Tokoh Ulama Negeri Sembilan : Allahyarham Dato’ Haji Abu Hassan bin Haji Sail


Allahyarham bersama isteri tercinta Datin Hajah Faridah bt Sheikh Haji Ahmad

Negeri Sembilan, negeri yang terkenal dengan adat pepatih. Negeri ini juga tidak ketinggalan melahirkan ulama yang banyak jasa dan pengaruhnya khusus dalam perkembangan dakwah, pengurusan dan pentadbiran hal ehwal Islam dan juga pendidikan serta penghayatan agama kepada masyarakat Islam seluruhnya.

Ulama yang dimaksudkan itu ialah Allahyarham Dato’ Haji Abu Hassan bin Haji Sail (1922-1994) yang pernah menjadi Mufti Kerajaan Negeri Sembilan yang kedua mulai tahun 1969-1992.

Sebagai mengenang kembali jasa, sumbangan dan peranan yang telah dicurahkan oleh Allahyarham Dato’ Haji Abu Hassan bin Haji Sail, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan telah mengambil inisiatif menerbitkan sebuah buku biografi ringkas Allahyarham Dato’ Haji Abu Hassan bin Haji Sail agar sumbangan dan peranan atau kisah hidup beliau dapat dijadikan panduan, iktibar, pengajaran untuk generasi masa kini atau akan datang, sekali gus diambil manfaat untuk menjadi insan soleh yang berguna kepada agama , bangsa dan negara.

Pemikiran politik Allahyarham Dato’ Haji Abu Hassan bin Haji Sail

Menurut isterinya Datin Hajah Faridah bt Sheikh Haji Ahmad,

"Satu hari, Allahyarham Dato’ Haji Abu Hassan bin Haji Sail pernah didatangi oleh penyokong-penyokong Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan ditawarkan jawatan penting dalam parti tersebut. Beliau juga ditawarkan bertanding dalam pilihanraya untuk menentang calon parti Perikatan. Namun beliau menolaknya secara berhemah. Alasannya tidak mahu terikat dengan mana-mana parti politik. Lagi pun dengan cara ini beliau boleh menegur mana-mana pihak sama ada kerajaan dan parti pembangkang tanpa berdasarkan politik kepartian ".

Biarpun begitu, beliau tidak pernah mengenepikan politik dalam kehidupannya. Menurut Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan bin Haji Sail, jika calon itu taat kepada perintah Allah dan bertaqwa maka segala amanah yang diberikan oleh rakyat akan dilaksanakan dengan baik. Beliau juga sering berdoa agar Allah SWT mencurahkan rahmat dan kebaikan ke atas bumi Malaysia. Moga-moga Islam sentiasa berdaulat di negara yang tercinta ini.

Penghormatan terhadap guru

Menurut abang sulungnya Tuan Haji Abdullah bin Haji Sail,

Walaupun ramai ulama yang mencurahkan ilmu pengetahuan kepada beliau, namun pengaruh Almarhum Sheikh Haji Ahmad ke atas peribadinya mengatasi mereka yang lain. Hubungan akrab antara beliau dengan Almarhum Sheikh Haji Ahmad bukanlah semata-mata kerana gurunya itu adalah bapa mertuanya , tetapi hubungan rapat itu ada kaitan dengan amalan kerohanian yang begitu mendalam pengertiannya. Semasa di Madrasah As-Sa’idiyyah Allahyarham Dato’ Haji Abu Hassan telah menerima ijazah Tarekat Al-Ahmadiah dan berbaiah kepada gurunya Almarhum Sheikh Haji Ahmad yang juga khalifah tarikat ini di rantau Asia Tenggara. Sebab itulah beliau sangat menghormati Almarhum Sheikh Haji Ahmad ....”



Almarhum Sheikh Haji Ahmad bin Sheikh Haji Mohd Said (1910-1964)Mufti Negeri Sembilan yang pertama. Beliau merupakan guru yang banyak mendidik dan mentarbiah Allahyarham Dato' Haji Abu Hassan bin Sail.

Petikan dari buku ‘Sebutir Permata Segunung Jasa Allahyarham Dato’ Haji Abu Hassan bin Haji Sail ’

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu