Kalimah Allah : Penutup dan Noktah !

Bila Sayed Tantawi kata Malaysia sebagai sebuah Negara Islam ...
Saya masih ingat, sekitar tahun 2006 ketika Dr. Sayed Tantawi (Sheikhul Al-Azhar) datang ke Malaysia beliau membuat kenyataan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam tulin yang menjadi contoh kepada negara-negara Islam lain.

Maka gegak gempitalah ustaz-ustaz yang pro pembangkang (termasuk saya) membidas kenyataan Dr.Sayed Tantawi. Kami memohon supaya Sayed Tantawi tinggal di Malaysia dalam tempoh sebulan, baru dia boleh menilai sama ada Malaysia ini sebuah Negara Islam atau tidak.

Hakikatnya Sayed Tantawi orang luar, dia tidak pernah tahu masalah keruntuhan moral di kalangan remaja Islam di Malaysia, dia tidak pernah tahu berapa banyak kilang-kilang arak di negara ini, dan dia tidak pernah tahu berapa banyak pula lesen-lesen judi serta kasino-kasino yang telah diluluskan oleh kerajaan BN.

Itu tidak termasuk gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, duit royalti minyak di rompak, yang miskin bertambah miskin dan yang kaya bertambah kaya kerana harta kekayaan negara berlegar di kalangan elit tertentu !

Kalau Sayed Tantanwi lihat budak-budak Melayu minum arak di Bukit Bintang, kalau dia tahu betapa parahnya gejala zina, pelacuran dan jumlah anak haram di Malaysia, dan kalau ulama terkenal ini di bawa melawat ke pusat perjudian terbesar di Genting Highland sudah tentu Sayed Tantawi akan lari meninggalkan Malaysia..,

“Masya Allah.., Ana taubat, ana tak mahu tinggal di Malaysia ! lebih baik ana tinggal di Mesir jaga unta .... ”, mungkin itulah kata-kata beliau jika mengetahui keadaan Malaysia yang sebenar.

Mengapa ? Kerana Negara Islam adalah Negara ‘ Baldatun Toyyibah Warabbun Ghafur ’ (Negara yang baik serta mendapat pengampunan Tuhan). Justeru macam mana pengampunan Allah mahu turun dalam sebuah Negara yang mengamalkan undang-undang sekuler, mengenepikan undang-undang Islam ? Sampai sekarang sudah 52 tahun merdeka, tukang sebat Syariah pun tak ada lagi !

Bila Yusuf al-Qardhawi kata kalimah Allah boleh diguna orang bukan Islam…

Baru-baru ini ketika berkunjung ke Malaysia kerana menerima anugerah tokoh Maal Hijrah Prof Yusuf al-Qardawi menyatakan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah di Malaysia.

Maka sekali lagi gegak gempitalah penyokong-penyokong parti pembangkang menulis di blog masing-masing menyokong kenyataan Prof Yusuf al-Qardawi, Mufti negara Qatar.

Pada hal mereka inilah yang menempelak Dr. Sayed Tantawi (Sheikhul Al-Azhar) satu ketika dahulu dengan berhujah bahawa ulama itu tidak memahami realiti kehidupan masyarakat Islam di Malaysia. Hanya ulama-ulama tempatan sahaja yang boleh mengeluarkan pendapat sebab mereka sangat mengetahui waqe' di negara ini.

Saya ingin bertanya kepada penyokong-penyokong yang taksub ini, kenapa tidak mahu menggunakan hujah yang sama untuk menolak pandangan Prof. Yusuf al-Qardawi ? Adakah Prof. Yusuf al-Qardawi pernah bermastatautin di bumi Malaysia ?

Pernahkan Prof Dr. Yusuf al-Qardawi lihat sendiri betapa parah dan rapuhnya akidah umat Islam di negara ini ? Tahukah Prof. Dr Yusuf al-Qardawi bahawa 80 peratus remaja di negara ini tidak menunaikan solat ? Tahukah Prof. Yusof al-Qardawi di Malaysia terdapat beberapa aliran sesat seperti Islam Liberal, Gerakan Anti Hadis, fahaman Feminisme dan entah bermaca-macam ajaran karut lagi ?

Tahukah Prof. Yusuf al-Qardawi bahawa institusi kekeluargaan begitu rapuh di Malaysia sehingga kes-kes penceraian di mahkamah syariah sentiasa bertambah? Tahukah Prof. Yusof al-Qardawi gejala rempit dan dadah di monopoli oleh orang-orang Islam di negara ini ?

Justeru dalam konteks apakah Prof Yusuf al-Qardawi mengatakan kalimah Allah boleh diguna pakai oleh orang-orang Kristian ? Saya mohon jasa baik supaya Prof. Yusuf al-Qardawi tinggal lama sikit di Malaysia untuk menilai sama ada wajar atau tidak kenyataan Prof tersebut. Untuk makluman Prof, saya sedia mencarikan rumah sewa untuk Prof tinggal di bumi Malaysia khususnya di tempat-tempat yang berprestij seperti di Bukit Bintang dan Bangsar !

Jangan meludah ke langit terkena batang hidung sendiri!

Semasa pembesar-pembesar negara menunduk hormat ke Tugu Negara sempena Hari Pahlawan, maka gegak gempitalah penyokong-penyokong parti pembangkang (termasuk saya) menyanggah amalan tersebut kerana tidak menghormati keputusan para Mufti yang telah mengeluarkan fatwa mengenai pengharaman amalan bertafakur di Tugu Negara.

Hari ini apabila para Mufti sudah membuat keputusan : Orang bukan Islam tidak boleh menggunakan kalimah Allah, maka mengapa penyokong-penyokong pembangkang tidak mahu menghormati keputusan para Mufti ?

Ada yang menempelak saya,

"Ustaz, mana lebih besar kalimah Allah atau syariat Allah ? UMNO beria-ia mahu mempertahankan kalimah Allah sedangkan syariat Allah tidak mahu tegakkan", kata seorang jemaah di surau al-Falah Taman Desa Ru.

Saya jawab balik,

"PAS pun macam tu jugak, kalimah ALLAH pun tak boleh nak pertahankan, macam mana nak mendaulatkan hukum ALLAH", tegas saya.

Akhir kalam...

Saya tak tahu nak tulis apa lagi.

Wallahulam .

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu