Panduan menamakan anak....


Anak gadisku Fatin Syahirah ... lahir 26.1.1998

Orang yang paling berhak untuk memberi nama kepada anak ialah bapa. Ini kerana al-Quran telah menetapkan bahawa anak itu menurut keturunan ayah bukan keturunan ibu. Dalinya dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 5,

“Panggilah mereka dengan nama kepada bapa-bapa mereka, itulah yang lebih adil di sisi Allah ..”

Namun begitu boleh dan elok berpakat antara ibu dan bapa untuk memberi nama yang baik untuk anak. Boleh juga meminta orang lain yang soleh untuk memberikan nama anak sebagaimana yang diamalkan oleh sesetengah para sahabat yang meminta Nabi SAW untuk meletakkan nama anak-anak mereka.

Bilakah masa yang sesuai memberi nama kepada anak ?

Menurut Imam an-Nawawi rhm, menamakan anak adalah sunat dilakukan pada hari ketujuh selepas kelahirannya. Hal ini tsabit dengan hadis Rasulullah saw,

كُلُّ غُلاَمٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ، وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى

Maksudnya : “Setiap anak yang dilahirkan itu tergadai sehingga di sembelihkan akikah untuknya pada hari ketujuh (sejak dilahirkan) dan pada hari itu juga dicukur rambut kepalanya dan diberi nama ”( HR Abu Dawud, Tirmizi. Ahmad dan Ibnu Majah)

Sementara harus menamakan anak sebelum dan selepas hari ketujuh daripada hari kelahirannya. Manakala Imam al-Bukhari pula berpendapat memberi nama ke atas anak pada hari kelahiran sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis-hadis shahih adalah bagi ibu bapa yang tidak merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka. Sementara bagi ibu bapa yang merancang untuk mengaqiqahkan anak mereka, sunat memberinya nama pada hari ketujuh.

Bolehkah menamakan anak dengan nama-nama Malaikat ?


Anak kedua... Ahmad Afif Amiruddin lahir 19.11.2000

Semasa menamakan anak, pastikan ia membawa maksud yang baik kerana nama yang baik adalah doa kepada Allah agar memberi kebaikan kepada anak tersebut. Antara nama yang disukai Allah ialah Abdullah dan Abdur Rahman. Sabda Rasulullah saw,

إن أحب أسمائكم إلى الله عزوجل عبد الله وعبد الرحمن

Maksudnya : Sesungguhnya nama yang paling disukai Allah ialah Abdullah dan Abdur Rahman. (HR Muslim)

Berdasarkan hadis ini, termasuklah nama-nama yang membawa kepada sifat ‘ubudiyyah’ (penghambaan) kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, seperti ‘Abdurrahim " عبد الرحيم ", ‘Abdul Khaliq " عبد الخالق " dan ‘Abdurrazzaq ""عبد الرزاق dan sebagainya. Sabda Rasulullah saw,

عَنْ عَبْدِ الْمَلِكِ بن أَبِي زُهَيْرٍ، عَنْ أَبِيهِ، قَالَ: قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: "إِذَا سَمَّيْتُمْ فَعَبِّدُوا

Maksudnya: Daripada Abd Malik bin Abi Zuhair daripada bapanya berkata: Sabda Nabi s: Jika kamu menamakan anak, maka letakkan nama yang membawa maksud perhambaan (‘Abd).


Anak ketiga... Ahmad Afif Arifuddin lahir 6.12.2004

Menurut Imam an-Nawawi rhm bahawa mazhab asy- Syafi‘e dan jumhur ulama berpendapat adalah harus menamakan anak dengan nama-nama para Nabi. Dalilnya Nabi saw pernah menamakan anak lelakinya Ibrahim sempena mengambil nama Nabi Ibrahim a.s. Selain itu baginda juga ada menamakan seorang sahabat dengan nama Yusuf kerana mengambil nama Nabi Yusuf a.s.

Antara nama yang elok ialah Muhammad atau Ahmad sebagaimana hadis Rasulullah saw,

“Namakan (anak) kamu dengan namaku dan janganlah kamu menggelarnya dengan gelaranku (Abu al-Qasim)”(HR Bukhari)

Imam an-Nawawi Rahimahullah juga menyatakan bahawa mazhab asy-Syafi‘e dan jumhur ulama berpendapat tidak salah (harus) menamakan anak dengan nama para malaikat, seperti Redhwan " رضوان " Malik مالك dan lain-lain. Boleh juga menamakan anak dengan nama-nama tokoh Islam seperti Abu Bakr " ابو بكر ", ‘Umar " عمر ", Hamzah " حمزة ", Fatimah " ,"فاطمة Khadijah " خديجة " .

Selain itu boleh manamakan anak dengan apa-apa sahaja yang membawa kebaikan seperti Muhibbuddin " محب الدين " (pencinta/penyayang agama), Zainul ‘Abidin " زين العابدين " (perhiasan orang-orang yang beribadat) dan Hishamuddin هشام الدين yang bererti kemurahan agama.

Bolehkah menamakan anak dengan nama binatang seperti Jamal ?

Sabda Rasulullah saw,

لا تسمين غلامك يسارا ولا رباحا ولا نجاحا ولا أفلح فإنك تقول أثم هو فلا يكون , فتقول : لا إنما هن أربع فلا تزيدن علي

Maksudnya : Janganlah kalian namakan anak dengan Yasar (mudah), jangan pula Rabah (Untung), jangan pula Najah ( Berjaya) dan jangan pula Aflah ( Bahagia) kerana saatu ketika nanti kamu akan berkata : Apakah dia ada di sana ? Kebetulan dia tidak ada, maka kamu kata tidak (tidak ada kemudahan, tidak ada keuntungan, tidak ada kejayaan dan tidak ada kebahagiaan. Itulah empat perkataan, kalian tidak menambahnya lagi. (HR Muslim)

Adalah haram menamakan anak dengan nama “Malikul-Amlak” yang bermaksud; ‘Raja bagi segala raja’. Sabda Rasulullah s.a.w.;

إنَّ أخْنَعَ اسْمٍ عِنْدَ اللَّهِ تَعالى رَجُلٌ تَسَمَّى مَلِكَ الأمْلاكِ

Maksudnya : “Sesungguhnya sehina-hina/seburuk-buruk nama di sisi Allah ialah seorang lelaki yang bernama Malikul-Amlak”. (Riwayat Imam Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)

Hendaklah dijauhi menamakan anak dengan nama-nama yang menunjukkan pengabdian kepada selain kepada Allah seperti Abdul-Kaabah (Hamba Kaabah), Abdun-Nabi (Hamba Nabi), Abdul-‘Uzza (Hamba Tuhan ‘Uzza) dan sebagainya. Menurut Syeikh Abdullah Nasih ‘Ulwan; hukum memberi nama dengan nama-nama seperti ini adalah haram dengan sepakat para ulama’.

Haram meletakkan nama yang membawa erti keji seperti Asyar (paling jahat), Bahimah (binatang), Balidah (bodoh), Ghafilah (Lalai), Hasidah (Yang Hasad), Jariah (Hamba perempuan), La’imah (Yang tercela), Razilah (Yang keji), Sakirah (Pemabuk), Wati (Bersetubuh) dan Zaniah (Penzina).

Begitu juga, hendaklah dijauhi dari memberi nama dengan nama-nama yang menggambarkan hilangnya jati-diri (sebagai seorang muslim), meniru-niru (nama orang bukan Islam), nama-nama yang memberi maksud binatang seperti nama Jamal yang ertinya unta dan nama-nama yang menzahirkan cinta-berahi seperti nama Huyam (gila berahi), Susan dan sebagainya.

Bolehkah memberi nama kepada anak yang meninggal kerana keguguran ?

Sunat meletakkan nama kepada bayi yang meninggal dunia yang belum sempat di beri nama. Begitu juga anak yang keguguran sama ada kegugurannya kerana tidak cukup umur, meninggal dunia dalam perut ibu atau sebagainya.

Rasulullah saw bersabda mengenai anak yang mati keguguran,

“ Demi Zat yang jiwaku berada di tanganNya, sesungguhnya bayi yang keguguran akan membawa ibunya dengan tali pusatnya ke Syurga jika ia mengharapkan pahala ”(HR Ahmad, Ibnu Majah dan ad-Darimi)


Anak keempat... Ahmad Azeemuddin lahir 7.4.2007

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda,

“ Pada hari Qiamat, anak-anak kecil muslim akan dipanggil, bangkitlah kalian dari kubur. Mereka pun bangkit dari kubur. Kemudian mereka diseru, masuklah kamu ke dalam syurga secara berkumpulan. Mereka berkata, Wahai Tuhan kami, juga kedua orang tua kami. Kemudian mereka diseru kali kedua, masuklah kamu ke dalam syurga secara berkumpulan. Mereka berkata, Wahai Tuhan kami, juga kedua orang tua kami. Rasulullah sawkemudian melanjutkan lagi sabdanya, Allah Azza wajalla tersenyum pada kali keempat dan berfirman, Dan juga kedua orang tua kamu bersama. Masing-masing anak tadi melompat kepada orang tuanyadan meraih tangan mereka masuk ke syurga. Mereka lebih mengenali ayah dan ibu mereka pada hari itu melebihi anak-anak kalian yang ada di rumah .” (HR Ibnu Syahin dan al-Hafidz bin Asakir)

Hukum anak yang mati keguguran : Jika anak yang mati keguguran itu sudah cukup bulan, iaitu 6 bulan qamariyyah yang merupakan sekurang-kurang tempoh kehamilan, maka yang muktamad dalam mazhab asy-Syafi'i, wajib dilakukan ke atasnya apa yang wajib ke atas mayyit dewasa, iaitu dimandikan, dikafan, disembahyang dan wajib dikebumikan. Tanpa mengira sama ada anak itu hidup tatkala dia keluar kemudian mati, tanpa mengira sama ada dia sudah berbentuk manusia atau belum. Inilah qawl yang muktamad dalam mazhab as-Syafie dan dipegang oleh Imam ar-Ramli dan Imam al-Khathib.

Anak kelima ? Insya Allah dijangka lahir pada Jun 2010...

Manakala Imam Ibnu Hajar pula mengikut fatwa guru beliau, Syaikhul Islam Zakaria al-Anshari, berpendapat bahawa jika anak yang keguguran itu keluar dalam keadaan tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda hidup, yakni keluar sudah mati, maka haram disembahyangkan, hanya wajib dimandikan, dikafan dan ditanam sahaja. Pendapat inilah yang disokong oleh Imam al-Qalyubi.

Bolehkah ditukar nama yang jelek ?

Adalah sunat hukumnya mengubah nama yang buruk kepada nama yang baik kerana Nabi s.a.w. pernah melakukannya kepada para sahabat. Ibnu Umar r.a. menceritakan;

أَنَّ رَسُولَ اللهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- غَيَّرَ اسْمَ عَاصِيَةَ. وَقَالَ: "أَنْتِ جَمِيلَةُ".

Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah menukar nama (seorang perempuan yang bernama) ‘Ashiyah (yang bermaksud; perempuan yang engkar) di mana baginda berkata kepada (perempuan itu); ‘Kamu adalah Jamilah (bermaksud; yang indah)’”. (HR Muslim)

Nota ini dikuliahkan di Surau al-Amin pada 25.12.2009 dan Surau Kolej Heght pada 8.1.2010

Rujukan,
Al-Azkar , Imam An-Nawawi
Suami Teladan , Mohd Isa Selamat
Mengembangkan Keperibadian Anak, Dr Abdullah Nasih Ulwan
http://bahrusshofa.blogspot.com/2008/06/hukum-anak-yang-keguguran.html

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu