Nabi Isa a.s akan kembali.....
Firman Allah SWT dalam surah an-Nisaa’ ayat 157-158,
“Dan Karena Ucapan mereka: "Sesungguhnya kami Telah membunuh Al Masih, Isa putra Maryam, Rasul Allah ", padahal mereka tidak membunuhnya dan tidak (pula) menyalibnya, tetapi (yang mereka bunuh ialah) orang yang diserupakan dengan Isa bagi mereka. Sesungguhnya orang-orang yang berselisih paham tentang (pembunuhan) Isa, benar-benar dalam keragu-raguan tentang yang dibunuh itu. mereka tidak mempunyai keyakinan tentang siapa yang dibunuh itu, kecuali mengikuti persangkaan belaka, mereka tidak (pula) yakin bahwa yang mereka bunuh itu adalah Isa. (157) Tetapi (yang sebenarnya), Allah telah mengangkat Isa kepada-Nya dan adalah Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana” (158).
Benarkah Nabi Isa a.s belum wafat ?
Jawapan, Ya berdasarkan ayat ini orang-orang Islam percaya bahawa Nabi Isa a.s belum lagi wafat, kerana baginda tidak disalib tetapi diselamatkan oleh Allah SWT dengan cara mengangkat baginda ke sisi –Nya. Dalam ayat ini juga Allah SWT menyatakan bahawa mereka yang membunuh Nabi Isa a.s itu sebenarnya tidak yakin siapakah yang di bunuh itu.
Apa kata Bible tentang kematian Nabi Isa a.s ?
Jawapan, kalau dirujuk dalam Bible juga terdapat beberapa keraguan untuk mengesahkan orang yang di salib itu ialah Nabi Isa a.s. Sebagai contoh ketika di kayu salib, orang yang di salib mengeluh dan merayu-rayu kepada Tuhan agar melepaskannya dari kayu salib itu,
"Eloi Eloi Lama sabachtani – which means, “My God, My God, why have you forsaken me ” (Mark 15 : 34 )
Kata-kata rintihan ini tidak sesuai diucapkan oleh seorang Rasul kerana mereka merupakan individu yang kuat menghadapi cabaran ketika berdakwah walaupun nyawanya di ancam. Contoh, Nabi Ibrahim a.s ketika dicampak ke dalam api, baginda tidak pernah merintih dan merayu kepada Tuhan untuk menyelamatkannya.
Hujah kedua ialah semasa penangkapan dilakukan, semua anak-anak murid Nabi Isa a.s melarikan diri.
Then everyone deserted him and fled . (Mark 14 : 50 )
Dengan kata lain tidak seorang pun yang boleh mengesahkan yang ditangkap itu ialah Nabi Isa a.s kerana masing-masing tidak ada di sisi baginda ketika itu.
Setelah ditangkap, orang itu dipukul, ditinju dan dipakaikan mahkota berduri. Justeru, sukar untuk melihat wajahnya yang asal.
The Pilate took Jesus and had him flogged. The soldiers twisted together a crown of thorns and put it on his head. (John: 19 1-3)
Nabi Isa a.s sendiri ada membayangkan kepada muridnya yang baginda akan pergi ke sisi Tuhan,
“I am with you for only a short time and then I go to the one who sent me. You will look for me, but you will not find me, where I am, you cannot come ” ( John 7 : 33)
Kalau benarlah Nabi Isa a.s belum wafat mengapa dalam surah Maryam ayat 33 ada menyebut tentang kematian baginda ?
Firman Allah SWT,
"Dan segala keselamatan serta kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku diperanakkan dan pada hari aku mati serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula (pada hari Qiamat)". (Surah Maryam : 33)
Jawapan, adapun maksud mati dalam ayat ini bukanlah mati di kayu salib kerana Allah SWT telah menafikannya dalam surah an-Nisaa ayat 157-158 tadi, tetapi maksud mati di sini ialah merujuk kepada kematiannya sebelum berlakunya hari Qiamat.
Adakah dalil dalam al-Quran yang menunjukkan bahawa Nabi Isa a.s akan turun menjelang Hari Qiamat ?
Dalilnya ialah surah Ali Imran ayat 46,
“ Dan dia akan berkata-kata kepada orang ramai semasa ia masih kecil dalam buaian dan semasa ia dewasa dan ia adalah dari orang-orang soleh.”
Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa Nabi Isa a.s dikurniakan dua mukjizat. Mukjizat yang pertama ialah baginda boleh bercakap dengan manusia sewaktu bayi dan mukjizat yang kedua baginda boleh bercakap kepada manusia sewaktu dewasa. Mukjizat kedua ini merujuk kepada kepulangannya ke dunia kali kedua iaitu menyeru manusia di dunia untuk kembali mengamalkan ajaran Islam.
Satu lagi ialah ayat 59 surah Ali Imran,
"Sesungguhnya perbandingan (kejadian) Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti (kejadian) Nabi Adam. Allah telah menciptakan Adam dari tanah lalu berfirman kepadanya ; "Jadilah engkau!", maka jadilah ia (seorang manusia)".(Surah Ali 'Imran : ayat 59)
Dalam ayat ini Allah SWT menjelaskan persamaan antara kejadian Nabi Adam dan Nabi Isa ‘alaihimassalam. Masing-masing dicipta daripada kalimah-Nya Kun Fayakun. Persamaan lain ialah :
1. Jika Nabi Adam dicipta tanpa bapa, maka Nabi isa juga dicipta tanpa bapa.
2. Jika Nabi Adam diturunkan dari Syurga, maka Nabi Isa juga akan turun dari Syurga.
3. Jika Nabi Adam turun ke dunia tidak mempunyai saudara mara maka Nabi Isa juga akan turun ke dunia tanpa mempunyai saudara mara.
Adakah dalil daripada hadis Rasulullah saw yang memberitahu bahawa Nabi Isa a.s akan turun menjelang hari Qiamat ?
Jawapan, Ya memang ada. Satu daripadanya Rasulullah saw pernah bersabda : ,
إنى لأرجو أن طال بي عمر أن ألقى عيسى بن مريم. فإن عجل بي موت فمن لقيه فليقرئه منى السلام
Maksudnya : Sesungguhnya aku berharap umurku panjang agar dapat berjumpa dengan Nabi Isa Ibnu Maryam. Tetapi jika maut lebih dahulu menjemputku, maka barangsiapa di kalangan kamu yang berjumpa dengan baginda sampaikanlah salamku kepadanya. (HR Imam Ahmad)
Adakah turunnya nanti membawa gelaran Nabi dan adakah ini bermaksud baginda adalah Nabi yang terakhir ?
Jawapan, baginda akan turun sebagai Nabi yang meneruskan syariat Nabi Muhammad saw. Hal ini di sebut oleh Rasulullah saw,
ينزل عيسى بن مريم مصدقا بمحمد على ملته فيقتل الدجال
ثم إنما هو قيام الساعة
Maksudnya : Nabi Isa bin Maryam akan turun (pada akhir zaman ) dengan membenarkan syariat aku (Nabi Muhammad saw), baginda akan membunuh Dajjal. Dan sesungguhnya turunnya baginda adalah menjadi tanda dekatnya hari Qiamat. (HR Ahmad)
Penurunannya juga sama sekali tidak mengubah kedudukan Nabi Muhammad saw sebagai Nabi yang bongsu (penyudah) bagi segala Rasul. Logik akal, kalau kita mempunyai lima orang anak dan anak yang kelima meninggal dunia, adakah anak yang keempat akan menjadi anak yang bongsu ? Sudah tentu tidak ! Anak kelima tetap anak kelima, dialah yang bongsu cuma dia sudah meninggal dunia.
Bagaimana Nabi Isa a.s faham syariat Nabi Muhammad saw sedangkan baginda tidak pernah berada di zaman Rasulullah ?
Jawapan, Nabi Isa a.s akan di ajar oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 48,
“Dan Allah mengajarkan Kitab kepadanya, Hikmah, Taurat dan Injil” (Al-Imran 048)
Al- Kitab dalam ayat di atas ialah merujuk kepada al-Quran dan al-Hikmah pula ialah hadis Rasulullah saw.
Apakah yang dilakukan oleh Nabi Isa a.s semasa turun ke dunia ?
Jawapan, Nabi Isa a.s akan turun kedunia untuk membunuh Dajjal sebagaimana yang diterangkan dalam hadis sebelum ini. Sabda Rasulullah saw,
“Nabi Isa bin Maryam akan turun (pada akhir zaman ) dengan membenarkan syariat aku (Nabi Muhammad saw), baginda akan membunuh Dajjal…”
Siapakah Dajjal ?
Jawapan, Dajjal ialah ibu segala kejahatan, kerosakan, keganasan, kesesatan dan pembohongan. Ada yang berpendapat Dajjal itu sudah pun muncul sekarang iaitu kuasa besar dunia - AMERIKA ?
Dajjal akhirnya mati dibunuh oleh Nabi Isa a.s di satu tempat yang bernama Babul Ludi. Hal ini diceritakan oleh Mujammi’ bin Jariah al-Ansari dalam sebuah hadis,
يقتل عيسى بن مريم الدجال بباب لد
“Ibnu Maryam akan membunuh Dajjal di (satu tempat namanya) Babul Luddi”. (HR Tirmidzi)
Dimanakah Babul Ludi itu ?
Babul Ludi ialah satu daerah yang berhampiran dengan Baitul Maqdis,Palestine. Apabila Dajjal berjaya dimusnahkan oleh Nabi Isa a.s, kehidupan di dunia akan kembali aman, tiada lagi pembunuhan, tiada lagi peperangan, tiada lagi pembohongan, tiada lagi kesesatan dan tiada lagi penindasan antara satu sama lain.
Baginda akan memerintah dunia dengan adil dan saksama. Di bawah pemerintahannya manusia akan menjadi kaya raya sehingga tidak ada seorang pun yang menjadi peminta sedekah kerana hasil bumi telah digunakan ke jalan yang betul pogram makanan, kesihatan, kebajikan dan perkara-perkara yang membawa kebahagiaan kepada manusia keseluruhannya. Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw,
ويفيض المال حتى لا يقبله أحد
Maksudnya : menjadi suburlah negeri dan mengalirlah harta kekayaan yang banyak sehingga ada orang yang bersedekah namun tidak orang yang mahu menerimanya. (HR Bukhari dan Muslim)
Tujuan lain Nabi Isa a.s diturunkan ?
Jawapan, Imam at-Tirmizi meriwayatkan sebuah lagi hadis mengenai penurunan Nabi Isa a.s,
والذي نفسى بيده ليوشكن أن ينزل فيكم ابن مريم حكما مقسطا فيكسر الصليب ويقتل الخنزير ويضع الجزية ويفيض المال حتى لا يقبله أحد
Maksudnya : Demi Zat yang diriku dalam kekuasaan-Nya. Tidak diragukan lagi bahawa Nabi Isa akan turun kepada kamu, lalu menjadi Hakim yang adil, memecahkan kayu salib, membunuh babi, menghapuskan jizyah dan pada waktu itu mengalirlah harta kekayaan yang banyak sehingga ada orang yang bersedekah namun tidak orang yang mahu menerimanya. (HR Tirmizi)
Berdasarkan hadis ini, Nabi Isa a.s akan turun ke dunia untuk menjadi Hakim yang adil untuk bagi memutuskan ajaran siapakah yang benar, Islam atau Kristian. Baginda juga akan memecahkan salib yakni menghancurkan doktrin Kristian yang mempertuhankan baginda. Nabi Isa a.s akan mengembalikan penganut Kristian ke ajarannya yang sebenar iaitu menyembah Allah SWT sebagaimana yang terdapat dalam Bible,
“Hear, O Israeil, the Lord our God, the Lord is One ” (Mark 12 : 29) ms 1519
"You are right in saying that God is one and there is no other but Him”. (Mark 12 : 32)
Selain itu baginda akan menghapuskan ajaran Kristian yang selama ini menganggap babi halal dimakan sedangkan Bible sendiri melarang memakan babi.
“And the pig ….. you must not eat their meat or touch their carcasses (Bangkai) , they are unclean for you". ( Leviticus 11 : 7-8)
Menurut Imam an-Nawawi rhm, setelah Nabi Isa a.s membunuh Dajjal, baginda akan menghapuskan jizyah (cukai keselamatan) yang selama ini telah diberikan kepada orang kafir di zaman Rasulullah saw. Dengan kata lain Nabi Isa a.s tidak akan berkompromi dengan orang-orang kafir. Mereka hanya diberi dua pilihan sama ada mahu masuk Islam atau di perangi.
Dengan penghapusan jizyah ini, tiada cara lain bagi orang kafir untuk selamat melainkan mesti beriman dengan Allah SWT. Kesannya, semua ahli kitab memeluk Islam sbagaimana firman allah SWT,
“ Tidak ada seorang pun ahli kitab kecuali akan beriman kepadanya debelum kematiannya. Dan di hari Qiamat nanti Isa akan menjadi saksi terhadap mereka”. ( surah an-Nisaa : 159)
Adakah penghapusan Jizyah ini bermakna Nabi Isa merombak syariat Nabi Muhammad saw ?
Jawapan, Tidak kerana penghapusan jizyah ini juga termasuk sebahagian daripada syariat Nabi Muhammad saw yang telah dimaklumkan oleh baginda melalui hadis-hadisnya.
Tujuan seterusnya ?
Jawapan, penurunan Nabi Isa a.s ke dunia juga adalah untuk memberitahu manusia tentang dekatnya hari Qiamat. Firman Allah SWT,
“Dan sesungguhnya Nabi Isa menjadi tanda kedatangan hari Qiamat, maka janganlah kamu ragu-ragu tentang hari (Qiamat) itu, dan turutilah (pertunju) Ku ; inilah jalan yang lurus.” (Az-Zukhruf 061)
Berapa lama Nabi Isa a.s akan berada di bumi ?
Jawapan, Nabi Isa a.s akan berada di bumi selama 40 tahun. Hal ini diterangkan dalam hadis Rasulullah saw,
Isa Ibnu Maryam akan turun memerintah selama 40 tahun dengan Kitabullah dan sunnahku kemudian baginda wafat. (Al-Muttaqi alHindi, al-Burhan fi ‘Alamat al-Mahdi Akhiruz zaman)
Bila Nabi Isa a.s wafat ?
Jawapan, Baginda wafat setelah tujuh tahun membunuh Dajjal. Kata sahabat Nabi saw yang bernama Abdullah bin Amru,
“Allah mengutus Nabi Isa iibnu Maryam untuk membunuh Dajjal. Setelah itu baginda akan tinggal bersama-sama umat Islam selama tujuh tahun”.
Di manakah Nabi Isa a.s di makamkan ?
Seperti yang disebut oleh hadis-hadis Nabi saw, jenazah Nabi Isa a.s akan di sembahyangkan oleh umat Islam kemudian dikebumikan di sebelah makam Rasulullah saw. Hal ini berdasarkan keterangan Abdullah bin Salam,
“ Telah tersurat di dalam kitab Taurat tentang sifat Nabi Muhammad saw dan Isa ibnu Maryam akan dikebumikan di samping baginda. ” (Riwayat Tirmizi)
Apa terjadi selepas kewafatan Nabi Isa a.s ?
Jawapan, Selepas kewafatan Nabi Isa a.s, manusia akan kembali sesat Mereka disesatkan dengan kemewahan harta yang melimpah ruah. Akan berlaku perselisihan dan konflik sesama manusia. Golongan yang engkar dan menolak agama Allah SWT akan muncul kembali. Dunia akan kembali bergolak, rosak sehingga tidak ada lagi kebaikan padanya. Pada waktu itulah hari Qiamat akan terjadi yang mana hanya Allah SWT sahaja yang Maha Mengetahuinya. Sabda Rasulullah saw,
“Selepas baginda (Nabi Isa a.s wafat) Hari Pengadilan (Qiamat) akan berlaku dalam jangka waktu yang pendek” ( Ahmad Diya’addin al-Kamushkhanawi, Rumuz al-Hadith)
Wallahualam.
Rujukan,
Al-Quran
The NIV (New International Version) Study Bible
Isa al-Masih Rasul Bukan anak Tuhan, Ahmad Muhammad Abd Ghaffar
Tanda-Tanda Pintu Taubat Ditutup , Reza Abd Rahman
Nabi Isa a.s akan turun menjelang Qiamat, Harun Yahya
Perbandingan Islam dan Kristian, Arsyad Thalib Lubis
Nota ini dikuliahkan di surau Bandar Warisan Puteri Sikamat pada 17 /1/2010 dan Masjid Qaryah Sikamat pada 18/1/2010.
Comments
Post a Comment