Hukum Hudud : Surat Terbuka buat Presiden MCA

Tuan Presiden MCA

Tuan Presiden,

Saya dan berjuta umat Islam di Malaysia sungguh kesal apabila Tuan Presiden dengan sewenang-wenangnya memperlekehkan hukum hudud yang wajib kami imani sepenuhnya.

Sesungguhnya kami betul-betul merasa teringgung dengan kenyataan Tuan Presiden yang mengatakan hukuman ini zalim dan tidak berperikemanusiaan. Dakwa Tuan Presiden, jika hukuman hudud dilaksanakan di negara kita, maka ramailah pelabur-pelabur asing akan meninggalkan Malaysia kerana takut kepada hukuman itu.

Untuk makluman Tuan Presiden, memang hukuman Allah SWT ini sungguh menakutkan. Itulah antara hikmah mengapa Tuhan Semesta Alam mensyariatkan hukuman ini di dalam al-Quran, supaya manusia tidak melakukan jenayah, kemungkaran dan juga kejahatan.

Tetapi hukuman ini wahai Tuan Presiden, hanya menakutkan kepada mereka yang melakukan jenayah seperti perompak, penyamun, penzina, pelacur dan sebagainya sahaja.

Ada pun bagi mereka yang tidak melakukan kesalahan jenayah, tidak ada apa yang perlu dirisaukan.

Justeru saya tidak nampak sebarang alasan mengapa Tuan Presiden mengatakan pelabur-pelabur asing akan lari dari Malaysia kerana takut kepada hukuman potong tangan?

Tidak tahulah saya kalau Tuan Presiden mempunyai bukti bahawa pelabur-pelabur asing yang datang berniaga di Malaysia adalah perompak dan pencuri-pencuri belaka.

Jika itu yang Tuan Presiden rasakan, saya fikir eloklah Tuan Presiden laporkan sahaja kepada Polis Diraja Malaysia tentang jenayah-jenayah yang telah dilakukan oleh pelabur-pelabur asing di negara kita selama ini.

Atau sebagai ahli politik yang amat rapat dengan YAB Perdana Menteri, mungkin Tuan Presiden boleh cadangkan kepada Dato Seri Najib supaya mengharamkan sahaja pelabur-pelabur asing datang ‘cari makan’ di Malaysia kerana sudah terlalu banyak harta-harta negara dirompak oleh mereka.

Jika hukum hudud dilaksanakan, ramai lagi pelabur akan datang ke Malaysia.

Tuan Presiden,

Saya tidak mahu menulis panjang.

Cukuplah saya mengambil satu dalil tentang kewajipan hukum ini seperti yang termaktub dalam kitab suci kami, al-Quran.

“Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.(38)

Tuan Presiden,

Ayat yang saya paparkan tadi ialah surah al-Maidah ayat 38.

Jika Tuan Presiden tidak bertemu dengan ayat ini dalam mana-mana tafsir yang Tuan Presiden baca, mungkin Tuan Presiden boleh bertanya kepada YB Dato’ Jamil Khir, Menteri Agama yang selalu keluar Forum Perdana satu ketika dahulu.

Insya Allah nanti dia akan tunjukkan di mana ayat itu !

Tetapi jika Menteri Agama sibuk (maklumlah PRU 13 semakin hampir), Tuan Presiden bolehlah datang berjumpa saya di Surau Kg. Ismail Ampangan Seremban, pada setiap hari Rabu minggu pertama dan ketiga untuk bertanya di lokasi manakah ayat itu berada dalam tafsir al-Quran.

Insya Allah nanti kita boleh berbual panjang mengenainya sambil menikmati kuih karipap dan teh ‘o’ panas yang biasa disediakan oleh pihak surau setiap kali habis kuliah.

Atau Tuan Presiden boleh tunggu saya di pintu Masjid Negeri Seremban pada setiap hari Ahad minggu pertama, ketiga dan kelima, pukul 7.00 pagi selepas saya menyampaikan kuliah Subuh.

Itu pun kalau Tuan Presiden boleh bangun awal pada setiap hari cuti minggu.

Atau Tuan Presiden boleh jumpa saya di Surau Al-Amin, Surau Al-Falah, Surau Sri Pulai, Surau Hidayah dan Masjid Qaryah Sikamat yang semuanya terletak di lokasi yang sama iaitu Sikamat.

Tapi kalau Tuan Presiden suruh saya datang ke rumah Tuan Presiden di Kuala Lumpur atau pekan Labis, saya minta maaf banyak-banyak kerana saya tidak boleh ke sana.

Maklumlah bulan Disember ini, saya perlu simpan duit untuk belanja persekolahan anak-anak.

Atau susah-susah sangat, Tuan Presiden hubungi sahaja saya di talian 019-6404133.

Insya Allah saya tidak lokek untuk berkongsi maklumat dengan Tuan Presiden. Apa-apa sahaja perkara berkaitan tentang hukum hudud saya akan cuba jelaskan. Khidmat ini saya berikan secara percuma , Free of Charge !

Tetapi janganlah pula Tuan Presiden bertanya saya, bagaimana mahu menguatkan ‘tenaga batin’. Saya memohon maaf banyak-banyak kerana soalan itu saya tidak boleh menjawabnya.

Sumpah ! Saya bukan ahli dalam bidang itu.

Tuan Presiden mungkin boleh bertanya perkara itu kepada mana-mana tabib-tabib Cina atau berkunjung ke kedai-kedai sensei yang terdapat di seluruh negara.

Atau Tuan Presiden boleh juga bertanya kepada YB Bung Mokhtar, ahli parlimen Kinabatangan. Dia mungkin ada maklumat perihal itu dan bersedia untuk berkongsi pengalaman dengan Tuan Presiden.

Tapi awas...!, jangan pula Tuan Presiden bertanya kepada Dato Seri Sharizat Jalil, kerana dia sudah memberi amaran untuk 'selak kain' kepada sesiapa sahaja yang membicarakan isu lembu kepunyaan suaminya.

Saya sangat khuatir ketika Tuan Presiden bertanya Ketua wanita UMNO itu, ketika itulah dia menyelak kainnya sekaligus membangkitkan rasa syahwat Tuan Presiden.

Cukuplah skandal seks video yang pertama tu…, jangan pula timbul skandal seks video kedua pula!.

Kami rakyat Malaysia sudah tidak larat lagi membaca berita-berita porno dan lucah yang sering disiarkan oleh Utusan Meloya.

Oh ya…, jauh pula saya meleret-leret.

Tuan Presiden,

Sekarang mari kita kembali kepada huraian ayat 38 surah al-Maidah tadi.

Untuk makluman Tuan Presiden, dalam ayat 38 surah itu Allah SWT menjelaskan bahawa pencuri lelaki dan perempuan yang sabit melakukan kesalahan, hendaklah mereka dijatuhkan hukuman potong tangan disebabkan tangan itulah yang biasanya digunakan untuk melakukan perbuatan keji tersebut.

Hikmah disyariatkan hukuman ini seperti yang dijelaskan-Nya,

“..suatu hukuman pencegah dari Allah…”

Maksudnya wahai Tuan Presiden, dengan perintah hukuman ini dijalankan, ia bakal menakutkan manusia untuk melakukan jenayah curi sekaligus mewujudkan kemanan dan keadilan dalam masyarakat serta menjaga harta orang ramai dari diambil secara tidak sah.

Tuan Presiden,

Cuba Tuan Presiden bayangkan, mereka yang bersusah payah mencari rezeki bagi menyara anak dan isteri, membeli kelengkapan dapur, membiayai pengajian anak-anak di sekolah mahu pun di universiti tiba-tiba duit gajinya dicuri orang.

Bagaimanakah perasaan orang itu ? Sudah tentu dia akan merasa marah, hampa, sedih, sakit hati dan kecewa sehingga mewujudkan perasaan tidak tenteram dalam jiwanya.

Manakala orang yang mencuri pula akan merasa seronok dengan hasil curiannya, melahirkan sifat malas untuk berkerja sedangkan sifat malas mencari rezeki itu sangat ditegah oleh agama Islam.

Tuan Presiden,

Tahukah Tuan Presiden dari perbuatan mencuri, akan lahir n pula perbuatan merompak dan akhirnya mewujudkan kumpulan gangster atau kongsi gelap yang sekaligus mengancam keselamatan negara dan peniaga ?

Para pelabur sudah tentu akan berfikir beberapa kali untuk melabur di negara-negara yang berleluasanya jenayah ini. Demikianlah besarnya wahai Tuan Presiden, bencana dan kerosakkan yang bakal menimpa masyarakat jika dibiarkan jenayah ini berleluasa.

Justeru itulah Allah SWT mensyariatkan hukuman ini bagi menzahirkan ke Maha Bijaksanaannya sebagai Tuhan yang Maha Mengetahui setiap permasalahan manusia seperti yang disebut di hujung ayat ini,

“…Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Kesimpulannya, janganlah Tuan Presiden ‘gundah gelana’ jika hukuman ini dilaksanakan di negara kita. Insya Allah para pelabur asing tidak akan lari, malah mereka akan bertambah suka dengan negara kita kerana kemanan dan kesejahteraan yang terhasil akibat dari pelaksanan hukum hudud ini.

Sekian sahaja tazkirah dari saya buat Tuan Presiden.

Selebihnya Tuan Presiden rajin-rajinlah membaca buku mengenai hukum hudud tulisan ulama-ulama Islam tersohor baik di dalam mahu pun di luar negara.

Salam hormat daripada saya.

Abu Sofeya.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu