Friday, January 1, 2010

Membongkar kesesatan fahaman Islam Liberal (Siri 1)

Mustafa Kamal At-Tartuk jenayahnya terhadap Islam cukup besar.Antaranya menguatkuasakan larangan memakai tudung di kalangan kaum wanita. Sekiranya dipakai ia dianggap jenayah dan hukuman berat akan dikenakan.

Mukaddimah

Di Malaysia satu ketika dahulu nama-nama seperti Zainah Anwar, Farish Noor, Astora Jabat dan sekali sekala Kasim Ahmad muncul dengan artikel-artikel yang begitu memikat keyakinan pembaca.

Ayat-ayat seperti, “…. Sebenarnya dalam al-Quran tidak ada nas yang jelas tentang masaalah ini…..”, “….Hukum ini adalah ciptaan manusia bukan ciptaan Allah …” , “…Hadis-hadis yang membincangkan masaalah ini nampaknya bercanggah antara satu sama lain…” dan pelbagai lagi gula-gula bahasa di mainkan dalam artikel untuk memujuk hati pembaca supaya menyetujui pandangan mereka.

Inilah fahaman Dajjal..., bagi mereka yang lemah kefahaman terhadap al-Quran dan Hadis dengan mudah tergelincir masuk ke alam kesesatan mereka.

Mempertuhankan akal !

Umum mengetahui bahawa manhaj Islam Liberal menyanjung tinggi penggunaan akal dalam mentafsir agama. Justeru, menurut mereka kepercayaan seperti adanya azab kubur, kisah Mi’raj, alam Mahsyar, penurunan Dajjal dan kedatangan Nabi Isa a.s menjelang hari Qiamat hendaklah ditolak kerana ia bertentangan dengan logik akal.

Arikel-artikel seperti ini sudah pun diterbitkan dalam sebuah majalah yang tersohor dengan nama Al-Islam (ketika itu dipimpin oleh Astora Jabat) yang kononnya ingin membawa pemikiran umat supaya lebih matang dan maju kehadapan.

Ada penyokong ?

Hairan bin ajaib, ada juga pembaca-pembaca yang termakan umpan mereka, lalu melontarkan kata-kata pujian secara ‘online’, seperti syabas ! teruskan lagi tulisan anda !, kebenaran akan terungkai!, saya kagum dengan hujah anda yang bernas!, jangan takut menyatakan kebenaran !, anda pembawa perubahan ! dan pelbagai lagi kata-kata rangsangan yang menyuntik semangat penulis-penulis Islam Liberal untuk berkarya menyesatkan pemikiran umat.

Artikel-artikel sensasi seperti rambut wanita bukan aurat, tidak ada nas yang soheh melarang wanita menjadi Imam solat Jumaat, makan katak hukumnya harus dan yang paling biadab pernah seorang penulis menyatakan Nabi Muhammad saw pernah mengadakan hubungan sulit dengan seorang hamba !

Sungguh aneh !

Aneh seribu aneh.., fahaman Islam Liberal begitu menjadi-jadi di era Islam Hadhari (sekarang sudah pun berkubur). Buktinya terdapat NGO wanita tertentu yang dinaungi isteri pembesar negara menjalankan kempen secara halus menentang poligami , mengkriktik penangkapan Jeslina Hashim oleh pegawai-pegawai JAWI, pemberian jarum dan kondom secara percuma kepada penagih dadah tanpa merujuk pandangan ulama, sokongan terbuka kepada penubuhan IFC, dan pembelaan terhadap golongan yang murtad. Malah lebih terkehadapan ada seorang menteri melayu Islam pernah mengungkapkan kata-kata yang disiarkan oleh akhbar perdana,

“Tidak ada satu agama yang boleh mendakwa bahawa ajarannya sahaja yang benar… ”.

Apa tindakan kita ?

Melayu mudah lupa ! Artikel ini sebenarnya mengajak para pembaca mengingati kenangan lampau bagaimana jeleknya jenayah-jenayah agama yang dilakukan oleh golongan Islam Liberal di Malaysia. Justeru para ulama, ustaz-ustaz dan Protaz (Profesional + Ustaz) perlu tampil ke hadapan menyedarkan umat tentang betapa bahayanya fahaman ini.

Surau-surau dan masjid perlu dihiasi dengan majlis-majlis ilmu yang tersusun. Subjek-subjek seperti Akidah ,Tafsir serta Hadis perlu dijadikan 'subjek teras' untuk diperdengarkan di rumah-rumah Allah. Manakala topik-topik seperti 'Cara Mandi wajib dan Hadas' tidak perlu lagi dikuliahkan berkali-kali di depan jemaah.

Hentikan tajuk-tajuk khutbah Jumaat yang meloyakan seperti 'Jimatkan Air', 'Mengingati Hari Pahlawan' atau 'Makanlah Buah-Buahan Tempatan' sebaliknya khutbah perlu bersifat ‘garang’ dengan tajuk yang 'segar' bukannya 'lembek' apatah lagi disampaikan oleh imam tua yang 'slow motion'.

Saranan kepada kerajaan

Jangan bersikap 'Double Standard'. Jika Ayah Pin diburu sehingga ke lubang cacing dan Kahar Ahmad dipenjara kerana mengaku sebagai Nabi, maka kita juga mahu penulis-penulis Islam Liberal serta mereka yang sealiran dengannya seperti Kasim Ahmad turut di heret dan didakwa di Mahkamah syariah atas kesalahan membawa ajaran sesat.

Satu perkara lagi, undang-undang mencegah murtad hendaklah dikuatkuasakan seberapa segera bagi mengawal akidah umat Islam di Malaysia.

Sekian untuk kali ini sebagai mukaddimah. Tunggu artikel seterusnya Membongkar kesesatan fahaman Islam Liberal (Siri 2)

Salam ingatan daripada saya.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.