Kahwin Muhallil (Cina buta)






















Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah : 230


Firman Allah SWT,

“Sesudah (diceraikan dua kali) itu, jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga), maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain. Setelah itu, kalau ia diceraikan (oleh suami baru itu dan habis eddahnya), maka mereka berdua (suami lama dan bekas isterinya) tidaklah berdosa untuk kembali (berkahwin semula ), jika mereka kuat menyangka akan dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Itulah aturan hukum Allah, diterangkan kepada kaum yang mengetahui dan memahaminya.” (Al-Baqarah 230)

Huraian

Ayat ini turun berkaitan dengan kisah ‘Aisyah binti Abdul Rahman yang telah diceraikan oleh suaminya Rifa’ah bin Wahab dengan talak tiga. Beliau kemudiannya berkahwin pula dengan Abdul Rahman bin Zubair al-Qurazi. Malangnya beliau juga turut diceraikan oleh suami keduanya itu. Setelah itu dia telah datang kepada Rasulullah saw dan berkata : Ya Rasulullah, Dia (Abdul Rahman bin Zubair al-Quraizi) telah menceraikan aku sebelum menyentuhiku (yakni bersetubuh). Bolehkan aku kembali kepada bekas suamiku yang pertama.. Baginda saw menjawab : Tidak boleh selagi tidak di sentuh (yakni bersetubuh dengan isteri kedua).

Berdasarkan ayat di atas, ulama feqah sepakat, sekiranya si suami menceraikan isterinya dengan talak tiga, si suami itu tidak boleh merujuk kembali kepada bekas isterinya melainkan bekas isterinya itu berkahwin dengan suami yang baru melalui perkahwinan yang diiktiraf syariat, sah dan bertujuan kekal bukan perkahwinan yang dirancang (perkahwinan muhallil). Dan berdasarkan hadis di atas perkahwinan dengan suami kedua itu hendaklah berlaku dukhul iaitu jimak.

Jika berlaku penceraian dengan suami kedua (penceraian yang tidak dirancang), setelah tamat eddah maka bolehlah bekas suaminya yang pertama dahulu mengahwininya semula dengan akad nikah dan mahar yang baru. Dan suami pertama akan kembali memiliki tiga talak sekaligus memadamkan talak yang lalu. .

Hal ini berbeza dengan penceraian talaq satu dan talak dua, menurut jumhur (Maliki, Syafie dan Hanbali) perkahwinan kali kedua dengan bekas isteri yang dicerai talak satu atau dua tidak akan memadamkan talak terdahulu. Ini kerana perkahwinan dan persetubuhan dengan suami kedua tidak diperlukan untuk menghalalkan dirinya kepada suami pertama.

Adapun perkahwinan muhallil yakni perkahwinan yang dirancang agar bekas isteri yang dicerai dengan talak 3 boleh kembali kepada bekas suaminya yang pertama setelah berlaku penceraian dengan suami kedua, perkahwinan seperti ini adalah haram, batil dan tidak sah. Jika berlaku juga perkahwinan dengan bekas suami pertama dengan cara ini, maka perkahwinan itu tidak sah dan ia di anggap sebagai perbuatan zina. Ini berdasarkan hadis Rasulullah saw,

ألا أخبركم بالتيس المستعار ؟ قالو : بلى يا رسول الله قال : هو المحلل ,
لعن الله المحلل والمحلل له


Maksudnya : Mahukah kamu jika aku memberitahu siapakah orang yang paling keji lagi hina ? Para sahabat menjawab : Ya, ya Rasulullah. Baginda berkata : Ia adalah al-Muhallil (lelaki yang mengahwini seorang perempuan yang telah dicerai talak tiga dengan tujuan menghalalkannya semula kepada bekas suaminya selepas ia menceraikan) Allah melaknat al-Muhallil dan al-Muhallal lahu (suami yang menjatuhkan talak tiga kemudiannya ingin merujuk semula bekas isterinya melalui perkahwinan muhallil.

Kata Saidina Umar al-Khattab r.a, Tidak dibawa kepadaku muhallil atau muhallal lahu melainkan akan aku rejam kedua-duanya. Abdullah bin Umar ketika menerangkan maksud ayahnya : beliau menjawab kedua-duanya adalah penzina.

Di akhir ayat 230, Allah SWT mengistiharkan bahawa segala hukum-hukum tersebut adalah batasan Allah SWT yang diterangkan dengan sejelas-jelasnya kepada golongan yang tahu akan faedahnya dan sedar terhadap kepentingannya.

Wallahualam.

Kuliah Maghrib,
Ust. Mohd Hishamuddin bin Mansor.

Rujukan,
Tafsir Ahmad Sonhadji, Al-Munir dan Az-Azhar.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu