Merenungi surah al-Baqarah ayat 1-10



Tafsir Al-Quran
Surah Al-Baqarah ayat 1 – 10


1. Alif laam miim

Di dalam Al-Quran terdapat 29 surah yang dimulakan dengan huruf Hijaiyah dan bilangan huruf-huruf itu pula ada sebanyak 14 huruf. Adakalanya surah itu dimulakan dengan huruf tunggal, ada surah yang dimulakan dengan dua huruf, ada yang tiga huruf, ada yang dimulakan dengan empat huruf dan ada yang lima huruf.

Berbagai-bagai pendapat ulama menghuraikan berkenaan huruf-huruf yang terdapat pada permulaan surah itu. Ibnu Abbas menerangkan bahawa ketiga huruf itu adalah isyarat kepada tiga nama Alif untuk nama Allah; Lam untuk Jibril dan Mim untuk Nabi Muhammad saw. Rabi’ bin Anas (sahabat Rasulullah saw) mengatakan Alif, Lam, Mim adalah tiga kunci : Alif kunci dari namaNya Allah, Lam kunci dari namaNya Lathif dan Mim kunci dari namanya Majid.

Namun pendapat yang paling masyhur di kalangan para mufassirin ialah hanya Allah SWT sahaja yang layak mengetahui maksud huruf-huruf tersebut.

2. Kitab (Al Quran) ini tidak ada keraguan padanya; menjadi petunjuk bagi mereka yang bertaqwa

Dalam ayat ini Allah menegaskan bahawa kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw adalah benar-benar wahyu daripada Allah SWT. Ia mengandungi pertunjuk, hidayah dan pengajaran bagi orang-orang yang taqwa.

Perkataan taqwa diambil daripada perkataan wiqayah, ertinya memelihara, iaitu memelihara hubungan baik dengan Allah SWT. Juga memelihara segala perintahNya supaya dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.

Kemudian Allah SWT menjelaskan ciri-ciri orang yang bertaqwa pada ayat yang berikiutnya.

3. Iaitu mereka yang beriman kepada yang ghaib, yang mendirikan shalat, dan menafkahkan sebahagian rezki yang Kami anugerahkan kepada mereka.

Yang pertama ialah mereka yang beriman dengan perkara ghaib. Maksud ghaib ialah sesuatu yang tidak dapat disaksikan oleh pancaindera, tidak boleh dilihat oleh mata dan tidak boleh didengar oleh telinga tetapi boleh diterima oleh akal.

Bagi umat Islam hari ini yang hidup 14 abad selepas kewafatan Rasulullah saw, yang tidak sempat melihat wajah baginda jika dibandingkan dengan para sahabat, juga dikira beriman kepada perkara ghaib sekiranya mereka percaya dengan seyakin-yakinnya ajaran yang dibawa oleh Nabi saw, mengamalkannya, menghayati sirah kehidupan dan perjuangan baginda, cinta dan kasih kepada baginda sehingga menitiskan air mata.

Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah saw dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ad-Darimi, Al-Baqawardi dan Ibnu Qani’ daripada Abi Jum’ah Al-Ansari :

قال قلت يا رسول الله هل من قوم أعظم أجرا منا امنابك واتبعناك ؟ قال : ما يمنعكم من ذلك ورسول الله بين أظهركم يأتيكم بالوحي من السماء. بل قوم يأتون من بعدكم يأتيهم كتاب الله بين لوحين فيؤمنون بي ويعملون بما فيه أولئك أعظم منكم أجرا


Maksudnya : Berkata dia (Abi Jum’ah Al-Ansari) : Aku bertanya ; Ya Rasulullah ! Adakah satu kaum yang lebih besar pahalanya daripada kami, padahal kami beriman dan kami mengikut akan (ajaran) engkau? Jawab baginda saw : Apalah akan halangannya bagi kamu (untuk beriman kepadaku), sedang Rasulullah ada di hadapan kamu, dan datang kepada kamu wahyu (langsung) dari langit. Tetapi akan ada lagi satu kaum yang akan datang sesudah kamu, datang kepada mereka Kitab Allah yang ditulis di antara dua Luh, maka mereka pun beriman kepadaku dan mereka amalkan apa yang tersebut di dalamnya. Mereka itu adalah lebih besar pahalanya daripada kamu.

Dan telah dikeluarkan hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Hibban dari Abu Saidul Khudri :

أن رجلا قال : يا رسول الله طوبى لمن راك وأمن بك قال : طوبى لمن راني وأمن بي ثم طوبى لمن أمن بي ولم يرني

Maksudnya : Bahawasanya seorang lelaki berkata kepada Rasulullah saw. Berbahagialah siapa yang melihat engkau dan beriman kepada engkau. Baginda pun menjawab : Berbahagialah bagi siapa yang melihat aku dan beriman kepadaku; dan berbahagialah bagi siapa yang beriman kepadaku, padahal dia tidak melihat aku.

Apabila seseorang mukmin itu percaya dengan seyakin-yakinnya tentang kewujudan alam ghaib seperti Syurga, Neraka, Malaikat dan Mahsyar secara tidak langsung akan melahirkan insan yang taat kepada perintah Allah SWT.

Ketaatan pertama yang perlu dilakukan ialah menunaikan solat. Sabda Rasulullah saw,

" إِنَّ أَوَّلَ مَا يُحَاسَبُ بِهِ الْعَبْدُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عَمَلِهِ صَلَاتُهُ فَإِنْ صَلُحَتْ فَقَدْ أَفْلَحَ وَأَنْجَحَ وَإِنْ فَسَدَتْ فَقَدْ خَابَ وَخَسِرَ فَإِنْ انْتَقَصَ مِنْ فَرِيضَتِهِ شَيْءٌ قَالَ الرَّبُّ عَزَّ وَجَلَّ "انْظُرُوْا هَلْ لِعَبْدِي مِنْ تَطَوُّعٍ فَيُكَمَّلَ بِهَا مَا انْتَقَصَ مِنَ الْفَرِيضَةِ ثُمَّ يَكُونُ سَائِرُ عَمَلِهِ عَلَى ذَلِكَ. "


Maksudnya: Sesungguhnya amalan yang pertama dihitung pada hari kiamat ke atas seseorang Islam itu ialah solat fardhunya. Jika didapati sempurna solatnya nescaya berbahagia dan beruntunglah dia. Sebaliknya jika tidak sempurna (dengan baik dan khyusuk), akan menyesal dan rugilah dia. Jika seseorang itu didapati ada kekurangan daripada sesuatu amalan wajibnya, maka Allah SWT memerintahkan kepada para malaikat ‘Periksalah oleh kamu semua, adakah hamba-Ku itu mempunyai amalan solat sunat yang lain; sekiranya ada amalan tersebut dapat menampung kekurangan amalan wajibnya. Kemudian cara menghitung amalan-amalan lain juga sama dengan kaedah menghitung amalan solat ini.(Sunan Tirmizi)

Dan daripada solat pula akan lahir sifat insan yang rajin berusaha mencari rezeki seterusnya membelanjakannya ke jalan mentaati Allahseperti mengeluarkan zakat, memberi nafkah kepada anak dan isteri, bersedekah dan lain-lainnya.

4. Dan mereka yang beriman kepada Kitab (Al Quran) yang telah diturunkan kepada kamu dan kitab-kitab yang telah diturunkan sebelum kamu, serta mereka yakin akan adanya (kehidupan) akhirat.

Kemudian Allah SWT menyambung lagi bahawa mereka yang bertaqwa itu ialah mereka yang beriman kepada kitab Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw di samping kitab-kitab yang terdahulu iaitu Taurat yang Allah turunkan kepada Nabi Musa, Zabur yang Allah turunkan kepada Nabi Daud dan Injil yang Allah turunkan kepada Nabi Isa a.s.

Dengan kata lain orang yang bertaqwa akan turut beriman dengan semua Nabi-Nabi dan Rasul yang Allah SWT utuskan kepada umat terdahulu.

Kemudian di akhir ayat ini Allah SWT menyatakan bahawa orang yang beriman itu juga meyakini akan kewujudan hari Akhirat. Inilah kunci penyempurnaan iman. Maksudnya kehidupan di dunia ini tidak terhenti setakat di dunia sahaja. Apa yang kita lakukan di dunia ini akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Kepercayaan kepada hari Akhirat juga menginsafkan kita bahawa apa-apa pun yang wujud di dunia ini adalah sementara, semuanya akan hancur, yang kekal hanyalah Allah SWT sahaja.

5. Mereka itulah yang mendapat pertunjuk dari Tuhan mereka (Allah), dan mereka itulah yang mendapat kemenangan.

Maksudnya, orang seperti itulah yang mendapat hidayah dan pertunjuk daripada Allah SWT. Dan orang yang mendapat pertunjuk inilah mereka yang menang di sisi Allah SWT apabila berjaya memasuki Syurga di akhirat serta terselamat dari azab neraka.

6. Sesungguhnya orang-orang kafir, sama saja bagi mereka, samada kamu beri peringatan atau tidak, mereka tidak juga akan beriman.

Setelah Allah menjelaskan sifat-sifat mukmin yang betaqwa, maka Allah SWT menyatakan pula sifat orang-orang kafir bagi menunjukka perbezaan di antara dua golongan ini. Ayat ini datang dengan lafaz umum tetapi hendaklah difahami dengan maksud khusus kerana terdapat juga orang-orang kafir yang diberi peringatan oleh Nabi Muhammad saw, mereka beriman setelah diberi hidayah oleh Allah SWT.

Justeru para ulama berbeza pendapat tentang kepada siap ayat ini ditujukan. Ada pendapat yang mengatakan ayat ini ditujukan kepada Abu Jahal, Abu Lahab dan Abu Talib yang enggan menganut Islam. Ada juga pendapat yang mengatakan ia ditujukan kepada musyrikin Mekah. Mereka tidak mahu menerima peringatan Nabi Muhammad saw yang melarang mereka menyembah berhala, jangan makan riba, jangan bunuh anak-anak perempuan, jangan ada perhambaan sesama manusia.

Di samping itu ada juga pendapat yang mengatakan ia ditujukan kepada segolongan Yahudi. Di kalangan mereka, ada yang sudah tahu bahawa ajaran Nabi Muhammad itu benar, dia adalah Nabi akhir zaman seperti yang telah tertulis dalam kitab Taurat mereka, tetapi oleh kerana perasaan hasad dengki, kerana Nabi itu ditus di kalangan bangsa arab, bukan dari bangsa mereka maka mereka mengengkarinya secara total.

Inilah contoh kekafiran mereka sama ada diberi peringatan atau tidak mereka tetap menolak ajakan Rasulullah saw untuk memeluk Islam.

Persoalan mengapa mereka tidak mahu menerima cahaya Iman ? Maka Allah SWT menjelaskan dalam firmanNya pada ayat yang ketujuh,

7. Allah Telah mengunci-mati hati dan pendengaran mereka, dan penglihatan mereka ditutup. dan bagi mereka siksa yang amat berat.


Maksudnya mereka ini telah di cap hati dan telinganya oleh Allah SWT, di patri dan dikunci sehingga tidak terbuka dan tidak bersedia untuk mendengar ajakan dakwah. Penglihatan mereka juga sudah tertutup, sebab itu apa jua kebenaran yang di bentangkan di hadapan mereka, mereka masih tidak mahu menerimanya lagi. Bagi mereka apa sahaja kepercayaan syirik yang diwarisi oleh nenek moyang dari dahulu hendaklah diteruskan secara tradisi. Orang-orang seperti inilah yang akan mendapat seksaan besar di kemudian hari.

8. Di antara manusia ada yang mengatakan: "Kami beriman kepada Allah dan hari kemudian," pada hal sesungguhnya mereka itu bukanlah orang-orang yang beriman.

Selepas Allah SWT menceritakan perihal sifat-sifat orang yang beriman pada mukaddimah surah, di susuli pula dengan sifat-sifat orang kafir, kemudian Allah SWT menyatakan pula golongan yang ketiga iaitu puak munafik yang menzahirkan keimanan tetapi pada hakikat sebenarnya mereka kufur dan tidak beriman kepada Allah SWT.

9. Mereka cuba hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, padahal mereka sebenarnya hanya menipu dirinya sendiri sedangkan mereka tidak sedar.

Maksudnya mereka cuba hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman dengan cara mengelabui mata orang ramai kononnya mereka pun mengerjakan ibadah, bersedekah dan sebagainya. Pada hakikatnya apa yang mereka buat itu bukanlah datang daripada perasaan ikhlas, tetapi kerana terpaksa, bimbang tidak mahu dipinggirkan oleh masyarakat Islam.

10. Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksaan yang sangat pedih, disebabkan mereka berdusta.

Pada ayat ini Allah SWT menjelaskan bahawa dalam hati orang munafik itu ada penyakit. Maksud penyakit di di sini ialah penyakit jiwa seperti dengki, ego, dendam kesumat, serta menganggap diri mereka amat pintar. Pada sangkaan mereka perbuatan menipu, bohong dan berpura-pura di depan orang ramai itu tidak akan terbongkar, Tetapi jangkaan mereka meleset, kerana Allah SWT akhirnya membongkarkan pembohongan merekasehingga diketahui oleh orang-orang yang beriman.

Bila Allah SWT bongkarkan pembohongan mereka, maka bertambahlah terseksa jiwa mereka kerana malu yang amat sangat dengan orang ramai. Inilah yang dimaksudkan oleh Allah SWT Lalu Allah SWT tambahkan lagi penyakitnya.

Wallahualam.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu