Nabi saw menangis


Ya, Rasulullah saw sering menangis. Baginda menangisi perihal umatnya di akhirat nanti.

Dalam sepotong hadis riwayat daripada Anas bin Malik r.a, pada satu hari Malaikat Jibril a.s telah datang menemui Rasulullah saw, dalam keadaan wajahnya yang berubah. Maka Nabi saw bertanya kepadanya : Wahai Jibril, mengapakah aku melihat wajahmu berubah ? Jawab Jibril : Wahai Muhammad (bagaimanakah wajahku tidak berubah), Aku telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk menyampaikan khabar kepadamu tentang nyalaan api neraka. Maka tidaklah layak bagi mereka yang mempercayai bahawa neraka Jahannam itu benar, siksa kubur itu benar dan siksaan Allah itu amat dahsyat untuk merasa gembira dan bersuka ria sebelum ia merasa aman daripadanya.

Lalu Nabi saw bertanya Jibril : Wahai Jibril, khabarkanlah kepadaku akan sifat neraka Jahannam itu ? Kata Jibril a.s : Wahai Muhammad, Ketika Allah Taala menjadikan neraka Jahannam, Allah menyalakan apinya selama 1000 tahun sehingga warnanya bertukar menjadi merah. Kemudian Allah menyalakannya 1000 tahun lagi sehingga warnanya bertukar menjadi putih. Kemudian Allah menyalakannya 1000 tahun lagi sehingga warnanya bertukar menjadi hitam seperti malam gelap, nyalaannya tidak pernah berhenti dan baranya tidak pernah terpadam.

Ya Muhammad, Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, sekiranya api neraka itu terbuka sebesar lubang jarum di atas dunia ini, nescaya akan terbakar dunia ini dan seluruh kehidupannya disebabkan kepanasannya. Ya Muhammad, Demi Allah yang mengutuskan engkau dengan hak, sekiranya satu baju daripada ahli neraka itu di gantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panas dan busuknya.

Ya Muhammad, Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, sekiranya satu pergelangan dari rantai besi dari neraka itu di letakkan di atas sebuah bukit (gunung) di atas dunia ini nescaya akan cair gunung itu sampai ke lapisan bumi yang ketujuh. Ya Muhammad, Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, sekiranya seorang daripada ahli neraka itu di siksa dihujung dunia sebelah barat maka akan hangus terbakarlah orang-orang yang berada dihujung sebelah timur kerana bahang kepanasannya.

Ya Muhammad, Neraka Jahannam itu sangatlah dalam jurangnya, perhiasannya daripada besi, minumannya adalah nanah, dan pakaiannya daripada api dan mempunyai tujuh pintu. Nabi saw bertanya : Wahai Jibril, adakah pintunya sama seperti pintu-pintu di rumah kami ? Jawab Jibril, tidak. Pintu-pintu neraka sentiasa terbuka, jarak dari satu pintu ke satu pintu ibarat perjalanan 70,000 tahun lamanya. Setiap pintu lebih panas dari pintu yang lain 70 kali ganda.

Tanya Nabi saw lagi : Siapakah penghuni bagi setiap pintu-pintu tersebut ? Jawab Jibril a.s : Ya Muhammad, pintu yang terbawah disediakan untuk orang-orang munafik dan orang-orang kafir serta pengikut-pengikut Firaun, yang namanya Hawiyah. Pintu kedua disediakan untuk orang-orang musyrikin yang namanya Jahim. Pintu ketiga disediakan untuk orang-orang Sobi’ein yang namanya Saqar. Pintu keempat disediakan untuk Iblis dan pengikut-pengikutnya yang namanya Ladza. Pintu kelima disediakan untuk orang-orang Yahudi yang namanya Huthomah dan pintu keenam disediakan untuk orang-orang nasara yang namanya Sae’ir.

Kemudian malaikat Jibril a.s diam sehinggalah Nabi saw bertanya lagi. Wahai Jibril, mengapakah engkau senyap, terangkanlah kepada aku penghuni neraka bagi pintu ke tujuh ? Jawab Jibril a.s : Ya Muhammad, Pintu ke tujuh dihuni oleh umatmu yang berdosa besar yang mana mereka mati belum sempat bertaubat. Maka Nabi saw apabila mendengar sahaja kata-kata Jibril, baginda terus menangis sehinggalah baginda pengsan.

Apabila melihat Rasulullah saw pengsan, maka Jibril meriba Nabi saw di atas pangkuannya sehinggalah baginda sedar kembali. Setelah sedar Nabi saw bertanya sekali lagi kepada Jibril : Wahai Jibril, sungguh besar kerisauanku, apakah ada seorang daripada umatku yang akan masuk ke dalam neraka ? Jawab Jibril : Ya, ya Rasulullah iaitu mereka yang berdosa besar di kalangan umatmu.

Nabi saw kemudian menangis lagi, Malaikat Jibril pun turut menangis. Nabi saw kemudian masuk ke rumahnya dan tidak berbicara dengan orang lain dan keluar rumah melainkan untuk solat dan apabila solat baginda sering menangis berdoa kepada Allah SWT.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu