Monday, October 26, 2009

Bolehkah berdoa agar disegerakan kematian...?

Pada dasarnya, Rasulullah saw melarang seseorang muslim bercita-cita agar di segerakan kematian.Hal ini bersandarkan kepada beberapa hadis Rasulullah saw yang berbunyi,

لا يتمنين أحدكم الموت لضر نزل به فان كان محسنا فلعله يزداد احسانا
وان كان مسيئا فلعله أن يتوب

Maksudnya : Janganlah sekaali-kali seorang di kalangan kamu bercita-cita untuk mati disebabkan sesuatu musibah yang menimpa dirinya. Kerana jika dia adalah seorang yang baik, maka barangkali musibah yang menimpa dirinya akan menambah kebaikkannya, sedangkan jika dia seorang yang jahat, maka siapa tahu dia kan bertaubat. ( Sahih Bukhari dan Muslim)

Dalam sepotong hadis yang lain, baginda bersabda,

المسلم لا يزيد عمره الا خيرا

Maksudnya : Bertambahnya umur seseorang muslim tentunya akan menambah lagi kebaikkan untuk dirinya. ( Sahih Muslim)

Bagaimana pula dengan kes Saidina Omar ...?

Saidnia Omar bin Al-Khattab r.a ketika menunaikan ibadah Haji untuk kali yang terakhir, beliau mengangkat kedua-dua tangannya ketika melontar Jumrah berdoa,

اللهم انها ضاعت رعيتي ورق عظمي ودنا أجلي فاقبضني اليك غير مفرط ولا مفتون اللهم اني أسألك شهادة فى سبيلك وموتة في بلد رسولك

Maksudnya : Ya Allah ! rakyatku sudah mulai pupus, kekuatan tubuhku mula melemah dan ajalku sudah menghampiri kematian. Maka cabutlah nyawaku kepadaMu dengan cara yang tidak berlebihan dan tidak pula terkena fitnah. Ya Allah ! Aku memohon kepadamu agar aku mati syahid di jalanMu dan di negeri RasulMu.

Persoalan, bagaimanakah Saidina Umar bin Al-Khattab mencita-citakan kematian padahal Rasulullah saw sendiri melarang perbuatan tersebut ?

Ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah menjelaskan bahawa Saidina Umar bin Al-khattab r.a sebenarnya tidaklah bercita-cita untuk dimatikan, tetapi apa yang diharapkan ialah agar dikurniakan mati syahid.

Bercita-cita untuk mati syahid adalah sesuatu yang digalakkan dalam Islam bahkan ia termasuk satu amalan yang sangat mulia. Sabda Rasulullah saw,

من سأل الله الشهادة بصدق بلغه الله منازل الشهداء وان مات على فراشه

Maksudnya: Barangsiapa yang memohon untuk mati syahid kepada Allah dengan sebenarnya, maka Allah akan menyampaikannya kepada darjat para syuhada’, sekali pun pada kenyataannya dia mati di atas katilnya. (Sahih Muslim)

Orang mukmin mati berpeluh di dahinya...

Dalam sebuah hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban, Abu Daud, An-Nasaei dan At-Tirmidzi, Nabi saw bersabda,

المؤمن يموت بعرق الجبين

Maksudnya : Orang mukmin itu mati dengan berpeluh di dahinya.

Sebahagian ulama mentafsirkan hadis di atas : Maksudnya, jika seorang mukmin itu sedang dalam sakaratul maut, maka dia akan berpeluh di dahinya kerana siraman air yang dibawa oleh malaikat.

Ada juga yang berkata, maksudnya dia mati dalam keadaan bekerja keras dan bersungguh-sungguh dalam melakukan amal solih. Dengan demikian, peluh di dahinya itu adalah symbol dari kerja keras yang dilakunya dalam mengerjakan ketaatan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT,

والذين جهدوا فينا لنهدينهم سبلنا وان الله لمع المحسنين

Maksudnya : Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. (Al-‘Ankabut : 69)

Yang dimaksudkan dengan orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Allah SWT dalam ayat di atas ialah mereka yang melakukan amal ketaatan dengan ikhlas kerana Allah SWT, patuh kepada perintahNya, menjauhi laranganNya serta taat setia terhadap segala ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan As-Sunnah.

Wallahualam.

Petikan dari buku,
Sakaraul Maut Bersediakah Anda Menghadapinya ? Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni, penterjemah Norhasanuddin, terbitan AlHidayah Publishers Kuala Lumpur, 2006.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.