Thursday, October 22, 2009

Selamat berangkat jemaah haji Malaysia ....

"Ustaz, malam Jumaat ini Masjid Sikamat akan menganjurkan majlis meraikan bakal-bakal jemaah Haji. Ustaz di jemput hadir “, demikianlah panggilan yang saya terima dari Setiausaha Masjid pagi semalam.

Kenangan lalu menggamit rasa…

Bersiap dengan kain ihram di Kelana Jaya

Masa berlalu begitu pantas. Sedar atau pun tidak, musim Haji kembali lagi. Tahun lepas saya dan isteri telah berkesempatan menunaikan rukun Islam yang ke lima ini. Kami mula mendaftar untuk menunaikan fardhu Haji pada tahun 2005 di Pejabat Tabung Haji Ampangan Seremban. Kalau ikutkan giliran, kami hanya boleh menunaikan fardhu Haji pada tahun 2011.

Namun oleh kerana perasaan meronta-ronta untuk menunaikan fardhu Haji ditambah lagi dengan wang simpanan yang sudah pun mencukupi, maka seawal Januari 2008, saya telah menghantar surat rayuan ke Pejabat Tabung Haji Kuala Lumpur.

Alhamdulillah surat saya mendapat respon yang positif, apabila sekitar bulan April 2008, saya telah dihubungi oleh pejabat Tabung Haji Kuala Lumpur, memaklumkan yang kami telah terpilih sebagai bakal jemaah Haji ‘menunggu’ (standby), dengan kata lain sekiranya ada mana-mana bakal jemaah Haji ‘terpilih’ menolak diri di saat-saat akhir atau Malaysia berjaya memperolehi kuota tambahan dari kerajaan Arab Saudi, maka bakal jemaah Haji ‘menunggu’ akan di beri keutamaan untuk mengisi kekosongan itu.

Baru sahaja selesai mengerjakan tawaf sunat.

Berdoa kepada Allah…

Saya dan isteri tidak putus-putus berdoa agar hajat kami untuk menunaikan fardhu Haji pada tahun 2008 dimakbulkan oleh Allah SWT. Sementara itu saya dan isteri tidak lupa untuk menghadiri kursus Haji bersiri yang di adakan di Masjid Negeri setiap hari Ahad sehinggalah ke kemuncaknya iaitu Majlis penutup kursus Haji bersiri di Masjid Bandar Baru Senawang.

Dataran Kaabah sentiasa sesak dipenuhi manusia

Akhirnya doa dimakbulkan…

Pada pertengahan bulan Ramadahan 2008, ketika sedang mengajar di sekolah, tiba-tiba saya dihubungi oleh Tn. Haji Ishak bin Itam, Pegawai Tabung Haji daerah Seremban ,

“Ustaz, saya nak maklumkan yang nama Ustaz dan isteri telah pun terpilih tahun ini, so ustaz bolehlah buat kenduri besar ..." , katanya mengusik.

“Syukur “, jawab saya.

Saya terus menghantar ‘sms’ kepada isteri menyampaikan berita gembira ini. Respon isteri , “Alhamdulillah..syukur sangat-sangat”.

Jumpa boss...

Mr.Walter Jones, pengetua Kolej Tuanku Jaafar. Walaupun kafir, namun amat prihatin dengan hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam. Kalau dia bercakap susah nak faham. Maklumlah Mat Saleh ni berasal dari Ireland !

Waktu rehat, saya bergegas ke bilik pengetua (Lihat gambar)

“Mr. Jones, I want to inform you, that I will perform My Hajj this year”, demikianlah gaya bahasa Inggeris saya apabila bercakap dengan Mat-Mat Saleh di Kolej Tuanku Jaafar. Tak apalah asalkan dia faham sudah !

“Congratulation, when you will departe ? ” tanyanya.

“So far I don’t know yet, but I will inform you as soon as possible when I get the fix date”, jawab saya.

“Ok Hishamuddin, Best of Luck! I hope you will success in your spiritual jouney”, sambil menghulurkan tangannya bersalam dengan saya.

"Thanks, jawab saya ringkas.

Berdiri di depan khemah di Padang Arafah

Beli beg besar…

Balik dari sekolah, saya dan isteri kemudian ke bandar Seremban untuk mencari beg besar bagi memasukkan semua keperluan-keperluan yang mesti dibawa ketika berangkat nanti. Sungguh bersemangat !

Kami ronda dari satu kedai ke satu kedai, akhirnya dapatlah beli satu beg besar untuk isteri yang berharga lebih kurang RM 89.90. Manakala untuk saya, saya fikir tak perlulah membazirkan duit untuk membeli beg baru kerana mak saya menyuruh memakai begnya yang masih lagi elok ketika dia mengerjakan Haji 7 tahun yang lalu. (Mak saya menunaikan fardhu Haji kali ke 3 pada tahun 2001)

Tarikh berangkat

Tiga minggu selepas Hari Raya Aidil Fitri, saya mendapat surat dari Tabung Haji bahawa kami akan berangkat terus ke Mekah melalui KT 58 pada 20hb Nov 2008. Kami dikehendaki mendaftar di komplek Tabung Haji Kelana Jaya pada pukul 8.00 malam dan dijadual menaiki pesawat Saudi Airlines pada pukul 2.00 pagi.

Orang gaji lari….

Sepemergian kami ke Mekah nanti, atas permintaan mak saya, dia bercadang untuk tinggal di rumah kami bagi memantau orang gaji yang akan menjaga anak-anak. Demikianlah mak, dia memang rapat dengan semua cucunya.

Malangnya, kita hanya merancang tetapi Allah SWTlah yang menentukan, sebulan sebelum kami berangkat ke Mekah orang gaji kami yang berasal dari Lampong, Indonesia melarikan diri.

Saya dan isteri termenung…! Termenung memikirkan siapa pula yang mahu ambil alih memelihara anak-anak kami ? Saya tidak bercadang untuk menyerahkan kepada kakak-kakak saya kerana mereka juga mempunyai anak yang ramai serta komitmen dengan kerjaya masing-masing. Kalau boleh kami tidak mahu menyusah-nyusahkan sesiapa dalam hal ini.

Kakak Ipar menghantar sms…

Alhamdulillah, keluarga sebelah isteri seakan tahu kerisauan kami berdua.

“Engkau orang tak usah risau…, pergilah ke Mekah.., nanti Kak Im akan jaga budak-budak tu...”, sms yang diterima oleh isteri saya dari kakaknya yang sulong, Rahimah.

Syukur !, selesai satu masaalah.

Baru sahaja selesai melontar di Jamrah pada hari kedua

Kenduri ….

16 hb November 2008, 4 hari sebelum berangkat saya dan isteri sibuk melayan tetamu yang hadir ke majlis kenduri doa selamat di rumah kami. Hari itu ramai yang datang, semua adik beradik termasuk yang tinggal di Kuala Lumpur turut hadir menyerikan majlis kami. Melainkan abang saya yang bekerja di Qatar, beliau tidak dapat datang, cuma menghantar SMS mendoakan agar kenduri kami berjalan dengan lancar dan selamat.

Manakala jemaah Masjid dan Surau sekitar kawasan Sikamat yang mengenali saya turut berkunjung dan mengucapkan selamat berangkat kepada kami berdua. Turut hadir ialah ADUN Sikamat.

Hari yang dinantikan ….

20 hb November 2008, selepas Asar, Imam Surau Taman Jujur Sikamat Tn Haji Othman membacakan doa selamat diikuti dengan laungan azan oleh Tn Haji Md Ros.Selesai azan, kami mula melangkah meninggalkan rumah menuju ke kereta untuk ke Kelana Jaya. Ketika masuk ke kereta, saya sempat melihat anak sulong menangis teresak-esak memandang kami dari pintu rumah. Manakala anak yang bongsu berusia 1 tahun 6 bulan menjerit-jerit mahu dirinya turut di dukung dan di bawa masuk sama ke dalam kereta.

“Tak boleh sayangg…ayah dan ibu nak pergi Mekah", pujuk Kak Im pada anak bongsu. Aduh! sayunya hati saya ketika itu....

Tanpa disedari, air mata saya mula menitik membasahi pipi. Manakala isteri menangis teresak-esak.

"Selamat tinggal sayang.., doakan ayah dan ibu selamat pergi dan balik ", lambai kami kepada anak-anak.

Kereta Mercedes kepunyaan abang Ipar, kemudian meluncur laju menuju ke destinasi.

Akhirnya selamat berangkat …

Di Kelana Jaya setelah menerima serba sedikit taklimat ringkas dari pegawa-pegawai Tabung Haji kami bakal-bakal jemaah Haji KT 58 menaiki bas menuju ke KLIA dengan diiringi oleh polis pengiring.

“Wah! Macam VIP lah kita”, jeling saya pada isteri. Isteri hanya berdiam diri, tidak berkata apa-apa, mungkin masih mengingati anak-anak yang ditinggalkan di rumah.


Isteri...ketika dalam Masjidil Haram memakai penutup muka untuk mengelakkan jangkitan virus selsema dan juga batuk

Sampai di KLIA, saya difahamkan oleh pegawai Tabung Haji bahawa penerbangan kami ditunda pada pukul 4.30 pagi. Lama juga saya dan isteri berada di KLIA.

Pukul 4.30 pagi seperti yang diberitahu, kami pun menaiki pesawat menuju ke kota suci Mekah, kota yang pernah di diami oleh penghulu sekelian Nabi. Selamat tinggal Malaysia. Semoga Allah SWT menerima Haji kami sebagai Haji yang mabrur….

Sedikit nasihat kepada Bakal Jemaah Haji…

Kepada bakal jemaah Haji :

1.Jaga kesihatan baik-baik. Banyakkan minum air dan pakai penutup hidung bagi mengelakkan jangkitan batuk atau selsema.

2.Pastikan anda mendapat tidur yang cukup. Jangan ghairah untuk bangun awal ke Masjid 3 atau 4 jam sebelum masuk solat Subuh sehingga anda kelihatan lesu dan letih.

3.Jangan bertengkar dengan pekedai-pekedai di Mekah walaupun mereka berkasar dengan anda. Saya pernah di halau keluar dari kedai apabila membelek ‘lama’ kopiah-kopiah yang hendak dibeli. Walaupun itu adalah hak saya untuk memastikan barang-barang yang bakal dibeli adalah berkualiti, tetapi saya akur dan mengalah serta keluar dari kedai tersebut.

4.Jangan berebut-rebut menaiki lif khususnya di waktu kemuncak, selepas zuhor dan Isyak.

5.Jangan ambil hak orang lain tanpa izin seperti selipar, sabun basuh, ubat gigi dan sebagainya.

6.Jangan ganggu jemaah sebilik yang sedang tidur seperti membuka lampu pada awal pagi. Menutup pintu bilik dengan kuat dan sebagainya.

7.Jangan habiskan masa dengan berbual-bual kosong atau menonton TV yang disediakan di lobi-lobi hotel.

8.Jangan merokok,tak patut mulut yang mengucapkan “Labbaikallahummalabbaik” mulut yang sama menghisap benda yang haram.

Wallahulam.

p/s :- Selamat berangkat menunaikan fardhu Haji khusus kepada Abang Sidek dan isteri di Taman Perwira.Begitu juga kepada Tuan Haji Rizal bin Khalid bersama isteri dan ibu mertuanya. Moga-moga kalian semua memperolehi Haji yang mabrur. Insya Allah...

1 comment:

  1. syukran jazilan nasihat2 ustaz sungguh saya hargai semuga allah membalas segala amalan ustaz. wassallam

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.