Doa buat mak






















Mak memang baik hati.

25 tahun yang lalu, masa arwah abah sakit, mak setia menjaga abah. Mak mandikan abah, mak jiruskan kencing dan berak abah. Sikit pun mak tak mengeluh melayan karenah abah.

Masa arwah Uwan sakit pun macam tu juga. Mak tak pernah merungut menjaga Uwan yang mengidap kencing manis. Setiap hari mak lapkan kudis dan nanah yang membusuk di kaki Uwan.

Bila time makan, mak bergilir-gilir dengan kak Ipah menghidang dan menemani Uwan makan.

17 tahun dulu ketika Hisham terlantar sakit di Hospital Besar Seremban, mak jugalah yang menjaga Hisham. Mak suapkan makanan ke mulut Hisham dan mak ambilkan air untuk Hisham beristinjak di atas katil.

Malam pertama Hisham di hospital, mak cuba hendak menumpang tidur di katil Wad yang kosong, malangnya mak ditegur oleh jururawat yang bertugas. Katanya pelawat tidak dibenarkan tidur di atas katil Wad walaupun katil itu tiada penghuni.

Mak akur dengan undang-undang di Wad. Esoknya mak pergi ke pekan Rasah beli kerusi malas dan mak jinjing kerusi itu sampai ke tingkat 7.

Mak buat semua ini semata-mata hendak menjaga Hisham.

10 hari Hisham di hospital, maka 10 harilah mak tidur di kerusi malas itu. Alangkah besarnya jasa mak pada Hisham.

Dua hari lepas...

Mak telifon Hisham,

“Hisham, mak nak beritahu, yang mak dan kak Ipah dah dapat surat dari Tabung Haji. Kami terpilih untuk ke Mekah tahun ini”, kata mak dengan suara gembira.

Hisham serba salah. Rasa-rasanya mahu sahaja Hisham halang mak dari menunaikan fardhu Haji tahun ini.

Bukan apa, sebelum ni mak dah tiga kali menunaikan fardhu Haji dan dua kali mengerjakan Umrah. Cukuplah tu. Buat apa mak nak susah-susah lagi. Lagi pun mak dah tua sedangkan mengerjakan haji tu sekali sahaja seumur hidup.

Dalam usia mak yang sudah menjangkau 75 tahun ni, kalau terjadi apa-apa di Mekah siapa yang susah ?

Nak harapkan kak Ipah ?

Mana boleh. Kak Ipah sendiri pun tak boleh menguruskan dirinya, macam mana dia nak uruskan mak. Kak Ipah tergolong sebagai orang kurang upaya, berpunca dari serangan demam panas yang dialaminya semasa kecil 40 tahun yang lalu. Kalau ikutkan, dia pun tak layak menunaikan fardhu Haji.

Tapi mak berkeras juga, katanya selagi dia hidup, dia tetap nak bawa Kak Ipah pergi menunaikan fardhu Haji.

Aduh ! pening kepala Hisham memikirkan hal ini. Siapalah di kalangan adik beradik yang nak beri nasihat pada mak.

Abang Kamal ?

Dia dah jenuh menasihati mak, tapi tak berhasil.

Kak Long ?

Kak Long sekarang sedang berdukacita sebab suaminya sedang sakit, tak kencing dan berak berhari-hari. Dengar khabarnya ada masalah buah pinggang.

Adik beradik yang lain ?

Masing-masing tak berani kerana bimbang mak berkecil hati.

Semalam...

Ketika Hisham beri kuliah di Surau Bandar Warisan Puteri, tiba-tiba kelihatan abang Isa dari Taman Perwira.

Macam dia tahu-tahu pula yang Hisham sedang risaukan mak.

Kata abang Isa selepas kuliah,

“Tak usahlah Ustaz risau. Sebenarnya mak ustaz dah beritahu abang tentang hal ini. Untuk makluman Ustaz, abang laki bini pun akan menunaikan fardhu Haji tahun ini. Jangan bimbang, abang akan mohon dengan Tabung Haji supaya kami boleh pergi sama-sama dan tinggal di hotel yang sama. Lagi pun kita ni satu kampung dan tinggal pula satu taman. Abang dah anggap mak Ustaz macam mak abang juga”, kata abang Isa bersungguh-sungguh.

Alhamdulillah, terharu Hisham dengar penjelasan abang Isa. Hisham peluk abang Isa, Hisham salam tangannya kuat-kuat. Lega rasanya hati.

Dedikasi buat mak ....

Buat mak yang baik hati.

Syukurlah mak. Dalam ramai-ramai mak di dunia ini, maklah antara yang paling bertuah kerana sudah beberapa kali menerima 'surat jemputan' dari Allah SWT untuk menjadi tetamunya di tanah suci.

Mungkin inilah ganjaran yang Allah SWT beri pada mak, berkat kesabaran mak menjaga arwah abah, arwah Uwan dan juga kami adik beradik seramai 13 orang.

Ya Allah ! sihatkanlah mak ,kak Ipah, abang Isa dan isterinya semasa menunaikan fardhu Haji nanti. Amin.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu