Semboyan PRU 13 telah dibunyikan !

Shahrizat Jalil, mahu selak kain !

Saya sudah lama tidak menulis hal politik.

Bagi saya sudah terlalu ramai orang politik menulis mengenainya. Biarlah saya fokus dalam tulisan-tulisan yang bercorak keagamaan.

Namun apabila Dato’ Seri Najib sudah meniup ‘semboyan perang’ dan Dato’ Seri Shahrizat Jalil pula mahu ‘selak kain’, maka naluri saya untuk menulis isu politik kembali 'berahi'.

Tapi saya tidaklah seperti penulis-penulis politik lain yang membicarakan pelbagai isu nasional. Dari isu bantuan RM 100, isu lembu-lembu NFC milik suami Ketua Wanita UMNO, sehinggalah kepada isu gosip pernikahan Tan Sri Musa Hasan dengan seorang artis jelita yang kemudiannya dinafikan oleh mantan Ketua Polis Negara ini.

Saya cuma penulis politik kampung sahaja, yang mengulas isu-isu politik di kawasan saya, Sikamat.

PKR dan UMNO bakal bertempur di Sikamat

Di pihak UMNO, saya difahamkan beberapa orang sudah mula mempromosi diri masing-masing. Antaranya Kak Bibah, pemandu bas sekolah di Taman Desa Rhu dan abang Taslim pemandu teksi di Taman Kolej Height.

Kedua dua tokoh politik ini sering dilihat berada di majlis-majlis keramaian yang dihadiri tokoh-tokoh politik dan Menteri Besar.

Saya tidaklah rapat dengan kedua-dua tokoh ini. Cuma kenal-kenal macam tu sahaja...

Jika kak Bibah diangkat sebagai calon, wah ! dialah wanita pertama sebagai calon ADUN Sikamat semenjak DUN ini diperkenalkan pada tahun 2004.

Sebaliknya jika abang Taslim yang dipilih, ia seolah-olah satu pengiktirafan kepada pemandu-pemandu teksi di Negeri Sembilan.

Itulah nama-nama yang sering saya dengar dari mulut orang-orang UMNO sendiri.

Tidak tahulah saya kalau ada calon payung terjun yang diturunkan last minute!

Namun yang PASTI, bekas YB lama Dato’ Yusuf Harmain Shah tidak akan di calonkan semula.

Meletakkan YB lama yang pernah mengejek ahli-ahli mesyuarat agong Masjid Qaryah Sikamat sebagai 'Orang Utan' 5 tahun yang lalu, seolah-olah menyediakan 'keranda' buat UMNO di Sikamat.

YB Aminuddin – ADUN Sikamat sekarang ?

Saya menulis secara ikhlas dan jujur, tiada niat untuk berkempen bagi pihak mana-mana parti politik.

Saya rapat dengan orang-orang Sikamat khusus yang tinggal di kawasan perumahan Taman Desa Rhu dan Taman Jujur.

Pada pemerhatian saya YB Aminuddin Harun (ADUN PKR) mempunyai kekuatan akar umbi di dua kawasan perumahan ini, termasuk juga di Rumah Rakyat Sikamat 2.

Saya rasa lebih 60 peratus pengundi-pengundi di kawasan ini akan mengundi beliau.

Saya tidak tahu pengaruhnya di kawasan-kawasan lain seperti Paroi Jaya kerana tidak pernah berkunjung menyampaikan kuliah di kawasan-kawasan tersebut.

Satu kelebihan YB Aminuddin ialah wataknya. Beliau seorang yang ramah, mudah dicari serta diajak berbincang, boleh duduk dan berbual dengan sesiapa sahaja.

Inilah aset penting yang dikehendaki oleh penduduk-penduduk Taman Desa Rhu dan Taman Jujur yang rata-ratanya berlatar belakangkan masyarakat yang sederhana, tolong menolong, mesra dan friendly.

Ingat, pengundi-pengundi hari ini tidak sama seperti tahun 80 an dan 90 an. Hari ini mereka sudah bijak.

Sogoklah dengan apa sekali pun, mereka tetap tidak berganjak. Jika calon itu memuaskan hati mereka, kalau hati dah suka, insya Allah mereka tetap akan pangkah !

Sekian untuk kali ini.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu