Sahabatku yang bernama Ust Hj Halim bin Abdullah ...

Ust Hj Halim Abdullah sedang memimpin jemaah Haji kelolaan syarikatnya

Sepanjang bergelanggang dalam arena dakwah, saya berkenalan dengan ramai rakan-rakan para Ustaz. Saya mengenali Ust Hj Kamal, Ust Hj Azhar, Ust Alim, Ust Hj Zawawi dan Ust Shafie di Bandar Warisan Puteri, Sikamat.

Saya rapat dengan Ust Nasaruddin Ali, Ust Afendi, Ust Norazman, Ust Ali Kuty dan Ust Zaidi Ramli. Saya mengkagumi Ust Sheikh Mohsein, Ust Ann Wan Seng , Brother Shahkirit dan Cikgu Azmi bin Abdul Hamid. Saya bersahabat dengan Ust Hafizi, Ust Amru al-Haz, Ust Syarizan dan Ust Najib. Saya menghormati Ust Hj Humaidi, Ust Jaafar Mohammad, Ust Surol, Ust Hj Kasim dan Ust Hj Halim bin Abdullah.

Inilah rakan-rakan saya di dunia dan akhirat. Jangan sesiapa yang cuba menjarakkan antara saya dengan mereka. Kepada ustaz-ustaz sekalian, saya doakan agar semuanya sihat wal’afiat dan beroleh kejayaan dalam apa sahaja lapangan kerjaya. Jika ditakdirkan saya meninggal dunia dahulu, saya berharap agar rakan-rakan Ustaz sekalian sudi menjenguk jenazah saya, sudi menghadiahkan Al-Fatihah buat saya dan sudi menyedekahkan solat jenazah ke atas mayat saya.

"Ya Allah turunkanlah rahmat-Mu ke atas rakan-rakanku semua…, ke atas keluarga dan anak-anak mereka. Amin ya Rabbal A’lamin "

Ust Hj Halim Abdullah..., guruku dan sahabatku

Hari ini saya ingin memperkenalkan seorang sahabat saya yang bernama Ust Hj Halim bin Abdullah, Naib Presiden Ikatan Siswazah Islam Malaysia (ISMA). Saya mula mengenalinya pada tahun 2000. Ketika itu saya tinggal di Taman Desa Kiara Sikamat dan diberi amanah sebagai Pengerusi Surau al-Hidayah taman tersebut. Sewaktu perasmian Surau oleh YAB Menteri Besar N.S, saya menghubungi Ust Hj Halim Abdullah dan menjemput beliau menyampaikan ceramah sempena majlis itu.

Berjuang membela umat Islam di Palestin

Itulah detik pertama saya bercakap dengannya. Itu pun melalui telifon. Ust Hj Halim mengatakan dia tidak dapat hadir kerana sibuk. Menurutnya, pada malam itu dia sedang berada di KLIA bagi mengetuai rombongan Umrah anjuran pakej syarikatnya. Dia berjanji akan mengunjungi surau al-Hidayah jika ada kesempatan apabila pulang ke tanah air nanti. Selepas itu saya tidak lagi berhubung dengan beliau sehinggalah pada tahun 2004.

Berangkat mengerjakan Umrah...

Pada bulan Julai 2004, saya, emak dan seorang kakak berhasrat ingin menunaikan Umrah. Emak menyuruh saya mencarikan pakej yang sesuai dan harga yang berpatutan. Saya teringat pakej Ust Haji Halim lantas menghubunginya. Ketika itu harga pakej Umrah yang ditawarkan oleh syarikatnya ialah RM3690.00 untuk selama 15 hari 12 malam. Inilah pakej yang paling murah apatah lagi hotel yang berhampiran , lebih kurang 150 M dari Masjidil Haram dan 50 m dari Masjid Nabawi.

Setelah mencapai kata putus, saya, emak dan kakak mengunjunginya di pejabat beliau yang terletak di belakang BSN Ampangan untuk membuat pembayaran. Itulah kali pertama saya bersua muka dengannya. Orangnya lembut, perwatakannya sederhana, butiran katanya amat menyenangkan, bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Sayang.., ketika itu saya tidak boleh berbual lama dengannya kerana ada urusan kerja yang perlu dilaksanakan.

Satu petang di bumi Madinah....

Ketika di Madinah, saya menunggu-nunggu peluang untuk berbual dengan Ust Hj Halim. Maklum sahajalah, beliau sentiasa sibuk melayan karenah jemaah yang jumlahnya lebih kurang 50 orang kesemuanya.

Satu petang, setelah selesai menziarahi tempat-tempat bersejarah di sekitar Masjid Nabawi, kami balik ke hotel penginapan. Saya melihat Ust Hj Halim Abdullah singgah di kafeteria Hotel, memesan air minuman dan duduk berseorangan di meja yang disediakan.

Wah ! ini peluang saya untuk berbual dengannya. Saya menyapa beliau. Sapaan saya disambut dengan baik. Kami duduk dan berbual panjang, hampir sejam lamanya. Kami bertaaruf, mengenali diri masing-masing seterusnya mengupas satu topik ke satu topik.

Bersama tokoh ulama Universiti al-Azhar

Dari butir perbualannya, tahulah saya beliau seorang pendakwah yang meratapi nasib anak bangsanya. Beliau sangat menyelami masalah remaja, beliau menyedihi masalah-masalah ibu tunggal, beliau mengambil berat ketirisan akidah di kalangan remaja dan dewasa, beliau membimbangi gejala sosial dan hedonisme, beliau sangat prihatin dengan isu-isu politik di negaranya dan beliau juga seorang yang gigih memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin dan mana-mana umat Islam yang tertindas di bumi ini.

Di akhir perbualan saya berkata,

“Ustaz, anta seorang yang hebat, ramai pengaruh. Tapi satu soalan yang ana nak tanya, kenapa Ustaz tak mahu masuk politik ? Atau dalam kuliah-kuliah yang Ustaz sampaikan masukkanlah sikit unsur-unsur politik supaya masyarakat sedar”, tanya saya.

Beliau menjawab sambil tersenyum,

“Sheikh..., bukankah dakwah itu luas. Kalau semua Ustaz nak bercakap pasal politik siapa pula nak bawa isu-isu lain untuk diketengahkan dalam masyarakat”, katanya.

Bersama Mendaki Gua Hirak

Satu hari semasa di Mekah, Ust Hj Halim menyampaikan pesan kepada jemaah Umrah. Siapa yang ingin mendaki Jaban Nur, sila bersiap dan tunggu di lobi hotel. Ya, saya kepingin untuk kesana, merasai bagaimana hebatnya junjungan besar Nabi saw yang sentiasa berulang alik dari rumahnya ke Gua Hirak sebelum diturunkan wahyu.

Kali pertama mengerjakan Umrah bersama anak-anak murid pada tahun 2000, saya tidak berkesempatan mendaki ke puncak Jaban Nur, kerana ketika itu saya demam. Insya Allah kali ini saya berazam untuk sampai ke kemuncak !

Petang itu saya dan seramai enam orang anak muda bersiap sedia dengan memakai kasut. Sebelum bertolak, saya hairan Ust Hj Halim hanya memakai selipar getah sahaja.

"Boleh ke pakai selipar Ustaz", tanya saya.

"Insya Allah, ana selesa berselipar", jawabnya.

Sepanjang pendakian, kami berbual mesra. Kadangkala kami ketawa apabila di kalangan rakan memperkatakan sesuatu yang melucukan. Alangkah indahnya suasana ketika itu.

Saya masih ingat, waktu itu cuaca di Mekah pada bulan Julai agak panas. Lima minit kami mendaki pasti kami akan berhenti untuk meneguk sedikit minuman. Di satu peringkat, saya perhatikan air minuman Ust Hj Halim berbaki tak sampai pun separuh.

Di pertengahan pendakian, tiba-tiba Ust Hj Halim berhenti. Beliau menyantuni seorang Badwi tua yang kehabisan air minuman. Ust Hj Halim menuangkan air minumannya yang tinggal sedikit itu ke cawan si Badwi tua. Alangkah mulianya hati Ust Hj Halim, bisik saya.

Setelah hampir satu jam mendaki, akhirnya sampai juga kami di puncak Jaban Nur. Di sisi gua Hirak sambil menyedut udara segar, saya berbual panjang dengan Ust Haji Halim Abdullah. Beliau mengajak saya menyertai usrahnya.

"Dalam berdakwah, jangan bergerak solo..., kita perlu berjemaah", kata-kata beliau yang masih saya ingat.

Saya mengangguk.

Kami pulang ke hotel penginapan menaiki teksi buruk Pak Arab. Bayangkan sebuah teksi yang boleh mengisi lima penumpang di duduki oleh enam orang lelaki dewasa yang saiz badan kesemuanya XXL. Rasa nak patah tulung rusuk saya apabila berhimpit macam sardin. Ust Hj Halim melihat saya menahan nafas sambil melemparkan senyuman.

"Anta kena kuat", katanya yang mengandungi maksud tersirat.

Menghadiri Usrah...

Balik dari mengerjakan Umrah saya mengikuti Usrah bulanan Ust Hj Halim yang diadakan di rumahnya bersebelahan dengan surau Taman Guru. Seingat saya hanya dua kali sahaja saya hadir ke majlis usrahnya, selepas itu saya tidak lagi menyertainya kerana hampir setiap malam saya memenuhi undangan surau dan masjid untuk menyampaikan kuliah. Saya juga gagal menyertai program Mukhaiyam yang dianjurkannya di PD walaupun pada awalnya sudah menyatakan kesudian.

Namun begitu ini tidak bermakna saya melupai Ust Hj Halim. Kami terus bersahabat seperti biasa dan saling kunjung mengunjungi antara antara satu sama lain. Dia dan isteri pernah datang berhari raya di rumah saya pada tahun 2006. Mengelabah saya dan isteri membuat persiapan juadah untuk menerima kehadiran beliau.

Dua tahun lepas saya mengunjungi rumah barunya di Pulai Impian Sikamat kerana ingin bertanya sesuatu mengenai permasalahan agama. Kami berbual panjang sehingga ke larut malam. Isterinya sempat menghidangkan kuih kodok ikan bilis kepada saya. Dan pertengahan tahun 2009, beliau mengingatkan saya agak tidak lupa menghadiri majlis perkahwinan dua orang anaknya yang diadakan serentak.

Kenangan semasa di Mina..

Saya masih ingat ketika menunaikan fardhu Haji tahun 2008. Semasa di Mina jarak antara khemah saya dengan khemah Ust Hj Halim hanya saling berdepan. Dia terkejut bila saya mengunjunginya. Katanya,

"Anta pergi dengan pakej mana ? "

"Asia Oriental", jawab saya.

"Untuk makluman anta, ketua rombongan anta tu kawan baik ana", kata Ust Hj Halim.

Selepas solat Zuhor di Mina, ketua rombongan saya Pak Wan mengistiharkan kepada jemaah bahawa ada seorang Ustaz yang mengikuti jemaah Haji syarikat Asia Oriental. Dia menyuruh saya bangun dan memperkenalkan diri. Terperanjat saya. Rupa-rupanya Ust Hj Halim telah memberitahu Pak Wan tentang diri saya. Kata Pak Wan,

"Insya Allah tuan-tuan, sepanjang kita berada di bumi Mina, kuliah Suboh akan dipimpin oleh Ust Hishamuddin kita ", kata Pak Wan dengan penuh semangat.

"Alhamdulillah ....", respon para jemaah.

Apa boleh buat, terpaksalah saya memenuhi kehendak dan hasrat jemaah Haji Asia Oriental yang jumlahnya hampir tiga ratus orang ramainya.

Pagi tadi kami terserempak kembali..…

Tokoh ISMA yang disegani

Ketika berjoging di Tapian Gelanggang Paroi, saya terserempak dengan Ust Hj Halim. Rupa-rupanya Ust Hj Halim dan team Usrahnya bermain bola pagi ini. Ketika berjumpa, seperti biasa kami berbual termasuklah isu-isu semasa yang sedang berlaku di Malaysia.

“Ustaz, bagaimana pandangan Ustaz dengan isu kalimah Allah yang sedang hangat diperkatakan sekarang ?”, tanya saya.

“Ana tak setuju…, kami pimpinan ISMA sudah bermesyuarat dan memperhalusi isu ini. Kami dapati ia bertujuan untuk mengikis identiti umat Islam di Malaysia. Sebab itu ISMA antara NGO yang terawal membuat bantahan”, katanya.

Demikianlah Ust Hj Halim Abdullah, di sebalik kelembutannya ada ketegasan. Ya Allah, syukur... dan terima kasih kerana menghadiahkan kepadaku seorang sahabat yang bernama Ust Hj Halim bin Abdullah.. . Ya Allah.., kurniakanlah kebaikan di atas persahabatan kami..

Kepada Ust Haj Halim bin Abdullah, saya ucapkan selamat berjuang di medan dakwah!

Wallahualam.

Comments

  1. salam.

    nak kongsi juga kisah saya bersama Ustaz Abdul Halim di http://whitewakgreen.blogspot.com/2009/11/1mb0lik.html

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu