Wednesday, October 21, 2009

Jangan suka bersumpah…

Firman Allah SWT,
“Dan janganlah kamu jadikan (nama ) Allah dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu dari berbuat baik, dan bertqwa, serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia. Dan (ingatlah), Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa mengetahui “(al-Baqarah ayat 224)

Sebab turun ayat

Ayat ini turun kerana ada di kalangan para sahabat yang telah berselisih faham menyebabkan mereka bersumpah tidak mahu bertegur sapa dan tidak mahu berdamai.

Menurut riwayat daripada daripada Ibnu Hatim, ada seorang lelaki datang berjumpa Saidatina Aisyah r.anha. Kata lelaki ini Demi Allah, aku bernazar bahawa aku tidak akan bercakap-cakap dengan sifulan. Kalau aku bercakap juga dengan dia, maka sekelian hamba-hambaku akan di merdekakan, dan segala harta bendaku akan kujadikan belanja buat pakaian Kaabah.

Mendengar nazar yang ganjil ini, Saidatina Aisyah berkata : Janganlah kamu lanjutkan sumpah atau nazar yang demikian. Janganlah engkau jadikan sumpah demikian sehingga menyebabkan engkau merdekakan hamba-hambamu dan segala harta kamu dijadikan belanja untuk pakaian Kaabah. Sebab yang demikian telah dilarang oleh Allah SWT. Janganlah kamu jadikan Allah sebagai penghalang dari sumpah mu itu, oleh itu hendaklah kamu bayar kaffarah dari sumpahmu itu iaitu :

1. Memerdekakan seorang hamba
2. Memberi makan kepada 10 orang miskin
3. Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.

Namun ada riwayat yang mengatakan ayat ini turun kerana Saidina Abu Bakar telah bersumpah dengan nama Allah tidak mahu meneruskan bantuan kepada seorang miskin yang bernama Misthah bin Utsatsah. Ini kerana Misthah terlibat bersama Abdullah bin Ubai bin Salul menyebarkan fitnah kononnya isteri Rasulullah saw Saidatina Aisyah r.anh mempunyai hubungan sulit dengan Safwan bin Muattol. Apabila turun ayat Al-Quran yang membersihkan Aisyah dari tuduhan fitnah tersebut, Saidina Abu Bakar bersumpah tidak mahu meneruskan bantuan kepada Misthah.

Tiga sumpah yang dilarang oleh Rasulullah …

Sabda Rasulullah saw,

لا نذر ولا يمين فيما لا يملك ابن أدم ولا في معصية الله ولا في قطعة رحم

Maksudnya : Tidak ada Nazar dan tidak ada sumpah pada perkara yang tidak dapat dikuasai oleh anak Adam,dan tidak pula dalam hal yang maksiat kepada Allah SWTdan tidak pula dalam hal yang memutuskan silaturrahim. (HR Abu Daud, Ibnu Majah dan Imam Ahmad)

Berdasarkan hadis ini Nabi saw melarang bersumpah dalam 3 perkara :

1. Bersumpah dalam perkara yang tidak dapat dikuasai oleh anak Adam seperti ungkapan : “Wallahi, anak aku pasti akan berjaya dalam peperiksaan SPM pada hujung tahun ini”

2. Bersumpah dalam melakukan maksiat seperti katanya “Wallahi aku akan berjudi pada petang ini”..

3. Bersumpah untuk memutuskan silaturrahim seperti katanya “Wallahi aku tidak akan menegurnya kembali”.

Bersumpah kerana terpaksa…

Firman Allah SWT pada ayat selanjutnya,

“ Allah tidak menghukum kamu disebabkan sumpahmu yang tidak dimaksud (untuk bersumpah) tetapi Allah menghukum kamu disebabkan (sumpahmu) yang disengaja oleh hati kamu. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (225)

Maksud ayat di atas ialah orang yang bersumpah menggunakan nama Allah secara tidak sengaja (tidak ada niat dalam hati) tidaklah dianggap berdosa. Melainkan sekiranya sumpahnya itu disertai dengan niat dalam hati maka orang yang sedemikian hendaklah bertaubat kerana Allah SWT adalah Tuhan Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Pengajaran yang boleh diambil….

Pengajaran daripada ayat 224-225, sumpah adalah sesuatu perkara yang sangat mahal dalam Islam. Justeru itu janganlah sekali-kali mempermain-mainkan sumpah atau bersumpah walaupun hanya dengan isu yang kecil dan remeh, menyebabkan orang akan memandang rendah terhadap sumpah seseorang.

Kata Imam as-Syafie rhm, “ Aku tidak pernah bersumpah baik pada yang benar atau pun pada yang dusta ”

Rujukan,

Tafsir Al-Munir
Tafsir Ahmad Sonhadji
Tafsir Al-Azhar.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.