Friday, May 14, 2010

Pembatal solat


1. Makan atau minum dengan sengaja.

Maksudnya sama ada makanan yang dimakan itu sedikit atau banyak walaupun menelan makanan yang terdapat di celah-celah gigi sebesar gula pasir atau makanan itu di hisap, di kunyah, dihancurkan kemudian di telan maka batallah solatnya.

Namun jika jika seseorang itu makan atau minum dengan tidak sengaja kerana terlupa atau jahil disebabkan tinggal berjauhan dari ulama, maka ia tidak membatalkan solat.

2. Berkata-kata dengan sengaja.

Sekiranya seseorang itu berkata-kata dengan sengaja sedangkan dia tahu bahawa perbuatan itu adalah haram sekalipun satu huruf yang tidak difahami atau berdehem-dehem tanpa sebab, atau menghembuskan nafas dengan kuat sama ada melalui mulut atau hidung maka batallah solatnya.

Adalah tidak batal solat jika seseorang itu berkata-kata kerana jahil disebabkan baru memeluk Islam Namun jika seseorang itu berdehem ketika solat kerana batuk atau untuk membaikkan suara didalam solat, maka hukumnya adalah harus.

Begitu juga sekiranya sesorang makmum yang bertasbih kerana ingin mengingatkan imam yang terlupa rukun maka ia tidak membatalkan solat. Namun bagi perempuan jika hendak menegur imam yang terlupa rukun, maka hendaklah dengan menepuk belakang tapak tangannya.

Jika seseorang memberi salam ketika solat maka salam tersebut wajib dijawab tetapi bukan dengan suara sebaliknya dengan isyarat pergelangan tangan. Jika dia menjawab dengan suara maka batallah solatnya.

Jika kita sedang bersolat di dalam rumah seorang diri, tiba-tiba ada orang memberi salam maka boleh kita menguatkan bacaan al-Fatihah atau surah atau sebutan 'Allahhuakbar' ketika bertukar rukun.Ini sekadar memberitahu orang yang berkunjung kerumah bahawa kita sedang bersalat ketika ia memberi salam

3. Berhadas sebelum salam yang pertama.



















Jika seseorang sedang solat, tiba-tiba air mani atau mazinyanya keluar sama ada sedikit atau banyak atau terkentut sama ada kuat atau perlahan atau terberak maka batallah solatnya.

4. Terkena najis pada badan atau pakaian.

Namun jika terjatuh najis sama ada basah atau kering pada pakaian seperti songkok atau serban lalu dengan segera (sekadar masa tumakninah) dicampakkan maka ia tidak membatalkan solat. Sah solat sekiranya seseorang memakai minyak wangi yang ada kandungan alcohol, selagi minyak wangi itu tidak mengandungi najis atau bahan yang diharamkan.

Juga sah solat jika kucing peliharaan menjilat-jilat tapak kaki sewaktu sedang solat kerana kucing tidak dianggap binatang yang najis. Sama seperti lintah jika ia menghisap kaki orang yang sedang solat, maka solatnya tetap sah tidak batal melainkan sekiranya darah keluar akibat gigitan tersebut.

5. Ketawa berdekah-dekah

Maksudnya jika seseorang yang tertawa dengan mengeluarkan bunyi atau suara maka batallah solatnya. Namun jika seseorang yang ketawa yang tidak dapat dielak serta tidak mengeluarkan suara (ketawa dalam hati) maka solatnya tidak batal.

6. Banyak bergerak yang bukan gerakan solat.

Maksudnya melakukan perbuatan yang banyak berturut-turut sama ada sengaja atau terlupa lebih dari tiga kali seperti menggeleng-gelengkan kepala atau menggerakan tangan atau kaki maka batallah solatnya.

Tetapi sekiranya gerakan tersebut sedikit, atau hanya melibatkan anggota badan yang kecil seperti jari-jari, kelopak mata, bibir , mulut atau kemaluan maka ia tidak membatalkan solat. Sekiranya seseorang itu mengeluarkan lidahnya serta menggerakkannya tiga kali berturut-turut, maka batallah solatnya.

Jika seseorang itu menggaru anggota badannya lebih dari tiga kali kerana hajat seperti terkena penyakit gatal-gatal maka dia dimaafkan.

7. Terbuka atau membuka aurat dengan sengaja

Jika seseorang yang sedang solat, tiba-tiba kainnya di buka oleh kanak-kanak atau monyet sehingga terbuka auratnya maka batallah solatnya. Namun jika seseorang mendirikan solat, tiba-tiba kainnya ditiup angin lalu terbuka aurat kemudian dengan segera dia menutupnya kembali (sekadar masa tumakninah) maka ia tidak membatalkan solat.

Tetapi sekiranya yang demikian itu menyebabkan dia terpaksa melakukan gerakan yang banyak maka batallah solatnya.

8. Berpaling daripada Qiblat

Maksudnya jika dadanya bergerak sama ada ke kiri atau ke kanan walaupun sebab di rempuh atau ditolak, biar pun membetulkannya kembali dengan kadar segera, maka batallah solatnya. Di kecualikan bagi orang yang mendirikan solat khauf.

9. Berubah niat

Maksudnya seseorang yang mendirikan solat tiba-tiba berniat mahu menghentikan solatnya atau merasa ragu-ragu sama ada mahu menghenti atau meneruskan solatnya maka batallah solatnya.

Demikian juga batal solat sekiranya seseorang itu berniat hendak menukar solatnya dari Zuhor kepada Asar melainkan jika seseorang yang mendirikan solat fardhu, seperti solat Zuhor hendak ditukarkan menjadi solat sunat zuhor qabliah dengan cara meringkaskannya menjadi dua rakaat kerana mahu mendirikan solat secara berjemaah, maka hukumnya adalah harus.

10. Memanjangkan rukun yang pendek dengan sengaja

Maksudnya seseorang yang sengaja memanjangkan masa ketika iktidalnya, atau ketika duduk antara dua sujud, maka batallah solatnya.

11. Mendahului imam atau terkemudian dari Imam tanpa uzur

Maksudnya seseorang yang solat kemudian sengaja mendahului imam dengan dua rukun. atau makmum yang ketinggalan daripada Imam sehingga dua rukun tanpa uzur maka batallah solatnya.

12. Murtad

Sama ada dengan perkataan, atau berazam dalam hati seperti memasang niat untuk memeluk agama Kristian pada esok hari dan sebagainya.


Kuliah Maghrib

SMK Vokasional Ampangan
Khamis, 13.5.2010

Rujukan,

Sabilal Muhtadin
Kitab Idaman Penuntut Pada Menghuraikan Yang Kusut

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.