Monday, May 17, 2010

Bagaimana hukum potong tangan dilaksanakan






















Firman Allah SWT,

“Lelaki yang mencuri dan wanita yang mencuri, maka potonglah tangan kedua mereka (sebagai) pembalasan atas apa yang mereka kerjakan dan sebagai siksaan dari Allah s.w.t” [al-Maaidah : 38].

Dalam ayat ini, Allah SWT menyebut pencuri lelaki dahulu kemudian baru wanita kerana jenayah ini biasanya didominasi oleh kaum lelaki.

Anggota Yang Wajib DiPotong

Menurut Imam Abu Hanifah jika pesalah itu melakukan kesalahan mencuri kali pertama, maka hendaklah dipotong tangan kanannya. Kemudian jika dia melakukan kesalahan kali kedua maka hendaklah dipotong pula kaki kirinya. Jika dia kembali semula mencuri selepas itu, maka dia akan dipenjarakan ke suatu waktu yang tidak ditetapkan masanya sehinggalah dia mati atau dia terang-terang bertaubat.



Tetapi menurut Imam Malik dan Imam Syafie, anggota yang wajib dipotong ialah tangan kanannya bagi kesalahan pertama, jika dia mencuri kali kedua, maka hendaklah dipotong pula kaki kirinya, dan jika dia mencuri kali ketiga maka hendaklah dipotong pula tangan kirinya dan jika dia mencuri kali keempat maka hendaklah dipotong pula kaki kanannya. Andainya sesudah itu, dia masih mencuri lagi maka dia akan dipenjarakan sehingga mati atau sehingga terang-terang dia bertaubat.

Tempat Yang Wajib DiPotong

Terdapat khilaf di kalangan ulama tentang tempat yang wajib dipotong. Menurut Imam-Imam Mazhab yang empat, tempat yang wajib dipotong ialah pada pergelangan tangan Manakala ulama di kalangan Mazhab Syiah Imamiah berpendapat tempat yang wajib dipotong ialah di pangkal jari-jari, sementara golongan Mazhab Khawarij pula ialah di bahu tangan.

Pada anggota kaki pula, tempat yang wajib dipotong menurut jumhur ulama ialah sendi buku lali kaki. Manakala Mazhab Syiah Imamiah pula berpendapat, tempat yang wajib dipotong ialah di bahagian hadapan kaki tidak termasuk tumit.

Cara Memotong

Hendaklah memotong pada sendi pergelangan tangan atau pada sendi buku lali. Selepas sendi-sendi itu dipotong, sunat menurut Al-Shafie dan Ahmad, direndamkan bahagian yang dipotong itu ke dalam minyak yang mendidik untuk mematikan urat-urat yang terputus dan menghentikan darah terus mengalir.

Mengggantung tangan yang dipotong

Di dalam masaalah ini terdapat dua pandangan daripada para ulama : Imam Syafie dan Imam Ahmad berpendapat, tangan pencuri yang telah dipotong sunat di gantung kelehernya untuk beberapa waktu agar ia menjadi satu pengajaran yang menakutkan kepada orang ramai.

Tentang kadar masa gantungan itu, ulama di kalangan Mazhab Hanbali tidak menghadkan kadar masanya, tetapi menurut ulama di kalangan Mazhab Shafie masanya adalah selama satu jam. Manakala ulama di kalangan Mazhab Hanafi dan Maliki tidak menyebut langsung tentang hukum menggantungkan tangan pencuri.

Ketiadaan Anggota Yang Wajib Di Potong

Ulama telah bersetuju bahawa pembalasan potong akan gugur apabila anggota yang wajib dipotong tidak ada akibat sesuatu yang berlaku selepas kejadian curi, sama ada sakit atau menjalani hukuman qisas. Kerana itu sesiapa yang kehilangan tangan kanannya kerana sesuatu peristiwa selepas dia melakukan kesalahan mencuri, maka pembalasan potong tidak lagi wajib ke atasnya dan ia tidak boleh dipindahkan ke kaki kirinya. Akan tetapi jika peristiwa itu berlaku sebelum dia melakukan kesalahan mencuri, maka pembalasan potong tetap akan dijalankan yakni berpindah ke kaki kirinya. Wallahualam.


Dikuliahkan oleh,
Ust. Mohd Hishamuddin bin Mansor.

Rujukan,

1.Undang Undang Jenayah Islam –Dr. Mat Saad Abd Rahman, Penerbit Hizbi Shah Alam
2.Jinayah Dalam Islam – Dr. Mahfodz Mohammad, Nurin Enterprise Kuala Lumpur
3.Milenia Muslim, Jun 2006 m.s 36.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.