

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.