Wednesday, December 2, 2009

Hukum qazaf dan kes Dato' Seri Anwar Ibrahim

Firman Allah SWT dalam Al-Quran surah An-Nur ayat 4-5,

"Dan orang-orang yang menuduh perempuan suci (baik) dengan tuduhan berzina, kemudian mereka tiada mengemukakan empat orang saksi maka deralah oleh kamu akan orang-orang itu dengan lapan puluh kali sebatan. Janganlah kamu terima penyaksian mereka selama-lamanya. Kerana mereka itu orang-orang yang fasik (4) Kecuali orang-orang yang telah bertaubat sesudah itu dan menjadi baik, Maka sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang " (5)

Dalam ayat di atas Allah SWT menjelaskan tentang hukum qazaf, iaitu menuduh mana-mana perempuan yang baik melakukan zina. Allah SWT memerintahkan bahawa sesiapa yang menuduh perempuan yang baik melakukan zina, maka dia hendaklah membawa empat orang saksi bagi membuktikan tuduhannya.

Yang dimaksudkan dengan empat orang saksi di sini ialah empat orang saksi yang boleh melihat dengan mata kepala mereka sendiri waktu berlakunya peristiwa zina tersebut. Ini menunjukkan bahawa Islam agama yang cukup teliti untuk menjatuhkan sesuatu hukuman apatah lagi hukuman yang melibatkan dera ataupun rejam sampai mati.

Jika gagal bawa saksi ....

Sekiranya pihak penuduh gagal mengemukakan empat orang saksi maka dia akan dikenakan hukuman sebat 80 kali sebatan. Tujuan Allah SWT mengadakan undang-undang seperti ini, untuk memberi peringatan kepada kita agar berhati-hati dalam membuat sesuatu tuduhan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan maruah manusia.

Setelah mereka di hukum sebat lapan puluh kali sebatan, Allah SWT melarang kita menerima kesaksian mereka selama-lamanya kerana sikap mereka yang berbohong yang bertepatan dengan ciri-ciri orang fasik.

Walaupun begitu, Allah SWT memberi peluang kepada mereka supaya bertaubat daripada kesalahan mereka, yakni dengan cara menarik balik tuduhan tersebut, menyesal atas apa yang mereka katakan dan seterusnya menjadi orang baik-baik, maka Allah SWT Tuhan yang Maha Pengampun Lagi Maha Pengasih akan menerima taubatnya.

Pengampunan Allah ada pengecualian....

Tetapi pengampunan ini ada pengecualiannya. Ia tidak diberikan kepada mana-mana pihak yang menyakiti Rasulullah saw. Ini di jelaskan dalam surah An-Nur ayat 23,

"Sesungguhnya orang-orang menuduh perempuan-perempuan yang baik-baik (yang lengah) lagi beriman (berbuat zina), mereka kena laknat di dunia dan di akhirat, dan bagi mereka azab yang besar"( 23)

Ayat ini diturunkan khusus dengan satu peristiwa kepada Saidatina Aisyah yang telah dituduh melakukan perbuatan curang dengan sahabat Rasulullah saw yang bernama Safwan bin Al-Mu’attol. Tuduhan fitnah ini dibuat oleh ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai bin Salul.

Tuduhan ini cukup berat untuk ditanggung oleh Rasulullah saw dan keluarganya. Kerana ia lebih kepada serangan untuk memalu dan menjatuhkan reputasi Rasulullah saw, mencemarkan maruah isteri baginda dan boleh menggoncang keimanan umat Islam. Hampir-hampir umat Islam berbalah kerana fitnah ini. Maka dengan sebab itulah tiada pengampunan ke atas orang yang membuat tuduhan fitnah ini.

Kalau dirujuk dalam kitab-kitab hadis soheh yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, kisah ini bermula ketika Rasulullah saw dan tentera Islam dalam perjalanan mahu pulang ke Madinah setelah selesai dalam satu misi ketenteraan dengan Bani Mustaliq. Ketika itu Saidatina Aisyah telah keluar dari tempat penginapannya yang disediakan khas di atas unta untuk menunaikan sesuatu hajat. Apabila dia kembali ke penginapannya, dia menyedari bahawa kalungnya telah tercicir. Lalu beliau keluar sekali lagi untuk mencari kalungnya.

Apabila pulang, di dapati rombongan tentera Islam telah berangkat meninggalkannya. Maka tinggallah Saidatina Aisyah keseorangan menunggu sehingga tertidur dengan harapan mudah-mudahan akan ada orang yang menyedari kehilangannya lalu kembali semula mencarinya.

Kebetulan pada masa itu muncul seorang sahabat iaitu Safwan bin Mu’attol yang ditugaskan oleh Rasulullah saw untuk memeriksa apa-apa barang kepunyaan tentera Islam yang tertinggal di belakang. Apabila Safwan melihat Saidatina ‘Aisyah, beliau mempelawa Aisyah menunggang untanya sambil beliau berjalan kaki untuk pulang ke Madinah.

Fitnah daripada Abdullah bin Ubai bin Salul ..

Apabila mereka berdua sampai di Madinah, Abdullah bin Ubai bin Salul yang mempunyai dendam dengan Rasulullah saw telah menabur fitnah kononnya Saidatina Aisyah telah melakukan perbuatan curang dengan Sofwan bin Al-Mu’attol. Fitnah ini disebarkan dari mulut-kemulut sehingga ada di kalangan umat Islam termakan dengan fitnah tersebut. Rasulullah saw berharap agar wahyu turun dengan segera untuk menjelaskan keadaan yang sebenar.

Sebulan selepas peristiwa itu turun ayat Al-Quran surah An-Nur ayat 11-23 yang membersihkan Saidatina Aisyah dari tuduhan curang. Pada ayat 23 Allah SWT dengan tegas melaknat orang yang membuat tuduhan ini dan di akhirat dia dijanjikan azab yang besar (dahsyat). Dalam surah Al-Ahzab ayat 57, Allah ulangi kutukannya ke atas orang yang menyakiti Rasulullah saw,

"Sesungguhnya orang yang menyakiti Allah dan RasulNya mereka itu dilaknat oleh Allah di dunia dan akhirat dan disediakan bagi mereka seksa yang mendatangkan kehinaan".(57)

Juga disebut dalam hadis sohih Bukhari, apabila Abdullah bin Ubai bin Salul meninggal dunia, datanglah anaknya menemui Rasulullah saw meminta jubah baginda untuk dijadikan kain kafan. Anaknya juga meminta agar baginda menyembahyangkan jenazah bapanya. Permintaan ini diperkenankan oleh Rasulullah saw namun dibantah oleh Saidina Umar bin AlKhattab.

Kemudian turun ayat Al-Quran surah Al-Taubah ayat 84,

" Dan janganlah engkau sembahyangkan mayat seseorang daripada mereka yang telah mati untuk selama-lamanya, dan janganlah engkau berdiri di atas kuburnya. Sesungguhnya mereka itu telah kufur kepada Allah SWT dan RasulNya dan mereka sedang mereka dalam keadaan fasik (jahat)". (84)

Selepas turun ayat ini, Nabi saw tidak pernah menyembahyangkan mayat orang-orang munafik dan tidak pula berdiri di atas kuburnya.

Baik, kes di atas adalah kes yang melibatkan tuduhan ke atas mana-mana perempuan yang baik melakukan zina dan kes yang melibatkan tuduhan ke atas isteri Rasulullah saw melakukan zina. Bagaimana pula dengan kes tuduhan meliwat ?

Ingat, hukum Liwat dan Zina adalah sama !

Menurut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, perbuatan liwat adalah sama seperti perbuatan zina. Oleh itu, orang yang melakukan liwat sama ada lelaki atau perempuan, kedua-duanya adalah dihukum sebagai penzina. Maksudnya, sekiranya peliwat dan yang diliwat itu belum berkahwin, yang mana mereka melakukan kesalahan itu secara sukarela maka hukumannya ialah sebat 100 kali sebatan. Dan sekiranya mereka sudah berkahwin maka hukumannya adalah rejam sampai mati.

Justeru, melemparkan tuduhan ke atas seseorang dengan tuduhan liwat adalah sama seperti hukum melemparkan tuduhan ke atas seseorang dengan tuduhan zina . Maka orang yang membuat tuduhan ini atau si penuduh mesti membawa 4 orang saksi yang tidak fasik dan cukup syarat-syaratnya untuk menjadi saksi bagi membenarkan tuduhan liwatnya itu.

Qazaf tidak sama dengan Li'an !

Jumhur ulama menyatakan kes qazaf dia tidak sama dengan kes li’an iaitu kes di mana seorang suami menuduh isterinya melakukan zina. Dalam kes li’an Allah SWT berfirman,

"Dan orang-orang yang menuduh isterinya (melakukan zina) sedangkan mereka tidak mempunyai saksi-saksi selain diri mereka sendiri, Maka hendaklah dia bersumpah empat kali dengan menyebut nama Allah bahawa sesunguhnya dia adalah orang yang benar. Pada kali yang kelima (Dia hendaklah berkata) Allah akan melaknat dirinya jika dia berdusta. Ada pun isteri yang tertuduh itu dilepaskan daripada dikenakan hukuman jika dia jugta bersumpah empat kali dengan menyebut nama Allah bahawa suaminya berdusta. Pada sumpah yang kelima dia hendaklah berkata : Allah memurkaiku jika tuduhan suami itu benar". (An-Nur : 6-9)

Dalam ayat di atas Allah SWT menjelaskan apabila suami menuduh isterinya melakukan zina tetapi gagal membawa empat orang saksi untuk membuktikan tuduhannya, maka dia boleh bersumpah dengan lima kali sumpah. Sumpah kelima hendaklah dia menyatakan jika dia berdusta, maka laknat Allah akan tertimpa ke atas dirinya.

Manakala isteri pula jika ingin menyangkal tuduhan suaminya maka dia juga boleh bersumpah dengan lima kali sumpah seperti mana suaminya. Sumpah yang kelima isteri hendaklah dia menyatakan jika dia berdusta, maka laknat Allah akan tertimpa ke atas dirinya.

Dengan demikian terjadilah MULA’ANAH ( iaitu saling berli’an) antara suami dan
Isteri. Dengan sumpah penafian ini, maka terselamatlah si isteri daripada hukuman rejam sampai mati. Maka hubungan suami isteri terpisah selepas sumpah li’an, kedua-duanya tidak boleh merujuk atau berkahwin semula selama-lamanya.

Kes Dato Seri Anwar Ibrahim (DSAI)?

Justeru dalam kes DSAI, orang yang menuduh iaitu Saiful Bukhari perlu mengemukan 4 orang saksi yang adil yang cukup syarat untuk membenarkan tuduhannya itu. Jika dia gagal membawa empat orang saksi maka dia tidak boleh bersumpah untuk membuktikan kebenarannya. Sekiranya dia bersumpah juga, walaupun sumpahnya itu menjunjung Al-Quran, maka sumpahya itu tidak boleh diterima dan sumpahnya itu tidak boleh menyelamatkan dirinya daripada hukuman qazaf.

Dengan kata lain, apa yang telah dilakukan oleh Saiful bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan bukanlah mengikut Syariat Islam. Tindakan Saiful bersumpah, benar-benar menunjukkan kejahilannya ataupun kejahilan pihak yang menyuruhnya melakukan sumpah tersebut. Justeru, dalam kes ini saya sama sependapat dengan tokoh-tokoh agama yang lain menyatakan saudara DSAI tidak perlu bersumpah.


Wallahualam.

Ust. Mohd Hishamuddin bin Mansor.
Kuliah Subuh Masjid Sikamat
1.9.2008

p/s : - Disebabkan kuliah subuh ini, saya tersingkir sebagai AJK Masjid Qariyah Sikamat bagi sesi 2009 -2011.

1 comment:

  1. ustaz,saya ambik sebahagian entri ini kerana saya malas taip,izinkan ya dan halalkan

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.