Tulisan lebih tajam dari mata pedang....


Masih ingat dengan pameran hantu yang diadakan di Muzium Negeri Sembilan suatu ketika dahulu ? Pameran ini bermula pada 10 hb Mac dan sepatutnya berakhir pada 31 Mei 2007. Namun pameran ini akhirnya berjaya di‘bungkus’kan sebelum sampai ke tarikh penamatnya.

Sebab ?

Pada 12hb Mac 2007 , saya menghantar surat ke ruangan forum pembaca akhbar Utusan Malaysia membantah pameran yang tidak berfaedah ini. Tak sangka pula,tulisan saya meletup, menggegarkan Negara dan diulas oleh Dr Asri (Mufti Perlis ketika itu), Rais Yatim (Menteri yang jaga Muzium)dan Mohamad Hassan(MB)sehingga dibawa ke mesyuarat kabinet, kemudian dibincangkan dalam majlis fatwa sehinggalah kepada pengharamannya.

Berikut adalah tulisan saya :

Apa Faedah Pameran Hantu, Jin?

BENARKAH makhluk halus, hantu dan jin boleh ditangkap serta dipamerkan kepada orang ramai?. Saya teruja dengan soalan ini apabila Lembaga Muzium Negeri Sembilan menganjurkan Pameran Alam Misteri: Jin Dan Hantu yang sedang diadakan di Seremban sekarang.

Bagi mencari jawapan, saya merujuk tulisan Profesor Datuk Dr. Haron Din, tokoh terkenal dalam ilmu perubatan Islam dalam laman web www.darussyifa.org.Berikut adalah hasil maklumat yang saya peroleh:

Makhluk halus seperti jin, ifrit, syaitan, iblis, toyol (menurut istilah orang Melayu) dan sebagainya dibuat daripada api (bukan fizikal).Kuasa api ialah kuasa cahaya yang boleh melepasi tembok. Sebagai contoh, kita melihat kuasa x-ray yang boleh melintasi badan kita, melihat tulang rusuk, tulang belakang dan melihat apa yang ada dalam otak.

Malah, batu batan yang sebesar piramid juga boleh dilihat apa yang ada di dalamnya dengan menggunakan kuasa cahaya x-ray.

Kalau cahaya api boleh melepasi tembok pejal seperti yang disebut di atas tadi, maka amat mustahil mana-mana hantu dan jin yang dicipta daripada api boleh ditangkap dan dimasukkan dalam alat yang dibuat daripada kaca untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Makhluk halus ini sebenarnya boleh keluar dan boleh masuk daripada kaca bila-bila masa. Justeru dakwaan pihak tertentu yang mengatakan hantu yang dipamerkan adalah hantu yang dalam bentuk asli adalah tidak berasas sama sekali, malah bertentangan dengan syarak.

Kalau disingkap melalui sejarah, memang benar Rasulullah s.a.w pernah menangkap jin ifrit yang mengganggu baginda ketika solat, tetapi Rasulullah s.a.w tidak pernah mempamerkannya kepada khalayak ramai.

Amalan menangkap dan mempamerkan makhluk halus ini juga tidak pernah dilakukan oleh para sahabat dan tabien.Islam, mengakui kewujudan makhluk halus kerana ia sabit keterangannya di dalam al-Quran dan hadis. Islam mengajar kita agar menjauhi makhluk-makhluk halus ini dengan membaca surah-surah tertentu seperti Ayatul Kursi dan sebagainya.

Sebaliknya, Islam tidak pernah menyuruh umatnya untuk menghampiri makhluk ini serta ambil tahu bagaimana keadaan rupa dan paras wajahnya, sebab ia tidak memberi apa-apa manfaat kepada kehidupan manusia.

Malah, ia akan menyebabkan manusia merasa takut, seram sehingga mahu ke bilik air pun perlu berteman. Pelajar-pelajar yang mahu mengulangkaji pelajaran pada larut malam pun akan membatalkan hasratnya.

Justeru, saya mengharapkan agar kerajaan Negeri Sembilan menganjurkan pameran-pameran yang lebih memberi manfaat kepada masyarakat awam. Saya kira pameran buku atau pameran Sains lebih menepati kehendak semasa.

– MOHD. HISHAMUDDIN MANSOR,
Negeri Sembilan.

Ulasan Mufti Perlis ...

KANGAR 13 Mac – Hentikan pameran hantu dan jin kerana ia tidak membantu, sebaliknya hanya mengkhayalkan masyarakat, tegas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin.

Menurut beliau, pameran seumpama itu hanya menunjukkan masyarakat Islam terutama bangsa Melayu lebih mengutamakan perkara-perkara mengkhayalkan sedangkan masih banyak lagi perkara bersifat fakta yang harus menjadi fokus besar.

"Kenapa kita berlebih-lebih dalam perkara ini (pameran hantu dan jin)... ia tidak langsung membantu minda dan tidak membawa apa-apa kemajuan dalam usaha membangunkan Islam.Tumpuan berlebihan ini boleh menyebabkan dunia Islam dianggap hanya tertumpu kepada perkara-perkara mundur sebegini," katanya.

Dr. Mohd. Asri berkata, sepatutnya pihak-pihak berkenaan berusaha menganjurkan program-program atau pameran bersifat fakta yang memberi kesan selari dengan usaha memajukan Islam.

"Benda-benda sebegini (pameran hantu dan jin) tidak patut ada (dibuat). Kita sepatutnya memikirkan perkara-perkara realistik yang bakal kita hadapi, bukannya terus berkhayal seperti ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.Dr. Mohd. Asri mengulas surat pembaca dalam ruangan Forum Utusan Malaysia semalam.

Seorang pembaca, Mohd. Hishamuddin Mansor dari Negeri Sembilan mempersoalkan apakah manfaat yang diperoleh daripada Pameran Alam Misteri: Jin dan Hantu yang sedang diadakan di Seremban sekarang.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Islam memang mengakui kewujudan makhluk halus seperti jin, syaitan, iblis dan sebagainya tetapi masyarakat tidak harus memberi tumpuan besar terhadap perkara itu.

"Dalam al-Quran juga terdapat surah-surah tertentu yang boleh dibaca apabila diganggu oleh makhluk halus ini yang bertujuan menghalau dan menjauhkan mereka".

"Tetapi jika kita terus berkhayal seperti ini, saya bimbang kita akan kembali kepada zaman Melayu lama yang mana semua penyakit akan dikaitkan dengan jin dan syaitan. Apabila sakit kita akan terus berjumpa bomoh dan jika mati pula terus dikaitkan dengan makhluk halus itu.

"Jadi, tinggalkanlah zaman bomoh-bomoh ini, kita memiliki sistem perubatan yang moden dan luas termasuk perubatan Islam. Beri fokus kepada perkara itu lebih mustahak," katanya.

Dr. Mohd. Asri juga menyarankan supaya diadakan lebih banyak pameran tentang tamadun atau sains Islam seperti yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini yang mampu membina minda masyarakat Islam yang akhirnya dapat bersama-sama memajukan Islam.

"Islam anti khayal, jadi lebih eloklah pameran yang mengkhayalkan seperti itu (pameran hantu dan jin) tidak diadakan. Buatlah pameran yang lebih mendatangkan manfaat," tambahnya.

Ulasan Rais Yatim ....

Isu pameran hantu ke Kabinet: Rais (Berita Harian : 21 Mac 2007)

Katanya, beliau sendiri akan membentangkan perkara itu supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dapat dimaklumkan mengenai ketidakwajaran pameran itu diadakan atau diteruskan.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Dr Adi Taha mengemukakan satu laporan lengkap mengenai pameran itu untuk dibuat penilaian sebelum dikemukakan pada mesyuarat Kabinet.

Katanya, langkah itu juga untuk mendapatkan persetujuan Kabinet supaya pameran berkaitan alam misteri yang boleh bertembung dengan akidah, nilai hidup dan tamadun umat Islam, juga dapat dibincang pada Mesyuarat Menteri-Menteri Besar akan datang.
“Secara peribadi saya amat duka cita kerana pameran itu diteruskan juga, walaupun saya sudah meminta ia dihentikan.

“Saya hairan apa yang hendak dipertahankan sangat pameran itu sedangkan tidak mendatangkan faedah dan dari segi agama pun, ia sudah bertentangan.Apakah kerana ada unsur komersial (pameran itu diteruskan)... saya tidak faham,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Kelmarin Berita Harian melaporkan kurator muzium berkenaan, Drs Shamsuddin Ahmad, berkata pameran itu diteruskan selepas perbincangan dengan Pengerusi Lembaga Muzium negeri, Datuk Kamaruddin Siaraf yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).Beliau menegaskan pameran yang dirancang sejak tahun lalu itu bukan ‘kosong’ dan bertujuan mengkhayalkan orang ramai, sebaliknya diimbangi program keilmuan serta mendidik orang ramai termasuk sesi ceramah dan dialog bersama pakar mengenai alam ghaib.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamed Hasan juga dilaporkan sebagai berkata, kerajaan negeri tidak terbabit dengan penganjuran pameran dan tidak dimaklumkan mengenainya.Pameran itu yang bermula 10 Mac lalu akan berlangsung selama tiga bulan dan dijadualkan berakhir 31 Mei depan.

Bagaimanapun, Rais mengakui pihak muzium negeri tidak perlu merujuk kepada Kerajaan Pusat dan kementerian untuk mengadakan sesuatu pameran kerana ia di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

Tetapi, katanya atas semangat menghormati hubungan kerajaan negeri dengan Pusat, mereka sewajarnya mematuhi apa yang dinyatakan pemimpin Pusat.

“Dalam hal ini, nampaknya mereka terbabit tidak mematuhi arahan pucuk pimpinan Pusat dan ini tidak baik.Saya berharap negeri lain tidak mengadakan pameran seperti itu yang juga tidak disokong oleh tokoh agama,” katanya.

Beliau berkata, kementerian menyokong dan iktiraf pameran anjuran Muzium Negeri hanyalah yang berlandaskan dua asas iaitu memenuhi matlamat meningkatkan ilmu pengetahuan dan cara hidup atau tamadun bangsa.

Pameran hantu, jin di Muzium Negeri Sembilan dihentikan (Berita Harian : 14 April 2007)

Pengerusi LMNS, Datuk Kamaruddin Siaraf yang juga setiausaha kerajaan negeri berkata, pameran itu yang bermula 10 Mac lalu dan dijadualkan berakhir 31 Mei depan, ditutup selepas solat Jumaat.

"Kerajaan negeri mengambil keputusan untuk menutup pameran ini sebagai menghormati pandangan majlis fatwa itu," katanya di sini hari ini.

Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, 'Profesor Datuk Dr. Abdul Shukor Husin semalam berkata, pameran sedemikian boleh menjurus kepada makruh dan seterusnya haram apabila mendatangkan mudarat kepada akidah umat Islam.

Beliau berkata, majlls fatwa juga tidak mahu umat Islam terus disogok dengan perkara-perkara tahyul dan khurafat yang tidak diketahui manusia.Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati para pekerja muzium berkenaan menurunkan sepanduk pameran itu yang dipasang di sekitar perkarangan dan jalan masuk ke muzium itu.

Dalam pada itu, masih terdapat pengunjung yang tidak mengetahui mengenai penutupan itu datang untuk melihat pameran berkenaan.

Pameran misteri seumpama itu sebelum ini pernah diadakan di Melaka dan Selangor tetapi kewajaran mengadakannya mula dipersoalkan bermula dengan surat pembaca yang disiarkan dalam ruangan Forum Utusan Malaysia.

Ia semakin panas apabila Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin turut menegur pameran itu yang hanya mengkhayalkan masyarakat dan boleh mendatangkan mudara kepada umat Islam.

Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim turut menyokong pandangan itu dan menegur serta menyarankan supaya pameran itu dihentikan kerana tidak memberi faedah kepada perkembangan tamadun manusia.

LMNS bagaimanapun bertegas untuk tetap meneruskan pameran kecuali terdapat arahan kerajaan negeri untuk berbuat demikian.Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan pula menyerahkan kepada Lembaga Pengarah LMNS untuk membuat keputusan.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu