Solat dan khutbah 'Gerhana Bulan' di Masjid Negeri
PENDAHULUAN
Bulan adalah satu jirim di mana permukaannya berbatu batan dan berbentuk bulat. Permukaannya sejuk melainkan permukaan yang bertentangan dengan matahari. Ia berpusing atau beredar pada tempat peredarannya (manzilah).
Firman Allah SWT,
“Dialah yang menjadikan matahari bersinar dan bulan bercahaya dan ditetapkan-Nya manzilah-manzilah (tempat-tempat) bagi perjalanan bulan itu supaya kamu mengetahui bilangan tahun dan perhitungan (waktu). Allah tidak menciptakan yang demikian itu melainkan dengan hak. Dia menjelaskan tanda-tanda (kebesaran-Nya) kepada orang-orang yang mengetahui”. (Surah Yunus : 5)
Ayat ini menjelaskan bahawa pergerakan bulan yang mengelilingi bumi bertujuan untuk memberi faedah kepada manusia mengetahui bilangan hari, bulan musim dan tahun. Dengan itu bagi golongan yang beriman, mereka boleh mengetahui masa untuk beribadat seperti berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan Haji di Baitullah, mengetahui habisnya tempoh edah, sewa menyewa, gadai menggadai, upah mengupah dan pelbagai lagi urusan di dunia.
Allah SWT juga menjelaskan tentang perbezaan di antara cahaya matahari dan cahaya bulan. Firman Allah SWT,
“Dan Allah menciptakan padanya bulan sebagai cahaya dan menjadikan matahari sebagai pelita”. (Surah Nuh : 16)
Firman-Nya lagi,
“ Dan Kami jadikan pelita yang amat terang”. (Surah an-Nabaa : 13)
Jika diperhatikan dalam banyak ayat al-Quran, Allah SWT menyifatkan bulan sebagai cahaya dan matahari sebagai pelita yang bersinar. Kemajuan sains membuktikan bahawa cahaya matahari datang dari zat matahari itu sendiri. Sebab itu ia disebut sebagai pelita yang bersinar, sedangkan bulan tidak mengeluarkan cahaya kerana ia hanya menerima cahaya dari matahari dan memantulkan semula ke bumi.
Walaupun tidak setanding dengan matahari tetapi bulan tetap mengasyikkan mata yang memandang terutama ketika bulan purnama. Memandang bulan yang indah memberi kerehatan dan ketenangan pada fikiran juga minda.
Kesimpulannya, kejadian matahari dan bulan adalah sama pentingnya dalam kehidupan manusia. Kedua-dua ciptaan ini merupakan tanda keagungan, kehebatan dan kebesaran Allah SWT di alam maya ini. Oleh itu manusia hendaklah bersyukur kepada Allah SWT di atas dua nikmat yang amat penting ini.
Firman Allah SWT,
“Dan Dia lah yang menjadikan malam dan siang silih berganti untuk sesiapa yang mahu beringat (memikirkan kebesaranNya), atau mahu bersyukur (akan nikmat-nikmat-Nya itu)”.. (Surah al-Furqan 62)
IKTIBAR DARI KEJADIAN GERHANA
Gerhana bulan berlaku apabila bulan melalui sebahagian daripada bayang-bayang bumi. Kejadian ini cuma boleh berlaku ketika bulan purnama (bulan penuh) dan apabila matahari, bumi dan bulan terjajar pada satu barisan yang sama, atau sangat-sangat hampir.
Setiap sesuatu kejadian pasti ada hikmah yang tersirat di dalamnya termasuklah kejadian gerhana bulan atau matahari.
Firman Allah SWT,
“ Katakanlah (wahai Muhammad) : perhatikanlah dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi. Dalam pada itu, segala tanda dan bukti tidak akan memberi faedah kepada orang-orang yang tidak menaruh kepercayaan kepadanya ”. (Surah Yunus : 101)
Banyak iktibar dari kejadian gerhana yang antara lain adalah seperti berikut :
1. Manusia wajib tunduk dan patuh kepada Allah SWT
Berlakunya fenomena gerhana bulan atau matahari ialah sebagai peringatan kepada manusia betapa kedua makhluk ini sentiasa mentaati perintah Tuhan. Mereka sama sekali tidak menderhaka, mengingkari atau menyimpang daripada peraturan yang Allah SWT telah tetapkan.
Firman Allah SWT,
“Dan kepada Allah jualah sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi tunduk menurut, sama ada dengan sukarela atau dengan terpaksa; dan (demikian juga) bayang-bayang mereka; pada waktu pagi dan petang”. (Surah ar-Ra’d : 15)
Oleh kerana seluruh makhluk di langit dan bumi tunduk dan patuh kepada Allah SWT, maka menurut tata bahasanya seluruh alam ini juga adalah ‘Islam’ atau ‘Muslim’. Diriwayatkan, bahawa seorang Ahli ‘Arifin bernama Tawus, apabila melihat kejadian gerhana matahari, beliau menangis ketakutan hingga hampir-hampir menemui maut. Beliau berkata, “Matahari itu lebih takutkan Allah daripada kita.”
Jika makhluk di alam semesta ini tidak mematuhi peraturan Allah SWT, sudah pasti akan berlaku huru hara dan kemusnahan. Iktibar daripada ini, apabila manusia tidak mematuhi perintah Allah SWT akan berlakulah kekacauan dalam kehidupan mereka. Malah di akhirat mereka akan di azab dengan seksaan yang tidak terperi.
Firman Allah SWT,
“Adapun orang-orang kafir, maka Aku (Allah) akan menyeksa mereka dengan azab yang amat berat di dunia dan di akhirat, dan mereka pula tidak akan beroleh sesiapa pun yang dapat menolong”. (Surah ali ‘Imran : 56)
Demikian juga halnya jika hanya mematuhi sebahagian daripada syariat Allah SWT sedangkan sebahagian yang lain diengkari, maka jadilah seperti golongan Bani Israil yang dicela dan dihina oleh Allah SWT.
Firman Allah SWT,
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan”. (Surah al-Baqarah : 85)
2. Hanya Allah Tuhan Yang Layak di sembah
Kejadian ini juga menempelak golongan yang menjadikan bulan dan matahari sebagai Tuhan kerana jika kedua-duanya itu Tuhan, mengapa kedua-duanya tidak boleh menjaga dirinya daripada sifat kekurangan iaitu kehilangan sinar dan cahayanya walaupun seketika.
Mereka yang menjadikan matahari, bulan, bintang, api, patung dan segala-galanya sebagai Tuhan adalah golongan yang sesat dan jauh dari cahaya pertunjuk.
Firman Allah SWT,
“…Patutkah kamu menjadikan benda-benda yang lain dari Allah sebagai Pelindung dan Penolong, yang tidak dapat mendatangkan sebarang manfaat bagi dirinya sendiri, dan tidak dapat menolak sesuatu bahaya?” (Surah ar-Ra'du : 16)
Begitu juga golongan yang tidak mahu bertuhan, mereka sebenarnya menolak naluri yang wujud dalam diri mereka sendiri sedangkan naluri bertuhan sudah pun ada di alam rahim lagi. Ketika roh manusia ditiupkan di alam rahim Allah SWT bertanya,
“… Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar! (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini”.(Surah al-‘Araaf : 172)
Wallahualam
Sedutan dari isi kertas kerja yang bakal dibentangkan di Masjid Negeri pada 10hb Disember 2011, selepas solat Maghrib.
Comments
Post a Comment