Awas ! hadis palsu dan ciri-cirinya...

Terdapat banyak hadis sahih bahkan mutawatir yang mengecam keras orang-orang yang berbohong terhadap Rasulullah saw. Antaranya,

من كذب على متعمدا فليتبوأ مقعده من النار

Maksudnya : Barangsiapa dengan sengaja berdusta terhadapku, maka bersiaplah mengambil tempaatnya dari neraka. (Riwayat Muslim)

Satu lagi hadis,

من كذب على بنى له بيت فى جهنم

Maksudnya : Barangsiap berdusta terhadapku maka dibinakan untuknya sebuah rumah dalam neraka Jahannam. (Riwayat Muslim)

Kebanyakkan para ulama dan Imam Hadis menghukum orang yang meriwayatkan hadis palsu tanpa memberitahu atau memberi amaran kepada manusia akan kepalsuannya, maka hendaklah pemerintah menjatuhkan hukuman ta’zir yang keras.

Ciri-Ciri Hadis Palsu

Cara-cara untuk mengenali hadis palsu adalah seperti berikut :

1. Bertentangan dengan ayat Al-Quran.Contoh,

من ولد له مولود فسماه محمدا تبركا به كان هو و الولد فى الجنة

Maksudnya : Barangsiapa mempunyai seorang anak kemudian menamakannya Muhammad dengan niat untuk mengambil berkat, maka dia dan anaknya akan masuk syurga.

Hadis ini kontra dengan firman Allah SWT,

وبشر الذين ءامنو وعملوا الصلحت أن لهم جنت تجرى من تحتها الأنهار

Maksudnya : Dan sampaikanlah berita gembira kepada mereka yang beriman dan berbuat baik, bahawa mereka disediakan syurga-syurga yang mengalir sungai-sungai di dalamnya. (al-Baqarah ayat 25)

Contoh lain,

لا يدخل الجنة ولد زنا

Maksudnya : Tidak masuk syurga seorang anak yang dilahirkan hasil daripada zina.

Kontra dengan ayat Al-Quran,

ولا تزر وازرة وزر أخرى

Maksudnya : Dan tiadalah kejahatan yang diusahakan oleh tiap-tiap seorang melainkan orang itulah sahaja yang menanggung dosanya. (Al-An’aam : 164)

2. Bertentangan dengan hadis sahih,

عليكم بالوجوه الملاح والحدق السود فان الله يستحي أن يعذب مليحا بالنار

Maksudnya : Hendaklah kamu sekelian memiliki isteri yang manis rupanya dan dari keturunan bangsawan, maka sesungguhnya Allah itu enggan mengazab orang yang manis di dalam neraka.

Kontra dengan hadis sahih,

تنكح المرأة لأربع , لمالها ولحسبها ولجمالها ولدينها , فاظفر بذات الدين تربت يداك

Maksudnya : Perempuan itu dikahwini kerana empat perkara : Iaitu kerana hartanya, keturunannya, kecantikkannya dan kerana agamanya. Oleh itu pilihlah perempuan yang beragama, nescaya berbahagialah kamu. ( Mutafaq ‘alahi)

3. Terdapat ganjaran yang berlebih-lebihan yang ianya tidak layak dan tidak patut disabdakan oleh Nabi Muhammad saw. Contoh,

من قال لااله الا الله خلق الله من تلك الكلمة طائرا له سبعون الف لسان لكل لسان
سبعون ألف لغة يستغفرون الله له ومن فعل كذا وكذا أعطى فى الجنة سبعين ألف مدينة فى كل مدينة سبعون الاف قصر فى كل قصر سبعون ألف حوراء .....

Maksudnya : Barangsiapa mengucapkan lafaz La ila ha ilLallah, maka Allah akan menciptakan seekor burung untuknya yang mempunyai 70 000 lidah, setiap lidah boleh berucap dengan 70000 ragam bahasa yang mana lidah burung-burung itu semuanya beristighfar kepada Allah untuk meminta ampun ke atas dirinya. Dan barangsiapa mengerjakan demikian maka Allah Taala akan memberinya 70 000 kota di dalam syurga yang setiap kota itu terdapat 70000 pagar dan setiap pagar itu terdapat 70 000 perempuan cantik yang bermata elok …..

4. Di dalam hadis tersebut terdapat unsur-unsur dusta dan batil (tidak benar).Contoh,

اذا عطس الرجل عند الحديث فهو دليل صدقه

Maksudnya : Apabila seseorang lelaki itu bersin pada ketika meriwayatkan/ membacakan hadis maka itu menunjukkan kebenaran tentang hadis yang di riwayat / dibacakannya.

Contoh lain,

المجرة التى فى السماء من عرق الأفعى

Maksudnya : Sumber air yang berada di langit itu berasal daripada peluh seekor ular yang berada di bawah ‘Arasy.

Contoh lain,

اذا غضب الله تعالى أنزل الوحى بالفارسية واذا رضى أنزله بالعربية

Maksudnya : Jika Allah SWT sedang marah, maka Dia akan menurunkan wahyu dalam bahasa Parsi, dan apabila Dia redha maka Dia akan menurunkan wahyu dalam bahasa Arab.

Contoh lain,

أن الأرض على صخرة والصخرة على قرن ثور فاذا حرك الثور قرنه تحركت الصخرة
فتحركت الأرض وهى الزلزلة

Maksudnya : Sesungguhnya bumi itu terletak di atas batu, dan batu itu terletak di atas tanduk seekor lembu jantan, maka bila lembu itu menggerakkan tanduknya, maka bergeraklah batu tersebut, sebab itu tergoyanglah bumi dan seterusnya terjadilah satu gempa bumi.

5. Terdapat unsur-unsur penghinaan, jenaka dan gurauan. Contoh,

نبات الشعر في الأنف أمان من الجذام

Maksudnya : Tumbuhnya rambut di dalam lubang hidung itu adalah sebagai tanda terselamatnya seseorang dari penyakit kusta.

Contoh lain,

لو كان الأرز رجلا لكان حليما ما أكله جائع الا اشبعه

Maksudnya : Seandainya beras itu menjadi seorang lelaki, nescaya ianya adalah seorang yang penyabar dan pemaaf, tidaklah seseorang yang lapar itu memakannya kecuali ianya boleh mengenyangkan perut orang yang memakannya.

Contoh lain,

أتانى جبريل بهريشة من الجنة فأكلتها فأعطيت قوة أربعين رجلا فى الجماع

Maksudnya : Jibril kepadaku dengan membawa Harisah dari syurga, lalu aku memakannya, maka dengan sebab itu aku diberikan kekuatan sebagaimana kekuatan 40 orang lelaki dalam melakaukan persetubuhan.

Contoh lain,

لا تسبوا الديك فانه صديقى ولو يعلم بنو أدم ما في صوته لا شتروا ريشه ولحمه بالذهب

Maksudnya : Janganlah kamu sekelian menyabung ayam jantan, kerana ia adalah sahabatku, sekiranya anak Adam itu mengetahui rahsia yang ada pada suaranya, nescaya ia akan membeli bulu dan juga dagingnya dengan emas.

Contoh lain,

أحضروا موائدكم البقل فانه مطردة للشيطان

Maksudnya : Sediakanlah sayur-sayuran pada hidangan makanan kerana ianya dapat menghalau syaitan.

Contoh lain,

ثلاثة تزيد فى البصر , ألنظر الى ألخضرة والماء الجارى والوجه الحسن

Maksudnya : Tiga perkara yang boleh menambahkan kekuatan penglihatan iaitu selalu memandang warna hijau, memandang air yang mengalir serta selalu memandang kuat wajah yang cantik dan lawa.

Contoh lain,

ان الله ملكا من حجارة يقال له عمارة ينزل على حمار
من حجارة كل يوم فيسعر الأسعار ثم يعرج

Maksudnya : Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang berasal daripada batu. Ianya disebut sebagai imarah. Ia menunggang himar yang juga berasal daripada batu. Apabila ia turun ke bumi setiap hari, haarga barangan akan naik. Setelah itu dia naik semula ke langit.

6. Hadis itu tidak sesuai dengan akhlak Rasulullah saw. Contoh,

اذا بعثتم الى بريدا فابعثوه حسن الوجه حسن الاسم

Maksudnya : Jika kamu mengutus seseorang utusan kepadaku, maka pilihlah orang yang cantik mukanya dan bagus namanya.

Contoh lain,

حضر رسول الله صلى الله عليه وسلم مجلسا للفقراء ورقص حتى شق قميصه

Maksudnya : Rasulullah saw menghadiri majlis yang (diadakan khusus bagi orang fakir ) kemudian baginda saw menari dan berjoget sehingga koyak bajunya.

7. Bertentangan dengan ilmu kedoktoran dan etika kebersihan. Contoh,

أكل السمك يوهن الجسد

Maksudnya : Memakan ikan itu melemahkan tubuh.

Contoh lain,

عليكم بالملح فانه شفاء من سبعين داء

Maksudnya : Hendaklah kamu sekelian memakan makanan yang masin (yakni yang ada garam) kerana ianya adalah ubat daripada 70 jenis penyakit.

Contoh lain,

من أخذ لقمة من مجرى الغائط أوالبول فغسلها ثم أكلها غفر له

Maksudnya : Barangsiapa mengambil sesuap makanan atau apa sahaja yang dapat dimakan daripada tempat mengalirnya air (yang mana air itu bekas basuhan orang berak atau orang kencing) kemudiaan makanan tersebut itu dibasuhnya dengan bersih dan kemudian ia memakannya, maka Allah Taala akan mengampuni dosa-dosa tersebut.

Contoh lain,

كلوا التمر على الريق فانه يقتل الدود

Maksudnya, Makanlah kurma sebelum memakan apa-apa makanan, kerana ia boleh membunuh ulat dan bacteria atau penyakit.

8. Hadis yang mencela bangsa Habsyah dan Sudan. Contoh,

رأى طعاما فقال لمن هذا قال العباس للحبشة أطعمهم
قال لا تفعل انهم جاعوا سرقوا وان شبعوا زنوا

Maksudnya : Nabi saw melihat suatu makanan, kemudian baginda saw bertanya : Untuk siapakah makanan ini ? Kemudian Abbas r.a menjawab : Untuk orang-orang Habsyah. Kemudian Nabi saw bersabda : Janganlah kamu hidangkan makanan ini kepada mereka, sesungguhnya bila mereka dalam kenyang tentu mereka akan berzina dan bila dalam keadaan lapar mereka akan mencuri.

9. Hadis-hadis yang menceritakan tentang hari Asyura adalah batil (dusta) kecuali hadis yang berkaitan tentang puasa sunat. Contoh,

من وسع على عياله يوم عاشوراء وسع الله عليه سائر سنته

Maksudnya : Barangsiapa yang melapangkan keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan memberikan kelapangan padanya pada tahun-tahun berikutnya.

Contoh lain,

فى يوم عاشوراء تاب الله على ادم وعلى أهل مدينة يونس وفيه ولد ابراهيم وفيه ولد عيسى بن مريم وفيه فرق البحر لموسى وبنى اسرائيل وجرت ألسفينة وأخر ذلك يوم العاشوراء لعشر مضين من المحرم واستوت على الجودى فصام نوح وأصحابه والوش معه شكرا لله تعالى

Maksudnya : Pada hari Asyura Allah menerima taubat Adam a.s dan menerima taubat penduduk Bandar Yunus. Padanya dilahirkan Ibrahim. Padanya dilahirkan Isa bin Maryam. Padanya dibelah laut kepada Musa dan bangsa Israil. Dan bahtera Nabi Nuh belaayar dan berakhir pada sepuluh bulan Muharam bahtera itu berlabuh di atas bukit Judi. Nuh, sahabat-sahabatnya dan binatang-binatang buas berpuasa kerana bersyukur kepada Allah Taala.

Contoh lain,

ان الله خلق السموات والأرض يوم عاشوراء

Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah mencipta langit dan bumi pada hari Asyura.

Contoh lain,

من اكتحل يوم عاشوراء لم يرمد ذلك العام

Maksudnya : Barangsiapa memakai celak mata pada hari asyura nescaya dia tidak akan sakit mata pada tahun itu.

Contoh lain,

ما من عبد بيكى يوم قتل الحسين يعنى يوم عاشوراء الا كان يوم القيامة
مع أولى العزم من الرسل

Maksudnya : Tiada seorang pun menangis pada hari pembunuhan Al-Hussain yakni pada hari Asyura melainkan adalah dia pada hari Qiamat bersama-sama dengan para Rasul Ulul ‘Azmi.

Wallahualam.

Rujukan,

1.Himpunan Hadis Dha’if dan Maudhu’ – Drs. Abd Ghani Azmi bin Haji Idris, Percetakan Putrajaya Sdn. Bhd.

2.50 Masaalah Penting Dalam Agama Dari Tinjauan Hadis Sahih dan Dha’if, Penterjemah Abu Tobariya Al-Hafiz, Pustaka Jiwa Sdn. Bhd K.L

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu