Kisah Samiri dan taubat di zaman Nabi Musa

Tafsir Surah al-Baqarah
Ayat 50-56


Firman Allah SWT,

“Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya.(50)Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri).(51)Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur.(52)Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk.(53)Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.(54)Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya.(55)Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati (atau pengsan dari sambaran petir itu), supaya kamu bersyukur”.(56)

Huraian ayat

Firman Allah SWT pada ayat 50,

“ Dan (kenangkanlah) ketika kami belahkan laut (Merah) untuk kamu lalui (kerana melarikan diri dari angkara Firaun), maka Kami selamatkan kamu dan Kami tenggelamkan Firaun bersama-sama tenteranya, sedang kamu semua menyaksikannya”.(50)

Allah SWT menyatakan kepada Bani Israil bahawa Dia telah membelah laut Merah untuk membolehkan mereka lari daripada kekejaman Firaun. Menurut riwayat, Nabi Musa a.s bersama lebih 60 000 kaum Bani Israil telah terperangkap apabila beradadi hadapan laut Merah. Sedangkan di belakang mereka Firaun dan tentera-tenteranya semakin menghampiri mereka.

Dengan pertolongan Allah SWT, telah diwahyukan kepada Nabi Musa a.s supaya memukul laut itu dengan tongkatnya. Dengan izin Allah, laut itu terbelah dua menjadi lorong kepada kaum Bani Israil untuk menyeberang ke dataran dengan selamat.

Manakala Firaun dan kuncu-kuncunya yang turut menyeberangi laut Merah, malangnya laut itu kembali bercantum mengakibatkan Firaun yang terkenal ganas, zalim dan sombong akhirnya mati lemas bersama-sama pasukan tenteranya.

Inilah antara nikmat yang Allah SWT nyatakan kepada Nabi Muhammad SAW untuk disampaikan kepada orang-orang Yahudi di Madinah agar mereka mengenangnya kembali seterusnya memenuhi janji yang telah mereka buat kepada Allah untuk beriman dengan Rasulullah SAW.

Firman Allah pada ayat 51,

“Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Nabi Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah ia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah ia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu, dan kamu sebenarnya orang-orang yang zalim (terhadap diri sendiri)”.(51)

Setelah Allah SWT menyelamatkan kaum Bani Israil dari kekejaman Firaun, lalu Allah SWT menjanjikan kepada Nabi Musa a.s untuk memberikan kepadanya kitab Taurat di bukit Tursina sebagai panduan dan pedoman kepada kaum Bani Israil. Sepanjang pemergian baginda ke bukit itu selama 40 malam, urusan memimpin kaum Bani Israil diserahkan kepada saudaranya Nabi Harun a.s.

Peluang ini telah diambil oleh salah seorang pengikut Nabi Musa a.s yang munafik, bernama Samiri untuk menyesatkan kaum Bani Israil. Semasa kaum Bani Israil menyeberang laut Merah, malaikat Jibril turut serta dengan menunggang kuda. Bekas pijakan kuda itu jika dikenakan kepada sesuatu benda, maka benda itu akan menjadi hidup. Lalu Samiri telah mengambil sedikit dari bekas pijakan kuda itu untuk disimpannya.

Samiri telah berusaha menarik kaum Bani Israil meninggalkan agama yang dibawa oleh Nabi Musa a.s. Dengan helah, Samiri memujuk kaumnya supaya mengumpulkan barang-barang kemas yang mereka larikan dari Mesir semasa menyeberangi laut Merah. Barang-barang kemas ini kemudiannya ditanam buat sementara waktu sehinggalah Nabi Musa pulang. Samiri kemudian menggali semula emas yang ditanam dan dileburnya menjadi seekor anak patung lembu. Setelah itu di lumurkan pula dengan bekas pijakan kuda Jibril sehingga patung itu hidup dan dapat berkata-kata.

Kata Samiri,

“Wahai kaumku, Inilah Tuhan kamu dan juga Tuhan Musa. Musa telah lupa di mana Tuhannya berada. Ia sebenarnya tertinggal di sini, kamu carilah di mana Musa pergi”.

Kaum Bani Israil mencari Nabi Musa a.s dan menghitung bilangan siang dan malam selama dua hari. Apabila sudah dua puluh hari mereka mencari, mereka menganggapnya sudah empat puluh hari iaitu jumlah hari di mana Nabi Musa a.s berjanji akan pulang.

Apabila mereka menunggu Nabi Musa a.s tidak juga pulang-pulang, mereka menyangka bahawa Nabi Musa a.s sudah pun meninggal dunia lalu mereka yakin dan terpedaya dengan ajakan Samiri yang menyuruh mereka menyembah anak patung lembu sebagai Tuhan melainkan yang tidak terpedaya hanyalah Nabi Harun a.s beserta dua belas ribu pengikut yang lain.

Firman Allah SWT pada ayat 52,

“Kemudian sesudah itu kami maafkan kesalahan kamu, supaya kamu bersyukur”.(52)

Setelah itu Allah SWT ampunkan kesalahan mereka dengan jalan taubat seperti yang akan dikisahkan pada ayat 54 nanti.

Firman Allah SWT seterusnya pada ayat 53,

“Dan (kenangkanlah) ketika Kami turunkan kepada Nabi Musa kitab (Taurat) dan keterangan-keterangan (yang terkandung di dalamnya, yang membezakan antara yang benar dengan yang salah), supaya kamu mendapat petunjuk”.(53)

Kitab Taurat diserahkan kepada Musa a.s pada waktu Asar hari Jumaat tanggal 10 Zulhijjah iaitu kira-kira 2320 tahun sebelum kitab al-Quran diturunkan. Ia ditulis di papan berukuran 15 kaki x 15 kaki sebanyal 9 lapis.

Isi kandungan kitab Taurat mengandungi sepuluh perkara iaitu :

1. Hendaklah menyembah Allah dan jangan menyengutukan-Nya dengan sesuatu.

2. Jangan membunuh seseorang yang diharamkan Allah

3. Jangan bersumpah bohong

4. Jangan menjadi saksi palsu

5. Jangan hasad dengki

6. Jangan berzina

7. Jangan menyembelih binatang melainkan hendaklah menyebut nama Allah

8. Jangan berlaku curang terhadap isteri jiran

9. Hendaklah menyintai manusia sebagaimana menyintai diri sendiri

10. Membenci perkara yang menimpa orang lain sebagaimana benci sesuatu yang menima diri sendiri.

Firman Allah SWT pada ayat 54,

“ Dan (kenangkanlah) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: ” Wahai kaumku! Sesungguhnya kamu telah menganiaya diri kamu sendiri dengan sebab kamu menyembah patung anak lembu itu, maka bertaubatlah kamu kepada Allah yang menjadikan kamu; iaitu bunuhlah diri kamu. Yang demikian itu lebih baik bagi kamu di sisi Allah yang menjadikan kamu, supaya Allah menerima taubat kamu itu. Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani”.(54)

Setelah empat puluh hari Nabi Musa a.s di bukit Tursina, baginda pun kembali kepada kaumnya. Alangkah terperanjatnya baginda apabila melihat sebahagian besar daripada kaumnya sudah murtad dengan menyembah anak patung lembu sebagai Tuhan.

Nabi Musa a.s yang marah melihat apa yang terjadi telah menyuruh kaumnya supaya bertaubat kepada Alah SWT dengan membunuh diri mereka sendiri. Inilah hukuman bagi orang yang murtad di zaman Nabi Musa a.s.

Firman Allah SWT pada ayat 55,

“ Dan (kenangkanlah) ketika kamu berkata: “Wahai Musa! Kami tidak akan beriman kepadamu sehingga kami dapat melihat Allah dengan terang (dengan mata kepala kami)”. Maka kerana itu kamu disambar petir, sedang kamu semua melihatnya”.(55)

Ayat ini menceritakan kedegilan bangsa Yahudi yang tidak mahu beriman dengan ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa a.s selagi mana mereka tidak dapat melihat Allah dengan mata kepala mereka sendiri.

Sebahagian mufassirin menjelaskan, Allah SWT telah memerintahkan Nabi Musa a.s untuk memilih seramai tujuh puluh orang kaum Bani Israil yang baik-baik untuk bersama bermunajat di bukit Tursina memohon keampunan daripada Allah di atas kesalahan sebahagian daripada kaum mereka yang menyembah anak patung lembu.

Nabi Musa a.s menyuruh mereka berpuasa, bersuci dan memakai pakaian yang bersih. Di bukit Tursina mereka mendengar firman Tuhan secara langsung yang berbunyi,

“Sesungguhnya Aku adalah Allah. Tiada Tuhan melainkan Aku. Aku telah mengeluarkan kamu dari bumi Mesir maka sembahlah Aku dan jangan kamu menyembah yang lain”.

Apabila mereka mendengar firman Tuhan ini lalu berkata dengan nada mengejek,

“ Wahai Musa, kami tidak percaya kepada engkau selagi mana kami tidak melihat Allah secara terang-terangan”.

Lalu Allah SWT menghukum mereka dengan menghantar petir menyebabkan mereka mati bergelimpangan. Nabi Musa a.s yang sedih di atas kematian mereka, kemudian berdoa seperti yang termaktub dalam surah al-A’raaf ayat 155,

“ Wahai Tuhanku! Jika Engkau kehendaki, Engkau boleh binasakan mereka bersama-sama denganku sebelum ini. Adakah Engkau hendak membinasakan kami disebabkan apa yang telah dilakukan oleh orang-orang yang bodoh di antara kami? (Apa yang mereka telah lakukan) itu hanyalah cubaanMu. Dengan cubaan itu Engkau sesatkan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkau beri petunjuk kepada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau jualah Pelindung kami; oleh itu ampunkanlah kami dan berilah rahmat kepada kami, kerana Engkau jualah sebaik-baik Pemberi ampun”.(155)

Firman Allah pada ayat

“Kemudian kami bangkitkan kamu sesudah kamu mati, supaya kamu bersyukur”.(56)

Setelah Nabi Musa a.s berdoa, lalu Allah SWT menghidupkan semula tujuh puluh orang seorang demi seorang sebagai nikmat kurniaan supaya mereka bersyukur. Ini menunjukkan kekuasaan Allah SWT yang boleh menghidupkan makhluknya yang sudah mati.

Dalam surah Yasin Allah SWT berfirman,

“ Sesungguhnya keadaan kekuasaan-Nya apabila Ia menghendaki sesuatu, hanyalah Ia berfirman kepada (hakikat) benda itu, Maka ia terus menjadi”. (82)

Wallahualam.

Abu Sofeya.

Hak cipta terpelihara.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu