Lagi mengenai hukum Qazaf ...(perincian)

Pendahuluan

Soal maruah dan kehormatan diri merupakan sesuatu yang sensitif di dalam kehidupan manusia biar pun di mana-mana. Orang yang dituduh melakukan sesuatu perkara yang mencemarkan maruah diri atau keluarganya sedangkan tuduhan itu merupakan fitnah, sanggup melakukan apa sahaja demi mempertahankan kebenaran.

Bagi mengawal ketenteraman dan keharmonian sesebuah masyarakat, maka Islam telah mewujudkan satu peraturan yang mengandungi hukuman dan pembalasan yang dikenali sebagai had Qazf. Tujuan mengadakan undang-undang ini ialah untuk menghapuskan sesuatu amalan buruk iaitu perbuatan tuduh menuduh dan syak wasangka yang tidak berasas yang boleh mengancam kerukunan sesebuah rumahtangga dan menjejaskan perpaduan anggota sesebuah masyarakat dan Negara.

Islam memandang jenayah Qazf ini sebagai satu dosa besar sebagaimana firman Allah SWT,

والذين يرمون المحصنت ثم لم يأتوا بأربعة شهداء فاجلدوهم ثمنين جلدة
ولا تقبلوا لهم شهدة أبدا وأولئك هم الفسقون (24)

Maksudnya : Dan orang-orang yang melimparkan tuduhan zina terhadap perempuan-perempuan yang terpelihara kehormatan mereka, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka lapan puluh kali sebatan, dan janganlah kamu menerima kesaksian mereka itu selama-lamanya, kerna mereka adalah orang-orang yang fasik. (An-Nur : 4)

Sabda Rasulullah saw,

اجتنبوا السبع الموبقت, قالوا : يا رسول الله ما هن ؟ قال : الشرك بالله , والسحر , وقتل النفس التى حرم الله الا بالحق , وأكل الربا, وأكل مال اليتيم , والتولى يوم الزحف وقذف المحصنت الغفلت المؤمنت

Maksudnya : Jauhilah tujuh perkara kejahatan. Para sahabat bertanya , Apakah dia ya Rasulullah ? Baginda menjawab : Menyengutukan Allah, mengerjakan amalan sihir, membunuh nyawa yang diharamkan Allah kecuali dengan hak, memakan riba, memakan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh zina perempuan-perempuan yang suci dan beriman. (Sahih Bukhari dan Muslim)

Pengertian

Qazf dari segi bahasa ertinya melontar sama ada dengan batu atau sebagainya. Manakala dari segi istilah syarak ialah melemparkan tuduhan zina kepada orang yang baik lagi suci atau menafikan nasab (keturunannya). Berdasarkan pengertian ini boleh dirumuskan bahawa rukun bagi kesalahan ini ada 3 iaitu, (1) perbuatan menuduh zina atau menafikan keturunan, (2) Syarat-syarat orang yang membuat tuduhan dan orang yang kena tuduh (3) Niat untuk melakukan jenayah.

Rukun pertama : Perbuatan Menuduh Zina

Seseorang itu boleh disabitkan dengan kesalahan qazf apabila dia melemparkan tuduhan ke atas seseorang dengan tuduhan zina atau menafikan nasabnya daripada bapanya tanpa dibuktikan kebenaran tuduhan tersebut. Tetapi jika dia dapat membuktikan kebenaran tuduhannya dengan membawa empat orang saksi lelaki, maka sahlah tuduhannya dan orang yang dituduh itu boleh dikenakan hukuman had zina.

Cara melemparkan tuduhan

Cara melemparkan tuduhan terbahagi kepada dua iaitu lafaz soreh (terang / jelas) dan lafaz kinayah (sindiran / tidak terang). Contoh lafaz soreh seperti katanya, “wahai penzina ”, atau “ engkau berzina”, atau “engkau anak zina”, atau “ibu engkau telah berzina ”, atau “bapa engkau telah berzina ” dan sebagainya yang mana kesemuanya membawa maksud yang jelas, tidak ada makna lain di sebaliknya. Semua ulama sepakat mengatakan bahawa orang yang melakukan kesalahan qazf melalui perkataan yang soreh (terang /jelas), wajib dikenakan hukuman had.

Manakala contoh lafaz kinayah (sindiran/ tidak terang) seperti katanya, “Wahai orang yang melakukan perbuatan keji dan terkutuk”, “aku sudah merosakkan isterimu”, atau “isteri si pulan telah melakukan hubungan sulit ” dan sebagainya yang mana kesemua makna tersebut membawa pengertian zina atau sebaliknya. Para ulama telah berselisih pendapat tentang hukuman ke atas orang yang membuat tuduhan secara kinayah.

Menurut mazhab Hanafi, hukuman had qazf tidak wajib ke atas orang yang membuat tuduhan secara kinayah tetapi dia tidak terlepas daripada dikenakan hukuman ta’zir. Manakala mazhab Syafie pula berpendapat, sekiranya orang yang membuat tuduhan zina secara kinayah itu memang berniat bahawa maksud tuduhan itu ialah zina, maka dia wajib dikenakan hukuman had qazf. Tetapi sebaliknya jika tuduhan secara kinayah itu tidak berniat atau membawa maksud zina maka dia hanya dikenakan hukuman ta’zir.

Para ulama telah menjelaskan beberapa perkara mengenai tuduhan-tuduhan zina seperti berikut :

1. Tuduhan zina ke atas satu kumpulan. Menurut Imam As-syafie, jika seseorang itu membuat tuduhan zina terhadap sekumpulan orang maka dia akan dikenakan hukum had qazf bagi setiap orang yang dituduhnya walaupun hanya dengan satu tuduhan. Pendapat ini berbeza dengan Imam Abu Hanifah yang berpendapat dia hanya dikenakan satu hukuman had qazf sahaja.

Imam Abu Hanifah juga berpendapat, seseorang itu hanya boleh dikenakan satu had qazf bagi setiap satu tuduhan yang dilakukan jika dia mengatakan, “Engkau Kasim adalah penzina, engkau Ahmad adalah penzina dan engkau Hasan juga adalah penzina ”.

2. Tuduhan berulang-ulang. Menurut Imam As-Syafie dan Imam Ahmad, sesiapa yang membuat tuduhan zina ke atas seseorang, lalu dia dikenakan hukuman had qazf, kemudian setelah menjalani hukuman qazf, dia melakukan lagi tuduhan yang sama ke atas mangsa yang sama, maka penuduh tidak akan dikenakan hukuman had qazf kali kedua, cuma dia hanya akan dikenakan pembalasan ta’zir sahaja.

3. Tuduhan di balas dengan tuduhan. Apabila seseorang menuduh seorang yang lain melakukan zina, lalu tuduhannya itu dijawab oleh orang yang dituduh dengan tuduhan yang sama, maka kedua-duanya dihukum sebagai penuduh yang wajib dikenakan hukum had qazf.

4. Tuduhan dalam bahasa isyarat . Seseorang yang bisu atau orang yang mampu bercakap, sekiranya dia melemparkan tuduhan zina ke atas seseorang melalui bahasa isyarat, maka dia tidak akan dikenakan hukuman had qazf, kerana tuduhan zina dalam bentuk itu tidak meyakinkan.

5. Tuduhan bersyarat. Sesuatu tuduhan itu hendaklah bebas daripada sebarang syarat atau masa tertentu. Sebagai contoh, “Jika kamu masuk ke dalam rumah ini maka kamu adalah penzina”, atau “Engkau adalah penzina pada minggu hadapan”. Ungkapan seperti ini tidak menyebabkan orang yang mengungkapnya dikenakan hukuman had qazf.

6. Tuduhan dalam bentuk perutusan. Sekiranya seseorang berkata kepada rakannya, “Pergilah kepada si pulan dan katakan kepadanya, engkau penzina, atau engkau anak zina” maka dalam kes seperti ini Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan Imam Ahmad tidak menganggap pembawa utusan itu sebagai penuduh zina. Oleh itu dia tidak dikenakan hukuman had qazf.

7.Tuduhan liwat . Menurut Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad, perbuatan liwat adalah sama seperti perbuatan zina. Oleh itu, orang yang melakukan liwat sama ada lelaki atau perempuan, kedua-duanya adalah dihukum sebagai penzina. Justeru, melemparkan tuduhan ke atas seseorang dengan tuduhan liwat adalah sama dengan hukum melemparkan tuduhan ke atas seseorang dengan tuduhan zina . Maka orang yang membuat tuduhan ini boleh dikenakan hukuman had qazf jika gagal membawa empat orang saksi lelaki.

Manakala Imam Abu Hanifah pula berpendapat orang yang melemparkan tuduhan ke atas seseorang dengan tuduhan liwat, maka dia tidak boleh dikenakan hukuman had qazf, cuma hanya dikenakan hukuman ta’zir sahaja kerana menurutnya perbuatan liwat itu tidak sama seperti perbuatan zina.

Lain-lain tuduhan

Ulama sepakat mengatakan hukuman had qazf tidak boleh dikenakan ke atas seseorang jika tuduhan itu tidak melibatkan tuduhan zina atau tuduhan yang menafikan nasab. Seperti seseorang melemparkan tuduhan ke atas seseorang dengan tuduhan melakukan kekufuran, makan rasuah, pecah manah, main judi, penipu besar, pengkhianat dan sebagainya, maka penuduh jika gagal mengemukakan bukti, maka dia hanya boleh dikenakan hukuman ta’zir.

Begitu juga jika seseorang itu membuat tuduhan ke atas seseorang dengan tuduhan gila, mandul, pekak, mati pucuk dan sebagainya, walaupun tuduhan itu adalah benar lagi tepat maka dia boleh dikenakan hukuman ta’zir kerana tuduhan-tuduhan ini boleh menyakitkan hati dan menjatuhkan maruah seseorang.

Jika seseorang itu berkata kepada rakannya “Hei babi”, “Hei lembu”, “Hei mangkuk”, “Hei sial” dan sebagainya, ia bergantung kepada adat resam sesebuah masyarakat. Jika adat sesebuah masyarakat itu tidak merasa sakit hati atau malu dengan panggilan-panggilan seperti itu maka pengungkapnya tidak akan dikenakan apa-apa hukuman. Sebaliknya jika adat kebiasaan sesebuah masyarakat itu merasa sakit hati atau malu dengan panggilan tersebut, maka barulah pengungkapnya akan dikenakan hukuman ta’zir.

Rukun kedua : Syarat-Syarat Orang Yang Membuat Tuduhan Dan Yang Kena Tuduh

a) Syarat-syarat peribadi penuduh zina

1. Sempurna akal, baligh dan dengan kerelaan sendiri. Ini bererti sekiranya orang yang membuat tuduhan itu kanak-kanak yang belum baligh atau orang yang gila atau pun dipaksa membuat tuduhan maka dia tidak akan dikenakan hukuman had qazf.

2. Mengetahui tentang haramnya qazf. Kalau dia jahil kerana tinggal berjauhan daripada asyarakat Islam atau dia baru masuk Islam maka dia tidak dikenakan hukuman had qazf.

3. Orang yang menuduh itu bukan bapa atau datuk kepada orang yang dilemparkan tuduhan. Maksudnya kalau seseorang bapa atau ibu menuduh anaknya berzina atau datuk menuduh cucunya berzina maka menurut Imam Abu Hanifah, Imam Syafie dan Imam Ahmad bahawa penuduh tidak akan dikenakan hukuman had qazf.

Dengan menyoroti syarat-syarat di atas, kita dapati bahawa seseorang penuduh itu tidak terikat dengan syarat-syarat lain seperti Islam, maksudnya orang bukan Islam juga boleh dikenakan had qazf, dan merdeka, maksudnya seorang hamba juga boleh dikenakan hukuman had qazf yakni separuh daripada jumlah sebatan.

b) Syarat-syarat peribadi orang yang dituduh.

1. Orang yang dilemparkan tuduhan itu diketahui dengan jelas walaupun ia sudah meninggal dunia. Sekiranya tuduhan itu tidak jelas seperti katanya , “Salah seorang daripada kamu adalah penzina”, maka hukuman had qazf tidak boleh dikenakan. Hukuman had qazf tetap dijalankan walaupun mangsa tuduhan telah meninggal dunia.

2. Seorang yang sudah Muhsan. Maksud muhsan di sini ialah sempurna akal, baligh, merdeka , Islam dan ‘Iffah yakni suci daripada melakukan perbuatan zina. Maksudnya jika yang dituduh itu seorang gila maka hukuman had qazf tidak akan dikenakan sebaliknya akan diganti dengan hukuman ta’zir. Sesiapa yang menuduh zina seorang muslim yang dahulunya seorang kafir, kemudian penuduh menjelaskan bahawa tuduhannya itu ditujukan ketika mangsanya kafir kafir, maka penuduh akan tetap dikenakan hukuman had qazf.

Menurut mazhab Hanafi, jika seseorang melemparkan tuduhan zina ke atas penzina, maka penuduh tidak akan dikenakan hukuman had qazf, sama ada tuduhan itu ditujukan kepada zina yang sama atau zina yang lain. Tetapi sebahagian ulama yang lain berpendapat, jika penuduh melemparkan tuduhan zina ke atas penzina dan tuduhan itu ditujukan kepada zina yang lain maka penuduh wajib dikenakan hukuman had qazf.

Rukun ketiga : Niat Melakukan Jenayah

Yang dimaksudkan dengan sengaja ialah umpamanya seorang yang membuat tuduhan tidak berasas tentang zina atau menafikan nasabnya itu dalam keadaan dia mengetahui tuduhan yang dilemparkan itu adalah tidak betul dan yang dikatakan tidak betul ialah ialah kerana dia gagal membawa empat orang saksi bagi membuktikan kesahihan dakwaannya.

Menolak Tuduhan

Penuduh yang di dakwa oleh pihak kehakiman, jika berhasrat untuk mempertahankan dirinya dan menolak tomahan yang dihadapkan kepadanya, bolehlah dia melakukan salah satu daripada perkara berikut :

1. Menyangkal berlakunya peristiwa tuduhan tersebut dengan bantuan para saksi sama ada lelaki atu perempuan tanpa terikat dengan bilangan tertentu, yang dapat memberikan sokongan terhadap penyangkalannya itu.

2. Mendakwa bahawa mangsa tuduhannya telah mengakui tentang kebenaran tuduhannya dengan disaksikan oleh dua orang saksi lelaki atau seorang saksi lelaki bersama dua orang saksi perempuan.

3. Jika dia mengakui berlakunya peristiwa tuduhan tersebut, maka dia hendaklah bersedia membuktikan kebenaran tuduhannya dengan membawa empat orang saksi lelaki yang sempurna syarat-syaratnya, tidak termasuk dirinya sendiri.

4. Jika dia seorang suami yang menuduh isterinya berzina, maka dia boleh melakukan mula’anah terhadap isterinya itu.

Hukuman ke atas pesalah Qazf

Ada dua jenis hukuman, yang pertama di sebat lapan puluh kali sebatan tanpa dibezakan sama ada penuduh itu lelaki atau permpuan. Kedua, dia akan dilucutkan kelayakkan menjadi saksi dan dianggap sebagai fasik. Pengharamannya menjadi saksi dan memberi kesaksian akan berterusan sehinggalah dia bertaubat. Inilah pendapat di kalangan ulama Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

Wallahualam.

Dikuliahkan oleh,
Ust. Mohd Hishamuddin bin Mansor.
Untuk sekitar daerah Seremban dan Sikamat

Rujukan,

Undang-Undang Jenayah Islam- Dr. Mat Saad Abd Rahman, Penerbit Hizbi Shah Alam
Jinayah Dalam Islam – Dr. Mahfodz Mohamad, Nurin Enterprise K.L

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu