Bolehkah makhluk halus disumbat dalam botol ?

Terdapat dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan si pulan itu telah berjaya menangkap jin atau toyol lalu dimasukkan ke dalam botol dan dibuang ke dalam laut.

Dan tidak ketinggalan juga ada hantu yang dipamerkan untuk tatapan orang ramai. Bagaimana pandangan Islam mengenai hal ini ?

Jawapan

Masyarakat Melayu adalah masyarakat yang sedikit sebanyak budayanya dicambahi oleh pelbagai kepercayaan tahyul dan khurafat. Disebarkanlah dakwaan itu dan ini yang kadang-kadang ia bercanggah dengan hukum syarak.

Makhluk halus seperti jin, ifrit, syaitan, iblis atau toyol (menurut istilah orang Melayu) dibuat daripada api (bukan fizikal). Kederasannya adalah sama seperti kederasan cahaya. Oleh itu, bagaimana mungkin sesuatu yang bentuknya bukan fizikal hendak dimasukkan dalam sesuatu yang berbentuk fizikal.

Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok. Sebagai contoh, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat gambar tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak. Malah batu batan yang sebesar Piramid juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-tray.

Kalau cahaya api boleh melepasi tembok pejal seperti yang disebutkan tadi apatah lagi bahan seperti botol yang dibuat daripada kaca. Justeru dakwaan yang mengatakan jin atau toyol boleh di sumbat di dalam botol dan di buang ke laut tidak ada asasnya menurut syarak. Kerana makhluk halus ini sebenarnya boleh masuk dan boleh keluar daripada botol pada bila-bila masa.

Di zaman Rasulullah....

Di zaman Rasulullah saw, ketika baginda mengimamkan solat di Masjidil Haram, tiba-tiba dalam solat itu kelihatan oleh para sahabat, Rasulullah saw seolah-olah sedang mengelak daripada sesuatu, dan memegang serta menangkap sesuatu yang mereka tidak nampak. Selepas selesai solat, para sahabat bertanya Rasulullah saw mengenai gerak gerinya ketika solat.

Rasulullah saw menjelaskan kepada mereka, bahawa Ifrit telah datang kepadaku dengan obor api untuk menganggu solatku, aku mengelak daripada nyalaan obor itu dari muka ku dan aku telah menangkapnya dengan tangan. Dan ketika itu aku berazam mengikat Ifrit ini pada salah satu tiang di Masjidil Haram, biar selepas itu dilihat dan dimain-mainkan oleh anak-anak kita. Tiba-tiba aku teringat doa Nabi Sulaiman, yang meminta kepada Allah SWT bahawa kekuatan yang ada padanya boleh menawan, menangkap dan mengurung makhluk halus ini tidak diberi lagi kepada mana-mana orang, maka aku lepaskan Ifrit itu setelah aku terasa lidahnya mula mengenai lenganku.

Daripada kisah di atas dapat kita fahami bahawa Nabi Muhammad saw yang semulia-mulia makhluk di atas muka bumi ini tidak pernah menambat Jin atau Iblis apatah lagi menyumbatnya di dalam botol untuk di buang kemana-mana. Juga amalan seperti ini tidak pernah berlaku kepada sahabat mahu pun tabien.

Untuk mengelakkan diri daripada diganggu oleh makhluk halus ini, hendaklah berdoa memohon kepada Allah agar dijauhkan daripada makhluk ini. Juga terdapat beberapa ayat di dalam Al-Quran yang disuruh oleh Rasulullah saw untuk kita amalkan antaranya surah Al-Baqarah, ayatul Kursi dan sebagainya. Dengan mengamalkan ayat-ayat ini, dengan izin Allah maka makhluk halus ini akan menjauhi manusia atau mengeluarkan diri daripada badan manusia.


Rujukkan,
Prof. Dato’ Dr. Haron Din, www.darussyifa.org

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu