Wednesday, May 12, 2010

Sempurnakan Solat Anda (siri 2)



Pendahuluan

Alhamdulillah siri lepas kita sudah membicarakan kaifiat mendrikan solat sehingga sampai kepada tajuk membaca surah al-Fatihah. Kali ini kita sambung lagi dengan beberapa tajuk iaitu :

10. Rukuk

Ia adalah fardhu dalam setiap solat yang dilakukan berdasarkan firman Allah SWT,

“Wahai orang-orang yang beriman, rukuklah kamu dan sujudlah kamu” (al-Hajj : 77)

Cara bagi rukuk ialah membongkok dan meluruskan tulang punggung sehingga kedua telapak tangan mencapai lutut. Sunat merenggangkan jari ketika rukuk berdasarkan hadis Nabi saw,

أن النبي (ص) كان إذا ركع فرج بين أصابعه , وإذا سجد ضم أصابعه

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi saw apabila rukuk, baginda membuka (merenggangkan) jari-jarinya dan apabila sujud Nabi merapat-rapatkan jarinya.

Semasa rukuk di sunatkan membaca tasbih ini sebanyak tiga kali,

سبحان ربي العظيم

Maksudnya : Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agong

Atau

سبحان ربي العظيم وبحمده

Maksudnya : Maha Suci Tuhanku Yang Maha Agong dan Terpuji

Atau

سبوح قدوس رب الملائكة والروح

Maksudnya : Yang Maha Suci Lagi Maha Bersih, Penguasa Malaikat dan Roh

Tempoh masa ruku, berdiri sesudah rukuk, sujud dan duduk di antara sujud seperti yang dilakukan oleh Rasulullah saw adalah hampir sama.

11. Iktidal

Selesai melakukan rukuk, solat diteruskan dengan Iktidal iaitu bangkit berdiri tegak dengan mengangkat kedua tangan sampai ke bahu atau telinga dengan jari terbuka sedikit seperti ketika Takbiratul Ihram.

Sewaktu mengangkat tulang punggung sesudah rukuk Nabi saw membaca,

سمع الله لمن حمدة

Maksudnya : Allah SWT mendengar orang memuji-Nya.

Kemudian setelah berdiri lurus, Nabi saw membaca pula,

ربنا (و) لك الحمد

Maksudnya : Tuhan Kami, dan untuk-Mu segala pujian.

12. Sujud

Selepas melakukan iktidal, adalah fardhu bagi setiap orang yang menunaikan solat untuk sujud. Berikut beberapa perkara yang perlu diberi perhatian ketika sujud.



Pertama :- Berdasarkan mazhab Syafie, hendaklah mendahulukan lutut ke lantai sebelum tangan sebagaimana hadis Nabi saw yang diriwayatkan oleh Syuraik bin Abdullah an-Nakhaei,

رأيت رسول الله (ص) إذا سجد , وضع ركبتيه قبل يديه وإذا نهض رفع يديه ركبتيه

Maksudnya : Aku telah melihat Rasulullah saw apabila sujud, baginda akan meletakkan kedua lututnya sebelum tangannya dan apabila bangkit, baginda akan mengangkat kedua belah tangannya sebelum lutut. (HR Abu Daud, an-Nasaei)

Kedua :- Ulama bersepakat bahawa sujud yang sempurna mesti dilakukan di atas 7 anggota. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim,

أمرت أن أسجد على سبعة أعظم , وعلى الجبهة , وأشار بيده على أنفه , واليدين واركبتين وأطراف القدمين


Maksudnya : Aku diperintahkan agar melakukan sujud dengan tujuh anggota sujud : Yakni dahi (sambil menunjuk hidung), dua belah tangan, dua lutut dan hujung kedua tapak kaki. (Mutafaqqun ‘alaih)


Ketiga :- Semasa sujud, hendaklah pastikan dahi terbuka tanpa ada sesuatu yang menghalang seperti kain atau rambut. Sabda Rasulullah saw,

أمرت أن أسجد على سبعة , لا أكف شعرا ولا ثوبا

Maksudnya : Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh anggota, tidak ditutupi oleh rambut dan baju.

Selain itu hendaklah menekan dahi itu ke lantai yakni tidak memadai hanya mencecahnya sahaja. Dalilnya ialah hadis Nabi saw,

إذا سجدت فمكن جبهتك من الأرض ولا تنقر نقرا

Maksudnya : Apabila kamu sujud, hendaklah kamu menekan dahimu ke bumi dan jangan hanya mencecah semata-mata untuk cepat.

Keempat : - Ketika sujud hendaklah merapatkan jari sebagaimana hadis Nabi saw,

أن النبي (ص) كان إذا ركع فرج بين أصابعه , وإذا سجد ضم أصابعه

Maksudnya : Sesungguhnya Nabi saw apabila rukuk, baginda membuka (merenggangkan) jari-jarinya dan apabila sujud Nabi merapat-rapatkan jarinya.

Sunat membaca 3 kali tasbih ketika sujud iaitu :

سبحان ربي الأعلى

Maksudnya : Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi

Atau

سبحان ربي الأعلى وبحمده

Maksudnya : Maha Suci Tuhanku Yang Maha Tinggi dan Terpuji

Atau

سبوح قدوس رب الملائكة والروح

Maksudnya : Yang Maha Suci Lagi Maha Bersih, Penguasa Malaikat dan Roh

13. Duduk di antara dua sujud

Duduk ini dikenali sebagai iftirasy. Menurut sunnah, duduk cara ini ialah dengan melipatkan kaki kiri sebagai alas duduk, manakala telapak kaki kanan ditegakkan di atas lantai dan hujung jari kaki mengadap kea rah qiblat. Tiada perbezaan duduk seperti ini antara lelaki dan wanita.

Dalilnya ialah sebuah hadis daripada Aisyah r.anha,

أن النبي (ص) كان يفرش رجله اليسرى وينصب اليمنى

Maksudnya : Nabi saw (ketika duduk antara dua sujud) menghamparkan kaki kiri dan menegakkan telapak kaki kanannya. (Mutafaqqun ‘alaih)


Walaubagaimanapun adalah harus duduk dengan cara menghamparkan kedua telapak kaki dan duduk di atas kedua tumit. Ini juga berdasarkan hadis Nabi saw,

أن اب عباس سئل عن الإقعاء على القدمين ؟ فقال هى سنة نبيك (ص)

Maksudnya : Ibnu ‘Abbas di tanya tentang duduk di atas kedua tumit, maka jelasnya : Itu adalah sunnah Nabimu.

Bacaan ketika duduk antara dua sujud,

رب اغفرلى وارحمنى واجبرنى وارفعنى وارزقنى واهدنى وعافنى واععنى

Maksudnya : Ya Allah ampunilah aku, belas kasihanilah aku dan angkatlah darjatku dan cukuplah segala kekuranganku dan berilah rezeki kepadaku, dan berilah aku pertunjuk dan sejahterakanlah aku dan berilah keampunan kepadaku.

Atau

رب اغفرلى , رب اغفرلى

Maksudnya : Ya Allah ampunilah dosaku, Ya Allah ampunilah dosaku

14. Sujud kedua

Sama seperti sujud pertama dari segi cara dan bacaannya.

15. Duduk Istirahah

Menurut mazhab Syafie rhm, adalah sunat duduk sebentar selepas sujud, sebelum bangun untuk rakaat seterusnya.

16. Bangun untuk rakaat seterusnya

Menurut mazhab Syafie, ketika bangun Nabi saw akan meletakkan tangannya di atas lantai sebelum berdiri. Dalilnya ialah sebuah hadis Rasulullah saw,

إذا رفع رأسه عن السجدة الثانية واعتمد على الأرض ثم قام

Maksudnya : Apabila Nabi saw mengangkat kepalanya dari sujud kedua, Nabi akan duduk sebentar dan bergantung kepada bumi kemudian bangkit berdiri.

17. Tahyat awal / akhir

Adalah sunat mengangkat jari telunjuk semasa melafazkan syahadah. Hal ini berdasarkan hadis Rasulullah saw yang mafhumnya,

“Sesungguhnya Nabi sawapabila bertasyahhud, baginda meletakkan tangan kirinya di atas peha kiri, tangan kanan di atas peha kanan dan mengisyaratkan dengan jari telunjukkanya serta tidak melepaskan pandangan matanya dari jari isyaratnya”

18. Memberi salam

Menurut mazhab Syafie, memberi salam yang pertama hukumnya adalah wajib, manakala yang kedua hukumnya adalah sunat sama ada ketika solat bersendirian atau berjemaah.

Sunat memperlahankan salam kedua daripada yang pertama.

Jika solat berjemaah adalah digalakkan makmum menjawab salam imam dengan syarat setelah mereka juga melafazkan salam. Wallahualam.

Kuliah Maghrib
Surau Sek. Men. Keb Vokasional Ampangan
Khamis , 29.4.2010

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.