Siapakah Dia Waliullah ?
Tok Kenali, tokoh ulama yang dikatakan sebagai Waliullah.
Waliullah ertinya orang yang benar-benar hampir kepada Allah SWT. Orang ini ialah insan yang istimewa di sisi Allah SWT, sentiasa memahami dan mentaati perintah Allah dalam semua perkara serta menjauhi semua larangan Allah SWT. Waliullah memang wujud dari dahulu sehingga sekarang.
Di dalam Al-Quran surah Yunus, Allah SWT berfirman,
ألا ان أولياء الله لا خوف عليهم ولا هم يحزنون (62) الذين ءامنوا وكانوا يتقون (63)
Maksudnya : Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran ke atas mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (62) (Iaitu) orang-orang yang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. (63)
Adakah wali akan mengaku dia adalah wali ?
Persoalan, bolehkah seseorang manusia mendakwa bahawa dia adalah wali Allah ? Prof Haron Din dalam satu rencana yang disiarkan dalam akhbar Harakah keluaran 1-15 Januari 2007 menulis, Tidak pernah saya berjumpa dalam sebarang sumber sejarah Islam tentang seseorang wali Allah mengaku yang dia adalah wali Allah.
Kerana ini bertentangan dengan sifat para wali yang bersifat tawaduk sepanjang waktu, tidak bercakap banyak apatah lagi yang tidak perlu dan menyisih diri daripada masyarakat kerana bimbang takut dikenali sebagai wali. Oleh itu seseorang yang mengaku dan mendabik dada bahawa dia adalah wali, ia mewujudkan perasaan riak dan takabbur. Kalau orang biasa dilarang bersifat seperti ini apatah lagi mereka yang sudah sampai ke makam wali.
Tegasnya umat Islam jangan sekali-kali mudah tertipu dengan dakwaan seseorang yang mengatakan bahawa dirinya adalah wali.
Mengatakan si pulan ialah Wali Allah
Bagaimana pula dengan dakwaan seseorang yang mengatakan bahawa si pulan itu ialah waliullah dan dikurniakan pelbagai karamah. Seperti seseorang itu berkata,
“Kau jangan main-main, dia tu wali Allah. Dia ada karamah !”
Bagi menjawab persoalan ini, memetik tulisan Dr Basri Ibrahim, pensyarah pengajian Islam Universiti Darul Iman Trengganu, dalam bukunya Himpunan isu-isu Feqah terpilih, beliau mempersoalkan dari manakah kita mengenal seseorang itu sebagai wali Allah.
Siapa yang mengesahkan kewalian dan kekaramahan yang berlaku ke atas dirinya ? Sedangkan yang betul-betul mengenal seseorang itu wali dalam ertikata yang sebenar ialah Allah SWT sahaja. Kalau betullah orang yang di dakwa itu wali Allah, maka jalan yang paling selamat ialah berserahlah kepada Allah SWT, biarlah Allah SWT sahaja yang layak menentukannya.
Al-Imam As-Syafie pernah menegaskan, bahawa jangan mengukur seseorang itu melalui perkara ghaib yang berlaku ke atas dirinya. Kata beliau,
اذا رأيتم الرجل يطير فى الهواء ويمشى على الماء فلا تجعلوا بالحكم
بصلاحه قبل أن تقيسوا أمره بكتاب الله عزوجل
Maksudnya : Jika anda melihat seorang lelaki mampu terbang di udara dan dapat berjalan di atas air, janganlah anda cepat-cepat menghukum yang ianya seorang soleh sebelum anda benar-benar membandingkan urusannya dengan Kitab Allah.
Macam mana pula dengan dakwaan yang mengatakan si pulan dilihat berada di Mekah sedangkan jasadnya berada di tanahair
Dan bagaimana pula dengan dakwaan-dakwaan atau kisah yang diperolehi daripada orang ramai yang mengatakan sipulan itu dilihat mengerjakan solat di depan Kaabah atau mengerjakan Haji di Mekah sedangkan jasadnya ada di tanah air ? Adakah kisah-kisah seperti ini boleh dipercayai ?
Bagi menjawab persoalan ini hendaklah kita melihat perjalanan hidup (sirah) Rasulullah saw. Sejarah membuktikan setelah Rasulullah saw berhijrah ke Yathrib (Madinah), baginda amat rindu untuk kembali ke Mekah. Kerinduan baginda itu sehingga membawa kepada termimpi-mimpi yang mana baginda dan orang-orang Islam dapat masuk ke Mekah, bercukur dan bergunting dalam keadaan aman.
Namun itu hanyalah sekadar mimpi. Sejarah mencatatkan Rasulullah saw hanya berjaya memasuki kota Mekah dan bersolat di depan Kaabah setelah baginda dan para sahabat berjaya membuka kota Mekah. Kalau benarlah seseorang itu boleh mengerjakan solat di depan Kaabah, dalam masa yang sama jasadnya ada di tanah air, maka orang yang selayaknya mendapat keistimewaan ini ialah junjungan besar Nabi Muhammad saw. Tetapi dalam tempoh kerinduan itu tidak pernah tercatat dalam sejarah, penduduk Mekah melihat Nabi saw bersolat di depan Kaabah.
Sejarah juga mencatatkan, dalam tempoh sepuluh tahun Rasulullah saw tinggal di Madinah sehingga wafat di situ tidak pernah seorang sahabat melihat Rasulullah saw bersolat di depan Kaabah sedangkan jasadnya ada di Madinah. Sekiranya ada tentu hal ini akan dirakamkan di dalam hadis-hadis baginda.
Keadaan yang sama juga berlaku kepada para sahabat selepas kewafatan Rasulullah saw. Siapa yang tidak kenal sahabat-sahabat Rasulullah saw seperti Abu Bakar yang mana kalau ditimbang semua makhluk yang ada di langit dan di bumi, tidak sama beratnya kalau dibandingkan dengan iman Abu Bakar. Tidak pernah tercatat dalam sejarah, tokoh yang sehebat ini ada mendirikan solat di depan Kaabah sedangkan jasadnya ada di Madinah.
Begitu juga dengan Saidina Umar bin Al-Khattab r.a yang mana tokoh ini pernah disebut oleh Rasulullah saw, kalaulah ada Nabi selepasku, maka Umar layak menjadi Nabi. Tidak pernah tercatat dalam sejarah Islam sepanjang beliau menguruskan Negara Islam yang berpusat di Madinah ada orang melihat kelibatnya sedang sembahyang di depan Kaabah. Demikianlah hal yang sama tidak pernah berlaku ke atas tokoh-tokoh Islam yang lain seperti Saidina Uthman bin Affan, Saidina Ali kwj, Bilal bin Rabah, Abdur Rahman bin Auf dan ramai lagi.
Perjalanan hidup tokoh-tokoh ulama tasawwuf besar Islam seperti Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, Rabiatul Adawiah, Abdullah bin Mubarak dan ramai lagi pun terpaksa menempuh perjalanan yang memakan masa berbulan-bulan lamanya semata-mata untuk menunaikan fardhu Haji. Mereka hanya bersolat di depan Kaabah setelah mereka tinggal di sana.
Kita bimbang dakwaan-dakwaan seperti ini datang daripada musuh-musuh Islam. Bagi orang-orang yang jahil yang malas mendirikan solat akan menjadikan kisah ini sebagai satu helah untuk mereka meninggalkan solat. Mereka akan mengemukakan alasan yang mereka juga mendirikan solat di Kaabah atau di Masjidil Haram atau di Masjid Nabawi untuk mengelakkan diri daripada hukuman atau untuk menipu orang ramai yang kebetulan pula cetek ilmu pengetahuan.
Justeru itulah Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi menjelaskan,
“ Kita suka memberi peringatan kepada masyarakat tentang tipu daya yang dilakukan oleh orang-orang yang mendakwa dapat bersolat di depan Kaabah sedangkan dirinya berada bersama orang lain di di kampong atau di negaranya. Mereka ini adalah sumber fitnah kepada orang ramai dengan cara menarik mereka kearah mencanggahi perintah Allah dan membuka laluan mudah untuk meninggalkan suruhan Allah SWT. Orang ini adalah sebesar-besar bala kepada Islam. Cukuplah kepada kita ajaran penghulu kita Nabi Muhammad saw dan para sahabatnya sebagai panduan dan penolong. Mereka adalah orang yang diberi pertunjuk oleh Allah. Pertunjuk ini adalah segala-galanya bagi kita”.
Wallahualam
Rujukan,
Dr. Haron Din - Harakah keluaran 1-15 Januari 2007
Dr. Basri Ibrahim – Himpunan Isu-Isu Feqah Terpilih
Comments
Post a Comment