Wednesday, December 30, 2009

Wahai pembeli yang budiman..., jangan lupa bayar hutang ya !


Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan bin Haji Sail sedang bergambar dengan Ahli-Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilan sekitar awal tahun 60-an.

Alhamdulillah, road show promosi buku 'Sebutir Permata Segunung Jasa : Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan bin Haji Sail' sedang giat saya jalankan di mana-mana masjid dan surau yang saya menyampaikan kuliah.

Bermula dengan Masjid Sikamat (21hb Disember) kemudian Masjid Ampangan (23hb Disember), Surau al-Hidayah Bandar Warisan Puteri Sikamat (24hb Disember, selepas bacaan Yasin), Surau al-Falah Taman Desa Ru Sikamat (25 hb Disember),Surau al-Amin Sikamat (26 hb Disember), Surau at-Taufiqiah Tmn Pinggiran Senawang (27 hb Disemeber), Masjid Rasah Jaya (28hb Disember) dan Surau al-Hadi (29 hb Disember 2009). Manakala yang belum saya war-warkan lagi ialah di Surau Kg Ismail, Kolej Height dan Masjid Negeri.

Overall, sambutan setakat ini begitu menggalakkan. Ada juga masjid dan surau yang meminta saya datang kembali dengan membawa lebih banyak lagi buku ini seperti Masjid Ampangan, Surau Al-Amin dan surau al-Falah.

Boleh dikatakan, rata-rata pembeli adalah warga emas, mungkin mereka hidup sezaman dengan Allahyarham Dato' Haji Hassan bin Haji Sail serta pernah menimba ilmu agama daripadanya. Justeru dengan membeli buku ini, nostalgia lama terhadap guru mereka terungkap kembali di hati sanubari.

Bermacam ragam pembeli

Majoriti pembeli membelinya secara berhutang, ambil dulu dan bayar kemudian. Ada juga yang saya beri percuma.., seperti seorang pakcik yang mengeluarkan wangnya dari sapu tangan yang sudah kusam sambil terketar-ketar mengira wang. Kasihan pakcik ni..., tak sampai hati saya menerima wang daripadanya, mungkin dia orang susah lalu saya beri kepadanya percuma sahaja.

Kepada yang mampu membayar, janganlah pula berlakon seperti orang susah, tunjuk muka kasihan, terketar-ketar mengeluarkan wang untuk mengharapkan saya memberi secara percuma. Mampu buatlah cara mampu ya !.

Ada juga yang bertanya saya...,

"Ustaz boleh tak saya bayar tiga kali ansuran ?".

Susah saya menjawabnya. Fikirlah sendiri, tak kan harga RM 15.00 pun nak dibayar secara ansuran selama tiga bulan.

Kepada yang berhutang...

Harap-harap anda sudi membaca tazkirah ringkas ini daripada saya. Dalam sepotong hadis yang dikeluarkan oleh Imam At-Tirmizi,

أن النبى صلى الله عليه وسلم أتى برجل ليصلى عليه, فقال النبى صلى الله عليه وسلم صلوا على صاحبكم فان عليه دينا قال أبو قتادة هو على فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم بالوفاء ,
قال بالوفاء . فصلى عليه .

Maksudnya : Bahawasanya Nabi saw pada satu hari telah didatangkan satu jenazah untuk disembahyangkan, maka Nabi saw bersabda kepada para sahabat, sembahyangkanlah jenazah ini, aku tidak mahu menyembahyangkannya kerana dia ada meninggalkan hutang. Maka berkata Abu Qutadah, hutang si mati biarlah aku yang tanggung (jamin), Nabi saw bertanya, betul engkau jamin ? Jawab Abu Qutadah ya aku jamin. Selepas itu barulah Nabi saw menyembahyangkan jenazah si mati. (Riwayat At-Tirmizi)

Hutang adalah beban akhirat...

Islam memandang hutang itu bukan sahaja menjadi beban di dunia, malah hingga ke akhirat. Oleh itu apabila seseorang itu meninggal dunia, maka hutangnya hendaklah dibayar terlebih dahulu sebelum hartanya dibahagikan kepada waris. Firman Allah SWT,

من بعد وصية يوصين بها أودين

Maksudnya : Sudah dipenuhi wasiat yang dibuatnya atau sesudah membayar hutang. ( Surah An-Nisa’ :12)

Orang yang berhutang hendaklah bersifat jujur di dalam menunaikan amanahnya, jangan cuba melengahkan pembayaran hutang dengan pelbagai alasan. Adalah merupakan satu dosa bagi orang yang mampu membayar hutang, tetapi dengan sengaja tidak membayarnya.

Roh orang yang berhutang tergantung...

Disebut dalam sebuah hadis menceritakan bahawa roh orang yang berhutang jika dia mampu untuk membayar tetapi sengaja tidak mahu membayarnya atau sengaja melewat-lewatkannya akan tergantung antara langit dan bumi sekiranya tidak dimaafkan oleh pemiutang. Sabda Nabi saw,

نفس مؤمن معلقة بدينه حتى يقضى عنه

Maksudnya : Roh seseorang mukmin tergantung (terseksa) disebabkan hutangnya sehinggalah hutangnya itu tertunai. (Riwayat Ahmad)

Selamat membayar...

Wallahualam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.