Harapan ayah dan bonda
Buat cahaya mata yang bakal dilahirkan
Ayahanda dan bonda
Menunggumu dengan penuh harapan
Buaian kasih mesra sudah disediakan
Hingga tidur nyenyak kami dodoikan
Biarpun perwira atau jelita
Ayahanda dan bonda terima sahaja
Kami riba , kami ciummu sayang,
Kami timang tinggi-tinggi,
Kami belai dikau wahai belahan hati
Pengarang jiwa, penyejuk rasa
Jika engkau seorang perwira
Gagah perkasa menabur bakti
Pada agama, bangsa dan negara hendaknya
Jika engkau seorang jelita
Parasmu indah berseri-seri
Menambah kembang di taman pertiwi
Memancarkan iman limpahan ilahi
Wahai penggirang jiwa
Baik perwira atau jelita
Ayahanda dan bonda menerima sahaja
Anugerah dari Tuhan itu yang utama
Semoga kehadiranmu bertambah mesra
Ikatan kasih ayahanda dan bonda
Menyemai cinta menyusur ke mati
Nota :
Buat Isteri yang bakal melahirkan, terima kasih sayang !
Comments
Post a Comment