8 penghalang cinta kepada Rasul
Tafsir Al-Quran
Surah At-Taubah ayat 24
Firman Allah SWT,
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.(24)
Huraian ayat
Menurut Imam Al-Qurthubi, ayat ini merupakan dalil yang jelas tentang kewajipan menyintai Allah dan juga Rasul hendaklah melebihi kecintaan kepada yang lain-lain. Tegasnya, barangsiapa yang menyintai sesuatu melebihi cinta kepada Allah dan Rasul, mereka bakal memperolehi seksaan sama ada cepat atau pun lambat, di dunia mahu pun di akhirat.
Yang dimaksudkan menyintai Allah dan Rasul ialah mematuhi segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya sebagaimana yang terkandung di dalam Al-Quran dan juga Hadis.
Barangsiapa yang hanya menyintai Allah SWT tanpa disertai dengan menyintai Rasul, maka setiap amalannya tidak diterima oleh Allah SWT. Begitu juga sebaliknya jika hanya menyintai Rasul tetapi tidak menyintai Allah SWT, maka akan terjerumus ke lembah kekufuran.
Al-Quran menjelaskan tiada jalan untuk menyintai Allah melainkan mesti menyintai Rasul sebagaimana firman-Nya dalam surah Ali Imran,
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”. (Ali-‘Imran : 31)
Dalam surah At-Taubah ayat 24 tadi Allah SWT menjelaskan 8 sebab yang menjadi penghalang seseorang itu untuk menyintai Allah dan Rasul.
Yang pertama ialah cinta kepada bapa termasuk juga ibu. Bapa adalah orang yang paling dihormati dalam sesebuah keluarga. Dialah yang bersusah payah mencari rezeki dan dialah orang yang penting dalam membuat sesuatu keputusan. Dia juglah yang mewalikan pernikahan anak perempuan dan dengan nama dia jugalah anak-anak itu dibin atau dibintikan.
Oleh kerana itu anak-anak akan merasa marah jika orang lain mencemuh dan mengutuk bapanya sehingga mereka sanggup bergaduh, bertengkar kerana mempertahankan nama baik bapa. Persoalan, jika anak-anak sanggup mempertahankan bapa mengapa dalam masa yang sama mereka tidak sanggup mempertahankan Rasulullah saw jika baginda dihina oleh orang kafir ?
Yang kedua ialah cinta kepada anak-anak. Sudah menjadi hasrat pasangan suami isteri untuk mendapatkan zuriat sebagai pemyambung keturunan. Ada yang mudah mendapat zuriat, ada yang sukar dan ada yang langsung tidak dikurniakan zuriat. Bagi mereka yang tidak memiliki zuriat biasanya akan mengambil anak angkat yang dipelihara seperti anak kandungnya sendiri.
Anak adalah pengarang jantung bagi ibu dan bapa. Seorang bapa yang penat bekerja bila mendengar suara anak-anak kecil di rumah hatinya akan terhibur. Ada bapa yang sanggup membelikan hadiah dan barang permainan yang mahal-mahal untuk anaknya. Ada ibu bapa yang memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk menyewa hotel-hotel peranginan sama ada di dalam mahu pun di luar negara semata-mata untuk bercuti dengan anak-anak.
Namun jika cinta kepada anak-anak melebihi cinta kepada Allah SWT dan Rasul-Nya sehingga tidak sanggup marah kepada anak-anak yang terang-terang melakukan dosa seperti tidak solat, maka tunggulah balasan Allah SWT tidak kira cepat atau lambat.
Yang ketiga ialah cinta kepada adik beradik. Biar pun semasa kecil sering bergaduh namun bak kata pepatah air dicincang tidak akan putus. Jika di sekolah apabila abang melihat adiknya dibuli, abang akan mempertahankan adiknya. Begitu juga jika sudah besar dan dewasa apabila abang meninggal dunia, maka adik akan mengambil alih tanggungjawab untuk membela anak-anak abangnya seperti dia menjaga anaknya sendiri. Inilah sifat naluri manusia.
Yang keempat ialah cinta suami kepada isteri dan isteri kepada suami. Ada suami yang sanggup menyerahkan semua wang gajinya kepada isteri. Ada juga suami yang sanggup membelikan hadiah hari jadi yang mahal-mahal untuk isterinya. Bagi isteri pula ada yang sabar menjaga suaminya yang sakit atau lumpuh dan sebagainya. Sedikit pun tidak ada di riak wajah suami atau isteri perasaan kecewa dan kesal.
Yang kelima ialah cinta terhadap kaum keluarga. Disebabkan cinta kepada keluarga ada suami yang ditawarkan bekerja ke luar negera terpaksa menolak tawaran tersebut walaupun gaji yang ditawarkan agak lumayan. Hal ini semata-mata tidak mahu berpisah dengan isteri dan anak-anak, apatah lagi jika anak-anak itu masih kecil yang sudah pastinya memerlukan perhatian seorang bapa.
Yang keenam ialah cinta terhadap harta. Ia adalah sifat semulajadi manusia. Di kalangan manusia ada yang bekerja keras siang dan malam untuk mengumpulkan harta sebanyak yang mungkin. Daripada emas berkilau, wang ringgit, rumah besar dan kereta mewah sehinggalah sampai kepada baju yang berjenama.
Di antara harta kekayaan itu, ada yang diperolehi melalui usaha sendiri dan ada harta yang diperolehi secara warisan. Sudah tentu harta yang diperolehi melalui hasil titik peluh sendiri lebih dikasihi daripada harta warisan.
Yang ketujuh ialah cinta kepada perniagaan yang diusahakan sama ada perniagaan yang kecil mahu pun yang besar. Bagi mereka yang berniaga kecil-kecilan seperti menjual nasi lemak dan kuih muih, amat risau sekiranya hari hujan menyebabkan mereka tidak boleh berniaga. Manakala bagi mereka yang terlibat dalam perniagaan besar seperti gedung-gedung jualan juga amat risau jika berlaku demontrasi jalanan menyebabkan gedung perniagaan mereka dirompak atau sebagainya.
Dan yang kelapan ialah cinta kepada tempat kediaman. Ada manusia yang sanggup berbelanja berpuluh-puluh ribu ringgit untuk mengubah suai rumah mengikut citarasa yang disukai. Ada yang buat rumah di atas bukit, di tepi tasik dan tidak kurang juga yang buat rumah di tengah-tengah padang Golf. Sedangkan untuk menyahut panggilan Allah SWT ke Baitullah dan menziarahi makam Rasulullah saw di Madinah asyik tertangguh-tangguh. Demikianlah kegilaan manusia pada rumah.
Di akhir ayat Allah SWT berfirman,
“kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)”.
Maksudnya orang yang mengasihi sesuatu sehingga melebihi kasih kepada Allah dan Rasul, mereka bukan sahaja diancam azab di dunia dan di akhirat tetapi mereka juga diistiharkan sebagai fasik (penderhaka).
Wallahualam.
Comments
Post a Comment