Walimatul Urus dan hukum bersanding
Dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim daripada Anas bin Malik r.anhu katanya :
أن عبد الرمن بن عوف تزوج على عهد رسول الله (ص) على وزن نواة من ذهب فقال له (ص) أولم ولو بشاة
Maksudnya : Abd Rahman bin Auf telah bernikah di zaman Rasulullah saw dengan maharnya emas seberat biji kurma. Lalu Nabi saw bersabda kepadanya : Adakanlah jamuan makan untuk merayakan perkahwinanmu walaupun hanya dengan seekor kambing.
Berdasarkan hadis ini hukum mengadakan majlis walimatul urus (kenduri perkahwinan ) adalah sunat muakkad. Tujuannya ialah sebagai mensyukuri nikmat Allah SWT yang melepaskan pasangan pengantin ini dari maksiat serta mengiklankan perkahwinan mereka kepada orang ramai.
Ulama mazhab Shafie menegaskan bahawa memenuhi undangan perkahwinan hukumnya adalah wajib selagi tiada halangan syarei berdasarkan hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:
فمن لم يأت الدعوة فقد عصى الله ورسوله
Maksudnya : “Sesiapa yang tidak menghadiri undangan, dia telah menentang Allah dan Rasul-Nya.”
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah saw menjelaskan bahawa memenuhi undangan kenduri perkahwinan termasuk hak sesama Islam yang perlu di tunaikan. Sabda Rasulullah saw yang mafhumnya,
"Hak orang Islam atas orang Islam yang lain ada lima perkara; menjawab salam, mengunjungi orang sakit, mengiringi jenazah, menghadiri jemputan dan menjawab orang bersin”.(HR Bukhari dan Muslim)
Membawa tetamu yang tidak diundang
Jika kita menghadiri undangan majlis perkahwinan dengan membawa seseorang yang tidak dikenali oleh tuan rumah, maka hendaklah kita memaklumkan terlebih dahulu kepada tuan rumah untuk mendapat persetujuannya.
Setelah dimaklumkan, maka menjadi hak tuan rumah sama ada mahu menerima atau tidak kedatangan tetamu yang tidak dikenalinya. Hal ini bersandarkan sebuah hadis dari Abu Mas’ud r.anhu katanya,
كان من الأنصارى رجل يقال له : أبو شعيب , وكان له غلام لحام , فقال اصنع لى طعاما أدعو إليه رسول الله (ص) خامس خمسة , فدعا رسول الله خامس خمسة , فتبعهم رجل , فقال النبي (ص) : إنك دعوتنا خامس خمسة , وهذا رجل قد تبعنا , فإن شئت أذنتله , وإن شئت تركته , قال :بل أذنت له
Maksudnya : Ada seorang Ansar yang bernama Abu Syuaib r.a, beliau mempunyai seorang pekerja sebagai tukang potong daging. Maka katanya : Sediakan bagi kami makanan untuk menjamu Rasulullah saw bersama rombongan baginda seramai lima orang. Lalu diundanglah Rasulullah saw, dalam rombongan seramai lima orang itu terdapat seorang lelaki yang menumpang dari belakang. Maka sabda rasulullah saw kepada Abu Syuaib r.a : Kamu mengundan kami seramai lima orang, sedangkan terdapat seorang lagi yang menumpang kami. Jika kamu suka, maka izinkanlah dan jika tidak maka kamu boleh menolak kedatangannya. Jawab Abu Syuaib, Ya saya izinkan. (HR Bukhari)
Mendoakan tuan rumah
Apabila sudah selesai menikmati jamuan, maka sunat hukumnya kita mendoakan kebaikan tuan rumah sebagaimana doa yang diajar oleh Rasulullah saw,
اللهم بارك لهم فيما رزقنهم , واغفر لهم
Maksudnya : Ya Allah Engkau kurniakanlah berkat keatas apa-apa rezeki yang kurniakan ke atas mereka, dan ampunilah mereka serta rahmatilah mereka.
Hukum bersanding
Persandingan merupakan budaya yang dicedok daripada masyarakat Hindu seperti juga berinai. Di dalam Islam tidak disyariatkan amalan bersanding. Namun jika bertujuan sebagai kenang-kenangan dan mahu memperkenalkan pengantin yang bergelar raja sehari kepada kaum kerabat ia diharuskan.
Namun ia perlu mematuhi beberapa syarat iaitu pasangan pengantin hendaklah menutup aurat dan tidak dipertontonkan secara terbuka kepada yang bukan mahram.
Kesilapan terbesar dalam upacara bersanding dalam masyarakat melayu hari ini ialah wujudnya pelbagai kemungkaran dan maksiat seperti pendedahan aurat secara terbuka oleh pasangan pengantin. Begitu juga perihal bersalaman antara pihak pengantin dengan mana-mana lelaki atau perempuan yang bukan mahramya.
Mak Andam & Abang Andam
Sebelum bersanding, biasanya pasangan pengantin akan berkurung dalam bilik untuk di dihias oleh tukang andam. Kadang-kadang ia memakan masa yang agak lama sehingga berjam-jam.
Di zaman dahulu kerjaya mengandam ini biasanya dimonopoli oleh kaum wanita, tetapi zaman sekarang sudah ramai lelaki turut terlibat dengan kerjaya yang lumayan ini. Yang menganehkan, biasanya tukang-tukang andam dari kaum lelaki ini berwatak lembut seperti wanita (pondan) !
Sewaktu di andam, ada pengantin wanita yang sanggup mendedahkan auratnya dari hujung kaki ke hujung rambut untuk dihias oleh si tukang andam.
Ada juga pengantin yang sebelumnya istiqamah memakai tudung, tetapi di hari persandingan, mereka membuka tudungnya kerana menganggap hari itu adalah detik yang paling bersejarah dalam hidupnya. Pendekata segala kecantikkan di wajah perlu dipamerkan sehabis-habisnya.
Kemudian pasangan pengantin akan memperagakan pelbagai fesyen untuk bergambar seperti memakai pakaian punjabi, sari, cheongsam, minang , jawa dan bermacam-macam lagi. Kadang-kadang pakaian yang diperagakan menampakkan susuk badan dan mendedahkan aurat.
Dalam Islam, adalah haram kaum wanita menghias diri dihadapan orang ramai dengan melampaui batas melainkan di hadapan suami. Amalan ini disebut sebagai tabarruj. Firman Allah SWT,
"Janganlah kamu bertabarruj seperti kelakuan orang zaman jahiliah dahulu." (Al-Ahzab: 33)
Selain itu terdapat juga pengantin perempuan yang mencukur bulu kening supaya kelihatan lebih cantik dan menawan semasa bersanding. Perbuatan ini adalah haram kerana ia mengubah ciptaan Allah SWT.
Bomoh hujan
Ada juga tuan rumah yang risau jika tidak ramai jemputan yang datang ke rumahnya sedangkan perbelanjaan besar telah dihabiskan untuk menempah lauk pauk, khemah dan sebagainya. Lalu dipanggillah bomoh hujan untuk mengalihkan hujan ke tempat lain.
Sedangkan menggunakan khidmat bomoh hukumnya adalah haram dan h boleh membawa kepada syirik. Sabda Rasulullah saw,
مَنَ أَتَى كَاهِنًا فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُوْلُ فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ (ص
Maksudnya : Barangsiapa yang berjumpa dengan bomoh lalu ia mempercayai apa yang dikatakan oleh bomoh tersebut maka kafirlah ia terhadap apa yang Allah turunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Kesimpulan
Mengadakan majlis walimatul urus yang dilingkungi sifat kesederhanaan atau wasatiah, amat digalakkan malahan boleh menjadi suatu ibadah kepada mereka yang menganjurkannya.
Perlu diberi perhatian bahawa dalam majlis perkahwinan yang terpenting dan wajib ialah majlis ijab dan qobul. Manakala majlis walimatulurus itu hukumnya adalah sunat muaqqad. Justeru, yang perlu diutamakan ialah yang wajib. Bila sudah selesai yang wajib maka barulah buat perkara yang sunat mengikut kadar kemampuan.
Jangan berbelanja besar dalam hal yang tidak wajib kerana ia adalah satu pembaziran sedangkan membazir itu adalah saudara syaitan. Firman Allah SWT,
"Janganlah kamu membazir. Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaitan dan syaitan itu kufur terhadap Tuhannya". – (Al-Israa': 26-27)
Wallahualam.
Comments
Post a Comment