Kalimah Allah oleh Kristian…, ulasan saya.

Ya, dalam al-Quran tidak ada dalil yang melarang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah. Sebaliknya perkataan Allah sudah pun digunakan oleh orang-orang kafir sejak zaman Nabi Muhammad saw lagi. Buktinya firman Allah SWT,

“Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).

Dalam konteks Malaysia

Namun begitu, dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang lemah dari sudut politik kerana tidak menjadikan Islam sebagai dasar pemerintahan, ulama yang bercakaran sesama sendiri, kes penceraian rumah tangga yang menjadi-jadi, anak-anak luar nikah yang semakin bertambah, masjid dan surau yang sunyi dari kuliah dan jemaah, masalah dadah, AIDS, minum arak serta mat-mat rempit yang tidak pernah berkesudahan maka dibimbangi kebenaran menggunakan kalimah Allah oleh penganut Kristian bakal mengundang permasalahan yang lebih besar.

Permasalahan apa ?

Permasalahan yang dimaksudkan ialah kerosakan akidah di kalangan masyarakat Melayu atau mudah disebut sebagai gejala MURTAD. Apabila membenarkan kalimah Allah di gunakan oleh penganut Kristian, ini satu peluang bagi mereka untuk menyakinkan orang-orang Islam yang miskin akidah bahawa agama mereka juga adalah sama seperti Islam iaitu menyembah Allah.

Cuma bezanya menurut mereka, agama Islam yang dianuti oleh orang-orang Melayu hari ini sangat berat untuk dilaksanakan. Benar atau tidak dakwaan mereka, cuba kita tanya mat-mat rempit, penagih dadah, kaki arak, penzina dan pelacur jalanan, mahukah mereka menunaikan solat fardhu 5 waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, membayar zakat, menunaikan fardhu Haji dan lain-lain lagi ? Sudah tentu amalan-amalan ini cukup berat untuk mereka lakukan kerana hati sudah berkarat dengan dosa dan maksiat.

Sedangkan menurut mereka, agama Kristian yang menyembah Allah sama sekali tidak membebankan penganut-penganutnya melakukan semua amalan ritual tersebut. Dari sudut psikologinya, manusia akan mengambil sesuatu yang lebih mudah dari yang susah.

Justeru pilihan bagi orang Melayu yang miskin akidah ialah jika ada yang lebih mudah mengapa tidak diambil yang mudah itu ? Daripada menganut agama Islam yang berat lebih baik menganut agama Kristian yang mudah. Bukankah dua agama ini sama iaitu menyembah ALLAH !. Inilah kesesatan yang bakal muncul.

Kaedah Meragukan Iman...

Selain itu missionary Kristian di negara ini akan menggunakan kaedah meragu-ragukan keimanan golongan sasaran dakwah mereka. Mereka akan menggambarkan bahawa Allah bagi orang-orang Islam itu begitu zalim dan kejam sifatnya.

Buktinya orang Islam yang menunaikan solat fardhu 5 waktu sehari semalam, berpuasa di bulan Ramadhan, menunaikan fardhu Haji dan pelbagai lagi amalan soleh yang dilakukan belum tentu boleh masuk ke syurga sedangkan Allah bagi orang-orang Kristian bersifat penyayang. Dengan kata lain, Dia akan membenarkan sesiapa sahaja penganutnya untuk masuk ke syurga dengan syarat hendaklah percaya bahawa Jesus is son of Allah !

Kesimpulannya, dalam konteks Malaysia hari ini saya tidak bersetuju dengan keputusan membenarkan orang-orang Kristian menggunakan kalimah yang suci ini. Percayalah, hari ini jika kita mengizinkan mereka menggunakan kalimah Allah maka tidak mustahil satu hari nanti mereka akan meminta pula perkataan-perkataan lain seperti Masjid, Solat dan Al-Quran digunakan dalam agama mereka.

Jika ini berlaku, jangan terperanjat dimasa akan datang kita melihat ada gereja yang bernama ‘Masjid Jamek Katolik Augustine Paul’ !

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu