Saturday, December 19, 2009

Syabas dan tahniah..!

Secara peribadi saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua AJK Surau al-Hidayah Bandar Warisan Puteri Sikamat kerana telah berjaya menganjurkan Ceramah Maal Hijrah pada malam semalam (18.12.2009)dengan lancarnya.

Terima kasih diucapkan kepada semua yang bertungkus lumus bergotong royong membersihkan surau di sebelah pagi dan memasak di sebelah petangnya. Juga kepada mereka yang menderma dalam bentuk wang ringgit, hanya Allah SWT sahaja yang layak membalas jasa baik tuan-tuan/puan-puan.

Walaupun cuaca pada malam itu hujan, namun jumlah kehadiran sekitar 300 ke 400 orang amat membanggakan. Antara yang hadir termasuklah dari Taman Desa Ru (En Syarif), dari Taman Desa Beringin (Haji Awal), dari rumah rakyat Sikamat (Hj Yusof) dan ramai lagi jemaah yang datang dari luar Warisan Puteri.

Malam itu saudara Ann Wan Seng benar-benar mempamerkan kehebatannya menyampaikan ceramah. Beliau bukan sahaja fasih berbahasa Melayu (bak kata pengerusi majlis En Zamri, lebih Melayu dari Melayu) malah pandai mencuit hadirin dengan memasukkan unsur-unsur jenaka yang mengandungi sindiran dan nasihat. Ternyata lawaknya bukan lawak kosong !

Terima kasih Ann Wan Seng, semoga Allah SWT memberi ganjaran pahala di atas ilmu yang saudara sampaikan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.