Sunday, January 3, 2010

Membongkar kesesatan fahaman Islam Liberal (Siri 2)



Islam Liberal Mendakwa Semua Agama Adalah Sama

Antara kesesatan terbesar fahaman Islam Liberal ialah mengketengahkan idea pluralisme agama, dengan maksud semua agama di dunia adalah sama. Sebab itu tidak hairan jika melayari laman web Jaringan Islam Liberal Indonesia di alamat http://islamlib.com/, terpampang kata-kata “Dengan nama Allah, Tuhan Pengasih, Tuhan Penyayang, Tuhan Segala Agama”.

Syurga bagi mereka bukan hak ekslusif orang-orang Islam sahaja. Bagi mereka siapa sahaja yang jujur dan ikhlas beragama, tidak kiralah mereka itu beragama Islam, Yahudi, Nasrani atau Shabe’in , tetap berpeluang untuk masuk ke syurga. Antara nas al-Quran yang mereka gunakan ialah surah al-Baqarah ayat 62,

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yahudi, dan orang orang Nasrani, dan orang-orang Shabe’in, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan beriman kepada kepada Hari akhirat serta beramal salih, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita”.

Nas lain ialah surah al-Maidah ayat 69,

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan orang-orang yahudi, dan orang orang Nasrani, dan orang-orang Shabe’in, sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan beriman kepada kepada Hari akhirat serta beramal salih, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka dan mereka pula tidak akan berduka cita.”

Ulil Absar Abdilla, pendokong Jaringan Islam Liberal di Indonesia

Menurut mereka, dua ayat ini jelas meletakkan penganut agama Yahudi, Kristian dan Shabe’in sebaris dengan orang-orang yang beriman. Mereka dikatakan beriman kepada Allah, beriman kepada Hari Akhirat serta beramal solih mengikut cara agama mereka. Dalam konteks hari ini penganut agama Hindu dan Buddha juga termasuk sebagai orang yang beriman kerana mereka menyembah patung sama seperti golongan Shabein yang disebut oleh al-Quran.

Di hujung ayat ini mereka mentafsirkan bahawa semua penganut agama-agama tadi jangnlah bimbang dan berdukacita kerana mereka tetap di beri peluang untuk memasuki syurga oleh Allah SWT.

Jawapan :

Bagi menjawab hujah ini, hendaklah kita memahami bahawa surah al-Baqarah ayat 62 dan surah al-Maidah ayat 69 dimulai dengan menyebut orang-orang yang beriman iaitu umat Islam dari dahulu sehingga sekarang. Syarat untuk ke syurga mereka perlu beriman sepenuhnya kepada Allah, kepada hari Akhirat dan juga melakukan amal soleh. Firman Allah SWT,

“ Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai.” (Al-Baqarah ayat 25)

Berdasarkan ayat di atas dan banyak lagi ayat-ayat Al-Quran menunjukkan keimanan seseorang itu perlu dibuktikan dengan melakukan amal soleh.

Prof. Dr Harun Nasution, seorang lagi pendokong ajaran sesat Islam Liberal

Kemudian disebut golongan kedua, iaitu kaum Yahudi yang merujuk kepada kaum Yahudi di zaman nabi Musa a.s. Di kalangan mereka ada yang beriman kepada Allah SWT dan Hari Akhirat serta melakukan amal soleh. Golongan ketiga ialah kaum Nasara, yakni umat Nabi Isa a.s . Sama seperti golonagn Yahudi di zaman Nabi Musa a.s, ada di kalangan mereka yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta melakukan amal soleh.

Golongan keempat ialah kaum Shabe’in iaitu satu kaum yang pada awalnya menyembah patung berhala. Apabila sampai seruan Nabi Isa a.s kumpulan ini terbahagi kepada dua. Kumpulan pertama membenarkan ajaran Nabi Isa a.s beriman kepada Allah, dan Hari Akhirat serta melakukan amalsoleh. Manakala kumpulan kedua masih kekal dengan agama menyembah patung berhala.

Inilah kumpulan-kumpulan yang dimaksudkan oleh Allah SWT, mereka diberi pahala atas amal soleh yang mereka lakukan di dunia dan di akhirat mereka tidak akan berduka cita mahu pun bersedih berbanding dengan kumpulan yang tidak mahu beriman kepada Allah, kepada hari Akhirat dan enggan melakukan amal soleh.

Ada pun setelah diutusnya Nabi Muhammad saw, maka tiada jalan lain bagi kumpulan ini (Yahudi, Kristian dan Shabe’in) untuk selamat melainkan mesti mengakui Nabi Muhammad saw sebagai utusan Allah SWT seperti mana yang dilakukan oleh pendita-pendita Yahudi dan Nasrani di zaman Rasulullah yang antaranya ialah Warqah bin Naufal, Abdullah bin Salam dan juga Buhaira. Firman Allah SWT dalam surah ar-Ra’d ayat 43,

“Dan orang-orang kafir itu berkata : Engkau (Muhammad) bukanlah seorang Rasul yang diutus oleh Allah : Katakanlah (kepada mereka), cukuplah Allah menjadi saksi antaraku dan kamu dan juga disaksikan oleh orang-orang yang ada ilmu pengetahuan mengenai kitab Allah.”

Hujah seterusnya, jika benarlah agama Yahudi itu betul, tidak perlulah Nabi saw bersusah payah mengajak mereka memeluk Islam. Begitu juga dengan penganut Kristian, tidak perlulah Nabi saw mengajak penganut-penganut agama Kristian yang datang dari bumi Najran untuk bermubahalah.

Kisah mubahalah bermula apabila orang-orang Kristian Najran meragui penerangan Nabi saw yang mengatakan bahawa Nabi Isa a.s itu adalah manusia biasa. Sebaliknya mereka berpendapat, Nabi Isa adalah anak Allah yang bersatu di dalam diri Allah. Bagi menjawab persoalan yang ditimbulkan, Rasulullah saw membaca sepotong ayat al-Quran,

"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya ; "Jadilah engkau!", maka jadilah ia (seorang manusia)".(Surah Ali 'Imran : ayat 59)

Orang-orang Kristian tetap berdegil dan menolak hujah Nabi saw. Maka turunlah ayat yang menyuruh Nabi saw bermubahalah dengan mereka,

“Maka sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya (kisah Nabi Isa) sesudah engkau beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru (memanggil) anak-anak kami serta anak-anak kamu dan wanita-wanita kami serta wanita-wanita kamu dan diri-diri kami serta diri-diri kamu kemudian kita bermubahalah (memohon kepada Allah dengan bersungguh-sungguh) dan kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan ke atas orang-orang yang berdusta".(Surah Ali 'Imran : ayat 61)

Wallahualam

Rujukan,

Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Terpesong, oleh Dr. Mohd Asri Zainal Abidin
Himpunan Risalah Dalam Beberapa Persoalan Ummah oleh Hafiz Firdaus Abdullah
http://zainal4.multiply.com/journal/item/20/bahaya_firqah_liberal

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.