Kalau bekerja, bekerjalah dengan jujur.....

Dalam keadaan ekonomi negara yang tidak seberapa dan ramai penganggur di luar sana namun Al-hamdulillah kita masih mempunyai pekerjaan. Justeru, marilah kita bekerja dengan jujur dan amanah demi sesuap rezeki yang halal.

Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 188:

“ Dan janganlah kamu makan harta orang lain di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

Dalam ayat ini Allah SWT melarang memakan harta orang lain dengan cara yang salah (batil). Termasuk memakan harta secara haram (batil) ialah seperti pekerja yang sengaja melewat-lewatkan kerjanya supaya dia boleh membuat kerja lebih masa (over time), atau membuat tuntutan yang tidak sepatutnya dari majikan, atau ponteng kerja dengan alas an sakit lalu ditunjukkan surat sakit (MC) yang dikeluarkan oleh doktor yang diupah, menggunakan peralatan pejabat seperti telifon, mesen photostate, kertas A 4 untuk kepentingan peribadi bukan urusan pekerjaaan, mengambil masa yang lama apabila keluar rehat/makan, maka semua perbuatan ini adalah korupsi dan haram.

Sabda Rasulullah saw,

Setiap daging yang tumbuh dari bahan makanan yang haram maka api nerakalah yang lebih layak baginya (Hadis riwayat Al-Tarmizi)

Peringatan kepada peniaga…

Kepada peniaga ingatlah, perniagaan yang haram bukan sahaja menjual arak, babi atau najis dadah, tetapi ia juga merangkumi barang-barang yang lain seperti menjual rokok (Majlis Fatwa Kebangsaan pada tahun 1996 mengeluarkan fatwa bahawa merokok hukumnya adalah haram!), menjual majalah-majalah atau CD lucah, menjual pakaian-pakaian seksi yang mendedahkan aurat, menjual cincin yang kononnya mempunyai azimat, menjual tiket loteri, menjual insuran yang berasaskan riba dan sebagainya maka semua ini adalah haram di sisi Islam.

Jangan menipu...

Kepada peniaga-peniaga yang mencari keuntungan dengan jalan menipu, maka ingatlah hadis Rasulullah saw,

من باع عيبا لم يبينه لم يزل فى مقت الله ولم تزل الملائكة تلعنه

Maksudnya : Barangsiapa menjual barang yang cacat, tanpa menjelaskan kecacatannya, nescaya dia berada dalam kemurkaan Allah dan para Malaikat akan sentiasa melaknatnya. (Riwayat Ibnu Majah)

Di akhirat orang yang menipu ini akan memikul harta yang diambilnya secara tipu. Dalilnya ialah firman Allah SWT dalam surah Ali-‘Imran ayat 161,

Barangsiapa yang menipu (khianat) dalam urusan harta rampasan perang, maka pada hari Qiamat dia akan datang dengan membawa apa-apa yang ditipunya itu…

Walaupun ayat ini dituju kepada mereka yang mengambil harta rampasan perang secara tipu, namun ia juga termasuk kepada mereka yang menipu dalam apa sahaja urusan seperti tanah, rumah, kenderaan, emas, perak, wang ringgit dan sebagainya.

Sabda Rasulullah saw,

من ظلم قيد شبر من الأرض طوقه من سبع أرضين

Maksudnya : Barangsiapa mengambil tanah orang lain walaupun sejengkal secara zalim, maka kelak akan dikalungkan kepadanya pada hari kiamat tujuh lapis tanah. ( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Persoalan bagaimana mereka akan pikul tanah atau harta-harta yang mereka ambil secara haram di akhirat kelak, hendaklah kita serahkan kepada Allah SWT kerana alam akhirat adalah alam lain yang diluar jangkauan pemikiran manusia. Dialah Allah yang akan menetapkan sesuatu di akhirat nanti.

Peringatan kepada hakim-hakim...

Ayat 188 surah al-Baqarah juga mengingatkan kepada hakim-hakim supaya tidak menerima rasuah ketika menegakkan keadilan kerana mana-mana hakim yang menerima suapan adalah kufur sebagaimana hadis Rasulullah saw,

“Rasuah dalam urusan yang berkaitan dengan hukum adalah kufur.” ( Riwayat at-Tabrani)

Sekiranya seseorang itu memberi rasuah kepada hakim demi mendapat haknya supaya dia diberi penghakiman yang adil, maka pemberinya tidak berdosa kerana dia memberi dalam kedaan terpaksa, sebaliknya yang berdosa ialah hakim tersebut.

Jika seseorang memberi hadiah kepada Hakim yang mana amalan ini telah dilakukan sebelum Hakim itu dilantik ke jawatannya lagi dan amalan ini diteruskan setelah dia di lantik sebagai Hakim, tiada niat lain melainkan sebagai tanda persahabatan yang telah terjalin erat, maka hukmunya adalah harus.

Namun jika perbuatan itu boleh menimbulkan fitnah di antara kedua pihak maka hendaklah ditinggalkan. Sabda Rasulullah saw,

دع ما يريبك إلى ما لا يريبك

Maksudnya : Tinggalkanlah apa yang meragukan untuk menuju kepada sesuatu yang tidak meragukan. (Riwayat at-Tirmizi).

Kepada kakitangan kerajaan ingatlah...

Kepada pekerja-pekerja sektor kerajaan yang mendapat gaji bulanan tetap seperti pegawai kastam, pegawai tadbir, pegawai daerah, polis, JPN dan sebagainya ingatlah hadis Rasulullah saw yang berbunyi,

من شفع لأخيه شفا عة فأهدى له هدية فقبلها فقد أتى بابا عظيما
من أبواب الربا

Maksudnya : Barangsiapa yang memberi syafaat (pertolongan) saudaranya dengan sesuatu syafaat (pertolongan), dan saudaranya itu memberikan kepadanya ganjaran atau hadiah dan ia menerimanya, maka ia telah membuka satu pintu daripada pintu-pintu riba. ( Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

Hadis ini memberi amaran kepada mana-mana pegawai yang berurusan dengan sesiapa sahaja serta dia di datangi oleh orang lain atau masyarakat untuk meminta pertolongan daripadanya sedangkan pertolongan tersebut merupakan tugas dan tanggungjawab yang sememangnya mesti ditunaikan namun pegawai ini menerima hadiah daripada orang yang berurusan dengannya walaupun sebagai tanda terima kasih maka perbuatan ini adalah haram, mempunyai unsur-unsur rasuah dan membuka satu pintu daripada pintu-pintu riba.

Dikaitkan dengan riba kerana hadis ini mahu menunjukkan bahawa dosa rasuah adalah setaraf dengan dosa riba yang dilaknat oleh Allah SWT sekaligus membawa kebinasaan kepada pelakunya. Sabda Nabi saw,

“Jauhilah diri kamu daripada tujuh dosa yang boleh membinasakan.Baginda ditanya:”Apakah dosa itu wahai Rasulullah?” Baginda berkata:" Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah melainkan dengan jalan yang benar, memakan harta anak yatim, memakan riba, lari dari medan pertempuran perang dan menuduh perempuan yang suci melakukan zina.”(Riwayat Muslim)

Sabda Rasulullah saw,

لعن رسول الله الراشى والمرتشى

Maksudnya : Rasulullah saw melaknat pemberi dan penerima rasuah. ( Riwayat Ahmad)

Kesimpulan

Bekerjalah dengan jujur dan amanah, bawalah pulang rezeki yang halal untuk disuapkan kepada isteri dan anak-anak di rumah. Ingat pesan Rasulullah saw bahawa hati itu ditempa dari makanan. Jika hati baik, maka akhlak dan perangai seseorang itu akan baik, demikianlah sebaliknya. Sabda Rasulullah saw,

ألا وإن فى الجسد مضغة إذا صلحت صلح الجسد كله
وإذا فسدت فسد الجسد كله ألا وهى القلب

Maksudnya : Perhatikan ! Sesungguhnya di dalam badan seseorang itu ada seketul daging; apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila ia rosak, maka rosaklah sekalian anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Wallahualam.

Comments

  1. Salam Ustaz

    Saya selalu mengingatkan diri saya, apa-apa pekerjaan yang saya lakukan adalah hanya untuk mencari keredhaan Allah swt. Bukan untuk mendapat pujian dan balasan dari manusia. Jika di dalam hati ada niat seperti ini, insyaAllah kita akan bekerja dengan jujur dan amanah lantaran kasih dan takutnya kita terhadap pemilik alam semesta ini.
    wassalam

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu