Seputar hukum Talak dan Khulu'
Tafsir al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 229
Firman Allah SWT,
"Talaq itu dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya aatau dilepaskan (diceraikan) dengan cara yang baik. Tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang deceraikan itu), kecuali jika kedua-duanya (suami isteri) takut tidak dapat mengakkan aturan-aaturan hokum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hokum Allah, maka tidak menjadi berdosa mengenai bayaran (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan bayaran itu oleh suami). Itulah aturan-aturan hokum Allah, maka janganlah kamu melanggarinya. Sesiapa yang melanggar aturan-aturan hokum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim". (Al-Baqarah 229)
Huraian ayat
Firman Allah SWT,
Talaq itu dua kali…
Kalau dirujuk kepada latar belakang sebelum ayat ini turun, sudah menjadi tradisi dalam masyarakat Arab jahiliah untuk menceraikan isteri tanpa had. Ada suami yang menceraikan isteri kemudian sebelum tamat eddah, mereka akan merujuk kembali isterinya. Kemudian mereka akan menjatuhkan talak yang lain pula. Perbuatan ini dilakukan berulang kali bertujuan untuk menganiayai wanita. Dengan kata lain, si isteri tetap sebagai isteri selagi mana ia dirujuk ketika dalam eddah, walaupun telah dijatuhkan talak sebanyak 100 kali.
Dengan kedatangan Islam, perbuatan zalim ini telah diperbetulkan. Islam hanya membenarkan talak yang boleh dirujuk itu hanyalah dua kali sahaja. Ini untuk mengelakkan suami mempermain-mainkan institusi perkahwinan sekaligus akan menimbulkan penderitaaan terhadap isteri dan juga anak-anak.
Apabila Allah SWT menyebut Talaq itu dua kali…bermaksud dua talak yang berlainan hendaklah dilakukan secara satu persatu. Justeru menurut jumhur ulama mana-mana suami yang menjatuhkan talak dua atau talak tiga sekali gus, perbuatan itu melanggar peraturan Allah SWT dan talak itu jatuh mengikut bilangannya.
Manakala Sheikhul Islam Ibn Taimiyyah dan Ibn Qaiyyim berpendapat talak tiga itu tetap jatuh satu kerana merujuk kepada zaman Rasulullah saw dan juga pemerintahan Abu Bakar a.s. Cuma di zaman Saidina Umar, beliau berijtihad, talak itu jatuh mengikut bilangannya untuk membendung masaalah penceraian disebabkan perbuatan tergesa-gesa suami di zaman tersebut.
Firman-Nya lagi,
….Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) dipegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau dilepaskan (diceraikan) dengan cara yang baik..
Setelah bercerai talak satu atau dua, si suami boleh rujuk kembali kepada isterinya dalam tempoh eddah atau hendaklah dilepaskan isterinya itu dengan cara baik supaya dia boleh menentukan kehidupannya sendiri.
Firman Allah SWT seterusnya,
…Tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu),
Ayat ini memberi amaran terhadap suami agar tidak menuntut kembali apa-apa yang telah diberikan kepada bekas isteri sama ada mas kahwin, hantaran atau lain-lainnya
Firman-Nya yang berikut,
…kecuali jika kedua-duanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah…
Tetapi sekiranya kedua-dua pihak bimbang tidak boleh melaksanakan tanggungjawab sebagai suami isteri dengan baik, yakni si isteri bimbang akan melakukan perbuatan nusyuz disebabkan perasaan bencinya kepada suaminya atau si suami bimbang akan bertindak di luar batas syara’ di sebabkan perbuatan isterinya yang nusyuz, maka bolehlah si suami menerima apa-apa yang telah diberikan kepada isterinya melalui pencerain khulu’ (tebus talak). Perbuatan ini adalah harus dan tidak dianggap berdosa seperti yang dijelaskan Allah SWT,
Firman Allah SWT,
…Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidak menjadi berdosa mengenai bayaran (tebus talaq) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan bayaran itu oleh suami)…
Imam Bukhari, Ibn Majah dan Al-Nasaei meriwayatkan daripada Ibnu Abbas, sebab ayat ini turun kerana Jamilah iaitu isteri Tsabit bin Qais telah datang berjumpa Rasulullah saw untuk mengadu hal berkaitan suaminya. Kata Jamilah : Ya Rasulullah ! saya ingin mengadu (mengenai suamiku) Thabit bin Qais, saya tidak mencelanya kerana akhlak dan agamanya tetapi saya tidak tahan dengan sifat beliau yang panas baran dan saya pula benci melakukan kekufuran dalam Islam (kufur nikmat layanan dan pergaulan yang baik dan mengkhianatinya). Baginda bertanya : Adakah engkau sanggup mengembalikan kebunnya ? Dia menjawab : Ya. Kemudian Rasulullah saw berkata kepada Thabit : Terimalah kebun tersebut dan ceraikannya dengan talak 1.
Penceraian khulu’ adalah dari kemahuan dan kerelaan perempuan itu sendiri. Justeru, jumhur ulama menyatakan penceraian secara khulu’(tebus talaq) boleh dilakukan pada bila-bila masa sama ada di lakukan ketika isteri sedang haid atau suci. Ia berbeza dengan talak biasa dimana suami diharamkan menceraikan isterinya ketika haid dan di waktu suci yang telah disetubuhi.
Para ulama telah berselisih pendapat mengenai kadar khuluk yang perlu dibayar oleh isteri kepada suami. Setengah mereka mengatakan si suami hendaklah bertimbang rasa dan tidak boleh mengambil kadar yang lebih dari kadar yang telah diberikan kepada isteri sebelumnya kerana perbuatan itu boleh menganayai isterinya.
Manakala setengah pendapat yang lain mengatakan kadar khuluk itu terpulang kepada suami, dialah yang menetapkan berapa kadar yang perlu di bayar oleh si isteri sebagaimana si isteri berhak menetapkan kadar maskahwinnya. Namun apa yang penting kadar khuluk itu hendaklah dipersetujui antara kedua belah pihak di hadapan seorang Hakim.
Berlainan dengan talak raj’ei, mana-mana suami yang hendak rujuk kepada isterinya selepas diceraikan dengan cara khuluk, maka wajiblah dia minta kebenaran dari bekas isterinya. Dengan kata lain, rujuk itu tidak sah tanpa kehendak isteri.
Firman Allah SWT,
…Itulah aturan-aturan hukum Allah, maka janganlah kamu melanggarinya. Sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim (229) .
Seterusnya dihujung ayat ini, Allah SWT memberi amaran dan ancaman terhadap orang-orang yang melanggar hukum Allah SWT. Hukum nikah, hukum talak, hukum rujuk dan hukum khuluk adalah peraturan daripada Allah SWT. Barangsiapa membantah hukum ini Allah SWT sifatkan mereka sebagai orang-orang yang zalim, yakni zalim terhadap diri sendiri, zalim terhadap isteri, zalim terhadap anak-anak bahkan zalim terhadap masyarakat secara amnya.
Wallahualam.
Kuliah Maghrib
Ust Hj Hishamuddin Mansor
Rujukan
Tafsir Ahmad Sonhadji, Al-Munir dan Al-Azhar.
Comments
Post a Comment