Tuesday, October 20, 2009

Wahai suami.., ingatlah tanggungjwabmu…

Firman Allah SWT,

“ Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak mendurhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka pula tetap melakukan segala apa yang di perintahkan ” (Surah at-Tahrim ayat 6)

Melalui ayat ini Allah SWT memerintahkan orang-orang yang beriman supaya memelihara diri dan keluarga daripada api neraka iaitu dengan menyuruh mereka mentaati perintah Allah, bertaqwa kepada-Nya, melakukan kebaikan serta menjauhi segala kemungkaran. Yang dimaksudkan dengan ahli keluarga ialah isteri, anak-anak, khadam atau pembantu serta mereka yang berada di bawah jagaan.

Marilah kita bermuhasabah...

Kepada mereka yang bergelar suami marilah sama-sama kita menilai diri, sudahkah kita melaksanakan tanggungjawab kita dengan sempurna terhadap isteri dan anak-anak kita ? Antara lain yang perlu kita lakukan ialah ,

a. Memberi pendidikan agama kepada ahli keluarga. Menurut Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, adalah wajib bagi seorang suami untuk memberi ilmu pengetahuan agama kepada isteri dan anak-anaknya. Jika suami tidak mampu mengajar, maka hendaklah si suami menggesa mereka supaya belajar dengan cara memanggil orang lain datang ke rumah atau menghantar mereka ke tempat khas seperti di surau, masjid dan sebagainya. Jika suami tidak melaksanakan tanggungjawab ini, maka suami dan seluruh isi keluarganya akan berdosa. Sabda Rasulullah saw, "Tidak ada seseorang yang berjumpa Allah swt dengan membawa dosa yang lebih besar melainkan seorang suami yang membodohkan ahli keluarganya."

Sabda Nabi saw lagi,

"Takutlah kepada Allah dalam memimpin isteri-isterimu, kerana sesungguhnya mereka adalah amanah yang berada di sampingmu; barangsiapa tidak memerintahkan sembahyang kepada isterinya dan tidak mengajarkan agama kepadanya, maka ia telah mengkhianati Allah dan juga Rasul-Nya."

b. Hendaklah mengingatkan ahli keluarganya supaya selalu menunaikan solat serta mengingatkan mereka agar menunaikannya tepat pada waktunya. Firman Allah SWT dalam surah Toha ayat 132,

“ Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan shalat dan Bersabarlah kamu dalam mengerjakannya… ”

Kalau suami tak sembahyang……

Jika sibapa atau suami tidak mengerjakan solat fardhu, maka anak atau isteri wajib mengingatkan bapa atau suaminya dengan penuh hikmah. Jika sudah diingatkan tetapi bapa atau suami masih enggan, maka terlepaslah sudah tanggungjawab si anak atau isteri. Menurut syariat Islam, dibolehkan mana-mana isteri (jika mahu) menuntut fasakh sekiranya suami masih enggan mendirikan solat setelah dinasihatkan.

Menurut Ibnu Taimiyah, orang yang meninggalkan solat tidak harus kita memberi salam kepadanya atau menerima jemputannya. Begitu juga seorang bapa tidak harus mengahwinkan anak perempuannya dengan mana-mana lelaki yang meninggalkan solat, kerana pada hakikatnya dia bukanlah seorang Islam yang sebenar. Pengurus sesebuah organisasi pula tidak harus mengambil pekerja orang yang meninggalkan sembahyang kerana pada hakikatnya dia membantu orang itu dengan rezeki Allah untuk mengengkari-Nya.

c. Tidak boleh membiarkan ahli keluarganya melakukan kemungkaran dan melanggar perintah Allah SWT. Dan jangan sekali-kali menurut kehendak mereka jika kehendak itu berunsur maksiat atau di luar kemampuan.

Sebagai ketua keluarga hendaklah bersifat tegas terhadap isteri dan anak-anaknya apabila mereka melakukan kemungkaran. Mana-mana suami yang tidak ada perasaan marah dan sakit hati apabila melihat kemungkaran yang berada di bawah tanggungannya, dia dikira sebagai suami yang dayus dan berdosa besar.

Rasulullah saw memberi amaran kepada mana-mana suami atau bapa yang dayus. Sabda baginda saw, Tiga golongan yang Allah haramkan baginya Syurga : orang yang ketagih arak, si penderhaka kepada ibu bapa dan Si Dayus yang membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya" ( Riwayat Ahmad )

d. Mengajar anak-anak dan isteri serta orang yang berada di bawah tanggungannya agar menyintai Nabi, kaum keluarganya dan dan membaca Al-Quran. Sabda Rasulullah saw,

أدبوا أولادكم على ثلاث خصال حب نبيكم وأله بيته وتلا وة القرأن

Maksudnya : “Ajarilah anak-anak kamu tentang 3 perkara iaitu menyintai Nabimu, menyintai kaum keluarga baginda dan membaca Al-Quran.

e. Mencari rezeki yang halal untuk menyara nafkah terhadap ahli keluarga, isteri dan anak-anak yang belum mampu untuk bekerja. Termasuk kepada anak-anak yang sudah baligh tetapi ada cacat yang menghalangnya daripada berusaha atau tidak sempurna akalnya. Firman Allah SWT,

Maksudnya : “.….dan kewajiban ayah memberi makan dan pakaian kepada para ibu dengan cara ma'ruf …”. (Al-Baqarah : 233)

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.