Cara ulama dahulu mengingati kematian.....

Para ulama terdahulu ada di kalangan mereka yang menggali kubur di dalam rumahnya sendiri. Antaranya Maimun bin Mahran seorang ahli ibadah yang terkenal zuhud lagi alim di zamannya. Setiap malam dia akan masuk ke kuburnya untuk membaca Al-Quran sambil menangis.

Letak kain kafan dalam rumah

Ada juga di kalangan ulama yang meletakkan kain kafan di rumahnya supaya sentiasa dilihat, dengan cara itu akan dapat mengingatkannya kepada kematian. Tidak kurang juga ada yang menulis tulisan-tulisan, “ingatlah kematian” dan di tampal atau digantung di dinding-dinding rumahnya.

Banyak baca Al-Quran

Antara cara mengingati kematian ialah dengan sentiasa membaca Kitab Allah (Al-Quran). Bacalah Al-Quran itu secara perlahan dan berusahalah untuk menghayati isi kandungannya. Disamping itu hendaklah kita berusaha menghafal seberapa banyak ayat-ayatnya, moga-moga ayat-ayat suci Al-Quran yang dihafal akan menjadi peneman kita di alam kubur.

Sabda Rasulullah saw,

اقرءوا القران فانه يأتى يوم القيامة شفيعا لأصحابه

Maksudnya : Bacalah Al-Quran, kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari Qiamat untuk memberi syafaat kepada para pembacanya. (Muslim)

Bergaul dengan orang-orang solih.

Di antara cara mengingati kematian itu ialah bergaul dengan orang-orang solih. Ziarahilah mereka dan timbalah ilmu daripada mereka. Hadirlah majlis-majlis pengajian mereka, dengarlah nasihat-nasihat mereka, pohonlah doa-doa mereka serta kasihilah dan cintailah mereka kerana Allah SWT. Dengan bergaul dengan orang-orang solih, Insya Allah akan memberi ketenangan jiwa, mengingatkan hati kepada akhirat, melembutkan jiwa yang keras serta memalingkan hati daripada sifat tamak haloba dan mencintai dunia.

Sebaik-baik orang solih ialah mereka yang faham ilmu agama serta mendalami Al-Quran dan As-Sunnah. Mereka mempunyai ilmu yang luas serta layak untuk digelar hamba Allah yang soleh. Sabda Rasulullah saw,

خيركم من تعلم القران وعلمه

Maksudnya : Sebaik-baik kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan kemudian mengajarkannya. (Al-Bukhari)

Ziarah perkuburan

Selain itu hendaklah sentiasa menziarahi tanah perkuburan. Semasa di sana, berilah salam kepada penghuni kubur dan doakanlah kebahagiaan mereka. Rasulullah saw adalah seorang yang sangat menyayangi orang yang telah meninggal dunia di kalangan kaum mukminin. Nabi saw bersabda,

ان الله ينور على أهل القبور قبورهم بصلاتى عليهم

Maksudnya : Sesungguhnya Allah akan menerangi ahli kubur di dalam kubur mereka berkat doaku untuk mereka. (Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, doa orang-orang mukmin yang masih hidup akan dapat menerangi kubur serta memberi rahmat ke atas orang berada di dalamnya. Bahkan Rasulullah saw sering keluar di waktu malam menuju ke tanah perkuburan Baqi’ di Madinah, baginda kemudiannya berdiri di hadapan perkuburan itu sambil menagis dan berdoa yang panjang untuk mereka. Sebab orang-orang berada di dalam perkuburan adalah mereka yang memerlukan doa, rahmat dan kasih sayang kerana mereka sudah tidak dapat lagi memenuhi keinginan untuk kembali ke dunia serta bertaubat kepada Allah SWT.

Ali bin Abi Talib r.a menceritakan : Pada satu hari kami keluar bersama Rasulullah saw mengiringi jenazah ke kuburnya. Baginda duduk di tepi kubur dan kami pun duduk di sekelilingnya. Lalu baginda menundukkan kepalanya sambil mengorek-ngorek tanah dengan sebilah lidi yang ada ditangannya. Kemudian baginda mengangkat kepalanya, sementara air mata membasahi janggutnya. Kemudian baginda bersabda,

أيها الناس والله لو تعلمون ما أعلم لضحكتم قليلا ولبكيتم كثيرا

Maksudnya : Wahai sekelian umat manusia ! Demi Allah, kalaulah kamu mengetahui apa yang aku ketahui sekarang ini, nescaya kamu akan sedikit tertawa dan banyak menangis. (Al-Bukhari Dan Muslim)

Berdasarkan hadis di atas, sekiranya kita mengetahui apa yang diketahui oleh Rasulullah saw, pastilah kita akan sedikit ketawa dan banyak menangis. Sebaliknya kita hari ini lebih banyak ketawa daripada menangis sehingga hati kita menjadi keras disebabkan perbuatan maksiat dan terlalu tunduk dengan kehendak hawa nafsu. Hati kita menjadi buta kerana inginkan kemegahan dunia. Hati kita menjadi kasar kerana menjauhi Allah SWT.

Apabila menziarahi kubur maka hendaklah merenung bagaimanakah mereka yang berada di alam perkuburan itu dijemput oleh pemutus segala kesedapan duniawi. Bagaimana mereka yang sihat dan gagah akhirnya tersungkur masuk ke lubang lahad yang sempit dan gelap gelita. Fikirkan bagaimana pula di ketika saat jenazah mereka hendak di keluarkan dari rumah, padahal sebelumnya mungkin mereka sedang berseronok dengan anak isteri, memakai pakaian baru dengan penuh riang dan gelak ketawa.

Kadang-kadang mereka mati bersama kereta mewah yang dinaiki, bahkan ada yang mati ketika dia sedang dikemuncak kerjaya sebagai penjawat awam yang berpangkat, sebagai ahli politik yang hebat, sebagai tokoh perniagaan yang ternama yang sentiasa dikelilingi oleh sahabat handai dan orang ramai. Malangnya, kematian telah menjemputnya membawa kekuburan.

Tatkala dia dibaringkan di liang lahad, bereti dia telah berpisah dengan kekasih, jiran sahabat handai dan saudara mara. Apabila tanah telah dikambus, dia tidak berkuasa untuk pulang ke rumah, tidak boleh lagi berehat sebagaimana orang-orang yang menghantarnya berehat di rumah dan tidak boleh lagi bergelak ketawa sebagaimana sahabat handainya boleh bergelak ketawa. Tatkala ituah dia mencari amal yang dilakukannya, sama ada baik mahu pun buruk.

Wallahualam

Petikan dari buku,
Sakaraul Maut Bersediakah Anda Menghadapinya ? Dr. Aidh bin Abdullah Al-Qarni, penterjemah Norhasanuddin, terbitan AlHidayah Publishers Kuala Lumpur, 2006.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu