Friday, November 13, 2009

Hukum Ilak

Firman Allah SWT,
"Kepada orang-orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri-isteri mereka, diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani".(Al-Baqarah : 226)

Ilak adat jahiliyah

Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan hukum Ilak, iaitu bersumpah tidak akan menyetubuhi isteri. Sebab turun ayat ini ialah kerana pada zaman jahiliah, jika seseorang suami yang meminta sesuatu daripada isterinya sedangkan si isteri enggan menunaikannya, maka si suami akan mengancam isterinya dengan kata-kata sumpah tidak mahu menyetubuhinya selama 4 bulan, atau 5 bulan atau 1 tahun, 2 tahun atau pada satu tarikh yang tidak ditetapkan. Maka jadilah si isteri itu teraniaya seperti gantung tidak bertali.

Penyelesaian Islam

Dengan kedatangan Islam, syarak memberi tempoh 4 bulan kepada mana-mana suami yang bersumpah tidak mahu mendatangi isterinya. Sekiranya dalam tempoh 4 bulan ini, si suami kembali kepada isterinya dengan menyetubuhinya maka wajiblah si suami membayar kifarah sumpah. Selain itu suami hendaklah bertaubat kepada Allah SWT di atas kesalahan menyakiti isterinya, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

Firman Allah SWT,

"Jika mereka berazam hendak menjatuhkan talak (menceraikan isteri), maka sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui" (Al-Baqarah : 227)

Jika sudah berlalu 4 bulan...

Setelah selesai tempoh 4 bulan yang di beri, sedang si suami masih tidak mahu menyetubuhi isterinya, itu adalah petanda bahawa si suami berniat di hati untuk menceraikan isterinya dan Allah SWT Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui isi hati isi hati suami tersebut.

Menurut hukum fekah maka jatuhlah talak 1. Ada pendapat lain mengatakan pihak isteri perlu merujuk kepada Hakim terlebih dahulu dan setelah cukup bukti oleh Hakim memang telah habis 4 bulan tempoh yang diberi sedang si suami masih tidak mahu menyetubuhi isterinya, maka Hakim akan mengesahkan penceraian tersebut. Ada juga pendapat mengatakan jatuh talak dengan rasmi sekiranya ia dinyatakan sendiri oleh Hakim.

Walalhualam.

Tafsir Al-Munir
Tafsir Al-Azhar

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.