Menghias diri..., 'YES' and 'NO'

1. Pakaian yang dibuat dari sutera

Tidak boleh memakai pakaian sutera bagi kaum lelaki. Asalnya Rasulullah SAW pernah dihadiahkan sejenis pakaian yang dibuat daripada sutera. Baginda memakainya lalu mengerjakan solat dengan pakaian itu. Baginda telah ditegur oleh Jibril dalam solatnya. Lantas setelah selesai solat baginda menanggalkan pakaian itu dengan keras seperti membencinya. Sabda baginda:

"Pakaian ini tidak sesuai bagi orang-orang yang bertaqwa." (HR Muslim)

Sejak peristiwa itu sutera haram dipakai oleh kaum lelaki. Pengharaman ini meliputi penggunaannya sebagai selimut, tikar, pengalas, tabir dan sebagainyaa. Imam Bukhari meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda :

نهانا رسول الله (ص) عن لبس الحرير والدباج وأن نجلس عليه

Maksudnya : Rasulullah saw melarang kami memakai sutera, sutera tebal dan duduk di atasnya.

Sabda Nabi saw lagi,

من لبس الحرير فى الدنيا لم يلبسه فى الأخرة

Maksudnya : Barangsiapa yang memakai sutera di dunia, dia tidak akan memakainya di akhirat.

Hukum ini terkecuali bagi kanak-kanak lelaki dengan syarat kanak-kanak itu umurnya tidak kurang dari tujuh tahun. Begitu juga jika ada keperluan yang berhubung dengan masaalah kesihatan, sebagaimana Rasulullah saw pernah mengizinkan Abdur Rahman bin Auf dan Zubir bin Al-Awwam memakainya kerana ada luka di bahagian badan mereka.

Dan bagi perempuan adalah harus bagi mereka memakai kain sutera sama ada yang sudah berkahwin atau bujang, tua atau muda dan miskin atau kaya. Dan juga harus bagi mereka menunaikan solat di atas hamparan yang dibuat daripada sutera.

Berhubung dengan kain sutera yang diproses di kilang dan di tenun dengan menggunakan bahan kimia serta tidak menggunakan ulat sutera, maka kain jenis ini tidak dinamakan sutera di sisi syarak walaupun masyarakat hari ini mengiktirafnya sebagai sutera. Oleh itu harus bagi kaum lelaki memakainya sebagaimana mereka memakai pakaian yang dibuat daripada kapas dan benang linen.

2. Memakai emas dan suasa

Tidak boleh bagi kaum lelaki memakai emas sama ada cincin, gelang, rantai, loket dan sebagainya. Imam at-Tirmizi meriwayatkan sabda Rasulullah saw,

نهى رسول الله (ص) عن التخم بالذهب

Maksudnya : Rasulullah saw melarang memakai cincin daripada emas.

Termasuk juga adalah haram bagi kaum lelaki memakai pen yang diperbuat daripada emas, jam emas, gelang emas, bekas penghidup rokok emas dan gigi emas melainkan dalam keadaan darurat (absolutely necessary) dimana tidak ada pengganti selain dari gigi palsu emas tersebut.

Menurut Imam an-Nawawi rhm, adalah haram golongan lelaki memakai cincin campuran antara emas dan perak (suasa) atau dengan tembaga sama ada banyak, sedikit atau sebahagian. Mengenai cincin yang dibuat daripada besi atau perak, hukumnya adalah harus bagi kaum lelaki memakainya. Sebagaimana diterangkan di dalam hadis yang diriwayatkan pleh Imam Bukhari bahawa Rasulullah saw sendiri pernah memakai cincin daripada perak yang kemudiannya cincin itu berpindah ke tangan Abu Bakar kemudian Omar dan terakhir berpindah ke tangan Sainia Othman sebelum jatuh ke dalam perigi Aris di Quba’.

Menurut Imam Syafie rhm adalah harus memakai cincin sama ada di sebelah tangan kanan atau atau tangan kiri, tetapi yang afdhalnya ialah memakai cincin di tangan kanan kerana mengikut sunnah Rasulullah saw. Ibnu Abbas r.a berkata,

رأيت رسول الله (ص) يتختم في يمينه

Maksudnya : Aku melihat Nabi saw memakai cincin di tangan kanannya.

Menurut Imam Nawawi rhm, telah ijmak ulama adalah sunat bagi orang lelaki memakai cincin di jari kelingking dan makruh memakainya di jari tengah, telunjuk dan ibu jari. Manakala bagi orang perempuan adalah harus bagi memreka memakai cincin di mana-mana bahagian jarinya.

Mengenai perhiasan seperti zamrud dan berlian, tidak ada nas yang melarang kaum lelaki memakainya, asalkan tidak menyerupai kaum wanita.

3. Memakai gelang

Adalah haram bagi kaum lelaki memakai gelang sekalipun bukan diperbuat daripada emas, sama ada ianya diperbuat daripada perak, besi, tembaga, kayu atau sebagainya. Ini kerana gelang itu adalah perhiasan yang khusus bagi kaum perempuan, seperti juga rantai atau subang. Oleh yang demikian lelaki yang memakai gelang itu adalah perbuatan menyerupai perempuan. Hukum lelaki menyerupai perempuan adalah haram dan berdosa besar. Rasulullah saw melaknat lelaki menyerupai perempuan dan perempuan menyerupai lelaki sebagaimana hadits,

لعن رسول الله (ص) المتشبهين من الرجال بالنساء والمتشبهات من النساء بالرجال

Maksudnya: “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan orang-orangperempuan yang menyerupai lelaki.”(Hadis riwayat al-Bukhari)

Walaubagaimanapun adalah harus bagi orang lelaki memakai gelang magnetik kerana ianya bertujuan untuk perubatan dan bukan termasuk dalam bahan perhiasan dan tidak berniat untuk menyerupai perempuan. Begitu juga memakai gelang bagi tujuan mengerjakan haji sebagai pengenalan jemaah Haji yang datangnya dari Malaysia.

4. Menghitamkan rambut

Adalah haram menghitamkan rambut bagi orang yang sudah tua. Dalam satu peristiwa di hari pembukaan kota Mekah, Abu Bakar membawa ayahnya Abu Quhafah datang berjumpa Rasulullah saw sedang rambut dan janggutnya putih seperti kabu-kabu maka baginda bersabda,

غيروا هذا وجنبوه السواد

Maksudnya : Ubahlah warna rambutnya dan elakkan warna hitam .

Tujuannya ialah untuk megelakkan sebarang penipuan. Melainkan menghitamkan rambut untuk tujuan berperang bagi menggerunkan musuh dengan menyamar sebagai orang muda. Adapun menghitamkan rambut bagi orang muda yang beruban hukumnya adalah harus kerana ia memang masih muda dan tidak ada unsur penipuan di situ.

5. Mencabut uban

Adalah makruh mencabut uban kerana ia adalah cahaya di hari Qiamat. Sabda Nabi saw,

لا تنتفوا الشيب فإنه ما من مسلم يشيب شيبة فى الإسلام إلا كان له نورا يوم القيامة

Maksudnya : Janganlah kamu mencabut uban kerana sesungguhnya orang muslim yang rambutnya beruban maka sesungguhnya uban tersebut akan menjadi cahaya di hari Qiamat.

6. Menyambung rambut

Dilarang menyambung rambut seperti menambah rambut dengan rambut yang lain sama ada palsu atau asli berdasarkan hadis berikut,

لعن الله الوصلة والمستوصلة والواشمة والمستوشمة

Maksudnya : Allah SWT melaknat perempuan yang menyambung rambut yang diminta menyambung rambut dan Allah melaknat perempuan yang menatu dan minta ditatu.

7. Menanam rambut

Adapun menanam rambut, terdapat khilaf di kalangan ulama. Ada yang mengharus dan ada yang mengharamkannya. Namun yang masyhur ialah harus menanam rambut sebagai satu cara untuk mengubat daripada penyakit botak sedangkan botak itu adalah satu perkara yang mengaibkan. Berubat daripada penyakit adalah perkara yang dituntut oleh Syara’ seperti hadis berikut:

عباد الله تداووا فإن الله لم يضع داء إلا وضع له شفاء غير داء واحد، قالوا
وما هو يا رسول الله ، قال الهرم

Maksudnya: “Hai hamba Allah berubatlah. Sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit melainkan Allah meletak bersamanya penawar melainkan satu penyakit .Para sahabat bertanya “Apa dia hai Rasulullah?” Baginda menjawab “Tua” (Hr Tirmizi, Abu Daud dan Bukhari )

8. Mencukur bulu kening

Adalah haram kepada seseorang perempuan mencukur bulu keningnya kerana itu bererti merubah ciptaan Allah dan merubah ciptaan Allah ini adalah dilarang keras di dalam Al-Quran. Di dalam sebuah hadis yang sahih melarang keras seseorang perempuan itu menyambung rambut dan meminta orang lain menyambung rambutnya dan lain-lain, apatah lagi perbuatan mencukur buku kening.

Namun begitu, bagi kaum wanita yang mempunyai hormon yang kuat sehingga menyebabkan begitu banyak bulu yang tumbuh di sekitar bahagian muka , tangan dan kaki dan menyebabkan seseorang wanita itu merasa malu dan rendah diri kerana ianya merupakan perkara yang tidak normal , maka di saat itu TIDAK MENGAPA jika dilakukan proses menghilangkan dan mencukur bulu-bulu tersebut . Dan ini tidak dianggap sebagai mengubah ciptaan Allah Ta’ala bahkan ialah termasuk di dalam bab berubat dan mendapatkan rawatan .

9. Menyikat rambut

Adalah dituntut agar membersih, menyikat dan mengemaskan rambut dengan baik. Pernah satu ketika seorang lelaki ingin bertemu Rasulullah saw dalam keadaan rambutnya yang kusut masai. Nabi saw tidak mahu berjumpa pemuda ini melainkan pemuda ini mengemaskan rambutnya terlebih dahulu. Setelah lelaki ini mengemaskan rambutnya, Nabi saw bersabda,

أليس هذا خيرا من أن يأتى أحدكم ناثر الرأس كأنه شيطان ؟

Maksudnya : Bukankah ini lebih baik daripada dia datang dalam keadaan rambutnya kusut masai seperti kepala syaitan.

10. Menghilangkan bulu ketiak

Diperintahkan agar menghilangkan bulu ketiak sama ada dengan mencabut, mencukur atau cara-cara lainnya. Berdasarkan sabda Nabi Shalallahu ‘Alaihi Wassalam : “Fitrah ada lima: Khitan, menggunting kumis, menggunting kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu kemaluan.” (Muttafaqun ‘alaihi)

Mengenai kuku, Nabi saw juga pernah bersabda, jangan panjangkan kuku kerana syaitan berlari di atas kuku yang panjang. Begitu juga misai yang melebihi bibir mulut.

11. Memakai minyak wangi

Sunat bagi kaum lelaki memakai minyak wangi, lebih-lebih lagi apabila hendak ke masjid. Manakala bagi kaum wanita adalah harus memakai minyak wangi jika memenuhi syarat-syarat iaitu :

i. Memelihara niat iaitu sekadar mengelakkan diri dari berbau busuk.

ii. Tidak memakainya dengan berlebih-lebihan sehingga boleh menggugah perasaan lelaki yang ajnabi. Sabda Rasulullah saw,

كل عين زانية والمرأة إذا استعطرت فمرت بالمجلس فهى كذا وكذا يعنى زانية

Maksudnya : Setiap mata dapat berzina dan seorang wanita apabila memakai wangi-wangian dan ia melintasi sekumpulan lelaki maka ia telah melakukan zina.

iii. Tidak memakainya pada waktu berkabung di atas kematian sumai. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Athiah r.anha yang bermaksud : “ Kami telah ditegah untuk berkabung ke atas orang mati melebihi dari tiga hari melainkan kematian suami selama 4 bulan 10 hari serta dilarang untuk bercelak mata dan memakai minyak wangi dan memakai pakaian yang bewarna. (HR Bukhari dan Muslim)

12. Bertatu

Adalah haram bertatu pada anggota tubuh badan. Sabda Rasulullah saw,

لعن الله الوصلة والمستوصلة والواشمة والمستوشمة

Maksudnya : Allah SWT melaknat perempuan yang menyambung rambut yang diminta menyambung rambut dan Allah melaknat perempuan yang menatu dan minta ditatu.

Larangan bertatu ini tidaklah terbatas kepada perempuan sahaja bahkan kepada lelaki juga. Adapun jika kanak-kanak atau orang gila dibuatkan tatu kepada mereka, maka orang itu akan menanggung dosa perbuatannya, sementara kanak-kanak atau orang gila tersebut tidaklah berdosa disebabkan belum ada taklif (kewajipan mentaati suruhan dan larangan agama) ke atas mereka.

Hukum menghilangkan tatu adalah wajib. Jika dia bersuci sedang tatunya belum hilang maka tidak akan terangkat hadatsnya itu. Ini kerana anggota-anggota yang ditatunya itu mengandungi najis disebabkan darah yang bercampur dengan celak tatu tersebut. Jika dia mengerjakan sembahyang sedang tatunya belum hilang maka tidak sah sembahyangnya itu. Demikian juga tidak sah apabila dia menjadi imam. Begitu juga tidak sah menjadi wali nikah kerana syarat sah wali hendakalah seorang yang tidak fasik.

Namun begitu jika seseorang yang mempunyai tau di badan meninggal dunia sebelum sempat dia menghilangkan tatunya, maka tidaklah wajib bahkan haram dihilangkan tatu mayat itu. Ini kerana bagi menjaga kehormatan mayat tersebut dan kerana kewajipannya menghilangkan tatu itu bagi mengerjakan sembahyang telahpun luput.

Namun jika seseorang doctor yang beragama Islam lagi amanah menyatakan jika seseorang itu membuang tatu boleh memudaratkan anggota badannya, seperti mangakibatkan kelumpuhan, membahayakan nyawa, rasa anxiety disorder (ketakutan yang amat sangat hingga menjejaskan kehidupan) dan sebagainya maka tidak perlu dibuang. Tidaklah ia berdosa sekiranya tidak membuang tatu tersebut. Hendaklah dia bertaubat dengan bersungguh-sungguh kepada Allah SWT. Ada pun solatnya sah dan dia boleh menjadi imam.

WaLlahua'lam

Rujukan

Halal dan Haram dalam Islam – Dr Yusof al-Qardhawi
Isu-isu Feqah terpilih – Dr. Basri Ibrahim
Fatwa kerajaan Brunei, Hukum Bertatu

Nota ini dikuliahkan di Surau Kolej Height pada 18h.12.2009 dan Surau al-Amin pada 19.12.2009.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu