Islam tidak menyisihkan dunia


Syariat Islam tidak hanya menyuruh umatnya beramal untuk ukhrawi tetapi juga duniawi. Dalam menuntut kebahagiaan akhirat, Allah SWT menggesa supaya tidak melupakan nasib dan kehidupan di dunia.

Firman Allah SWT,

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia..”(Surah Al-Qasas :77)

Hal ini juga terbukti melalui doa yang dibaca oleh setiap mukmin selepas menunaikan solat. Firman Allah SWT, ,

“Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”. (Surah al-Baqarah : 201)

Oleh itu Islam menggesa manusia berusaha mencari rezeki yang telah dilimpahkan oleh Allah SWT dan mengerjakan amal-amal kebajikan yang mendatangkan pahala dan membawa keselamatan di akhirat kelak.

Islam tidak mahu umatnya hanya duduk dan berdoa sahaja mengharapkan rezeki dari langit tanpa usaha ke arah itu.

Mereka yang mencari rezeki yang halal untuk faedah dan kebahagiaan di dunia dipandang mulia sebagaimana sabda Rasulullah saw,

"Amalan yang paling utama itu ialah mencari rezeki dari usaha yang halal." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Pernah Rasulullah saw bersalam dengan sahabat yang bernama Mu’az bin Jabal. Ketika tangan baginda menyentuh tapak tangan Mu’az terasa kesat lalu baginda bertanya apakah sebab tangannya menjadi kesat. Dengan wajah berseri Mu’az menjawab bahawa dia membajak tanah untuk mencari nafkah hidup. Rasulullah saw yang mendengar penjelasan Mu’az merasa gembira sehingga diciumnya kening Mu’az dan bersabda, “ Engkau tidak akan disentuh oleh api neraka wahai Mu’az”.

Islam membenci perbuatan mengemis dan meminta-meminta. Sabda Rasulullah SAW,

“Barangsiapa meminta-minta kepada manusia sementara ia memiliki kemampuan maka ia datang pada hari kiamat dengan bekas cakaran atau garukan di wajahnya”. Ada yang bertanya, “Apakah batas kecukupan itu ya Rasulullah?” Belum berkata, “50 dirham atau emas yang seharga dengan itu.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Sebuah lagi hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a,

“Sesungguhnya bahawa mengambil seseorang kamu akan tali (untuk mengikat kayu api), maka dipikulnya kayu api itu atas belakangnya adalah lebih baik daripada dia pergi meminta kepada seseorang yang telah dikurniakan Allah kelimpahannya, lalu dia meminta kepadanya, sama ada diberinya atau tidak diberinya.” (Muttafaq alaih)

Islam juga tidak melarang manusia memiliki harta dan kekayaan kerana fitrah manusia memang sukakan kepadanya Jika diselak lembaran sejarah ramai juga para sahabat Nabi SAW memiliki harta dan kekayaan. Antaranya Saiyidina Uthman bin Affan dan Abdur Rahman bin Auf , yang dianggap sebagai usahawan yang berjaya dan ternama.

Firman Allah SWT,

“Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati daripada limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”(Surah Al-Jumuah : 10)

Dalam Islam, memiliki harta dan kesenangan hidup adalah diharuskan jika memenuhi syarat-syaratnya. Yang penting dan perlu difahami harta itu ialah alat bukannya matlamat kerana matlamat hakiki seseorang hamba di dunia ini ialah beribadat kepada-Nya.

Dengan erti kata lain harta yang dicari dan dimiliki itu hendaklah dijadikan alat untuk menambahkan rasa syukur dan taqwa kepada-Nya bukan menggunakannya pada jalan kefasadan dan kemungkaran.

Dalam mencari harta dan kemewahan, Islam melatakkan syarat yang wajib dipatuhi. Antaranya tidak boleh mencuri, merompak atau memilikinya dengan cara menipu, menindas dan melakukan kezaliman. Ia merupakan salah satu daripada dosa besar di sisi Allah SWT.

Sabda baginda SAW,

“Barangsiapa yang mengambil hak milik seorang Islam dengan sumpahnya (mengambil secara paksa atau merampas) maka Allah SWT mewajibkan ke atas mereka neraka dan diharamkan syurga. Lalu seorang sahabat bertanya : Kalau yang diambil itu sedikit ya Rasulullah ? Nabi saw menjawab : Ya, walaupun hanya sekadar kayu siwak “. (Hadis riwayat Muslim)

Apabila sudah memiliki harta manusia perlu melaksanakan tanggungjawab sosial iaitu membantu mereka yang memerlukan. Untuk itu Islam mewajibkan zakat bertujuan merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin. Dengan pensyariatan zakat, sifat tamak dapat dikikis, sifat haloba dapat dihapus dan timbul pula sifat prihatin dan kasih sayang kepada golongan susah dan mereka yang memerlukan.

Golongan susah pula apabila menerima zakat, mereka akan merasa syukur di atas apa yang di terima, merasakan diri mereka tidak disisih malah diambil berat dan diberi perhatian, sehingga melenyapkan perasan dengki dan hasad ke atas golongan berharta. Demikianlah indahnya Islam mewujudkan kasih sayang serta saling hormat menghormati di antara golongan yang berharta dan sebaliknya.

Abu Sofeya

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu