Kes pecah rumah di Vila Suria..., pandangan dari sudut Fiqh

Latar belakang
Ini kali kedua, dalam tempoh dua bulan jenayah pecah rumah berlaku di Vila Suria. Itu tidak termasuk beberapa percubaan pecah rumah yang gagal apabila penghuninya terjaga dari tidur atau belum tidur. Rata-rata kejadian ini berlaku antara pukul 4 - 5 pagi. Pihak Persatuan penduduk sebelum ini telah mengadakan beberapa tindakan drastik susulan kes pecah rumah yang pertama dahulu. Antaranya memecat syarikat pengawal keselamatan dan menggantikan dengan syarikat keselamatan yang baru. Selain itu dua pos kawalan keselamatan telah di tambah di lokasi penjuru belakang kawasan perumahan. Syukur Alhamdulillah di lorong saya masih belum kedengaran kes seperti ini (Ya ALLAH jauhilah malapetaka ini), mungkin kerana hampir dengan pos kawalan keselamatan. Tulisan ini bukan untuk mengulas cadangan-cadangan peribadi saya, cuma ia fokus kepada fiqh jinayah.


Kedudukan barang yang dicuri...

Kebanyakkan ulama bersetuju bahawa yang dikatakan mencuri itu mestilah barang yang dicuri itu diambil dari tempat simpanannya. Maksud tempat simpanan ialah seperti rumah, kedai, khemah atau orangnya sendiri. Justeru tidak wajib di potong tangan orang yang mengambil buah yang tergantung di atas pokok. Rumah-rumah yang dianggap tempat simpanan mestilah ditutup semua pintu dan tingkapnya. Pencuri itu mestilah telah keluar dari rumah itu barulah dianggap mencuri yang boleh dihukum potong tangan.

Mesti sudah menggerakkan harta....

Elemen jenayah curi yang seterusnya ialah pencuri itu mestilah sudah menggerakkan harta tersebut daripada tempat asalnya secara tidak jujur. Walaupun dia tidak berjaya mengeluarkan harta itu daripada tempat simpanannya, tetapi dia dianggap mencuri jika telah ‘menggerakkan harta itu dengan tujuan hendak mengambilnya’. Sebagai contoh Kasim meletakkan umpan untuk kambing Ali, dengan tujuan untuk mendorong kambing itu mengikut umpan tersebut lalu mengambilnya. Jika kambing Ali mula bergerak daripada tempat asalnya menuju kepada umpan yang disediakan oleh Kasim, maka Kasim sudah dianggap mencuri.

Barang itu mesti cukup nisabnya...

Barang yang diambil itu mestilah cukup nisabnya. Mengenai kadar nisab menurut Imam Syafie dan Maliki, ialah 3 dirham daripada perak atau ¼ dinar daripada emas Manakala menurut Imam Hanafi, kadar nasab yang boleh dikenakan hukuman potong tangan ialah sebanyak 10 dirham berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Mas’ud.

Bukan barang yang diharamkan...

Barang itu bukan yang diharamkan seperti khamar atau khinzir. Justeru pencuri yang mencuri barang-barang itu tidak boleh dikenakan hukuman potong tangan. Selain itu menurut Imam Abu Hanifah, pembalasan potong tangan tidak boleh dikenakan ke atas sesiapa yang mencuri barang yang cepat rosak seperti makanan dan buah-buahan yang masih basah, roti, sayur-sayuran dan seumpamanya. Sebaliknya sesiapa yang mencuri buah-buahan kering yang tidak mudah rosak dan tahan disimpan dari setahun kesetahun maka tangannya akan dipotong. Sebahagian ulama Mazhab Hanafi, termasuk juga Abu Hanifah sendiri berpendapat bahawa tidak boleh dipotong tangan pencuri yang mencuri Al-Quran atau kitab-kitab Hadis kerana orang ramai mengguna kitab-kitab tersebut bagi tujuan membaca dan mengetahui hukum-hukum agama.

Mencuri kain kafan ?

Ulama berbeza pendapat tentang hukum mencuri kain kafan. Menurut Imam Abu Hanifah, orang yang mencuri kain kafan tidak dikenakan hukuman potong tangan kerana kain itu adalah harta yang tidak bernilai dan bukan milik si mayat dan ia juga tidak dianngap sebagai milik warisnya. Tetapi menurut Imam Malik, As-Syafie dan Hanbali orang yang mencuri kain kapan hendaklah dihukum potong tangan sekiranya mencukupi kadar nisabnya. Imam Syafie mensyaratkan kubur yang dicuri kain kafan itu hendaklah kawasan kubur yang terpelihara dan ada penjaga. Dengan kerana itu sekiranya kawasan perkuburan itu berada jauh seperti kawasan padang pasir atau belantara maka pencurinya tidak wajib dihukum potong tangan.

Ketiga-tiga Imam Mazhab iaitu Imam Malik, As-Syafie dan Ahmad berpendapat di dalam kes mencuri barang-barang yang berharga yang diletakkan bersama-sama mayat di dalam kubur, maka tidak ada pembalasan potong tangan yang dikenakan ke atas pencurinya kerana syarak tidak mengharuskan meletak barang-barang itu bersama-sama mayat.

Suami curi harta isteri atau isteri curi harta suami ?

Bagaimana kedudukan jika sipencuri mencuri harta milik suami atau isterinya. Ulama di kalangan Mazhab Syafie mempunyai tiga pendapat di dalam masaalah ini. Pendapat yang pertama ialah jika harta / wang itu dicuri daripada tempat simpanan, maka pencuri itu sama ada isteri atau suami wajib dikenakan hukum potong tangan. Tetapi jika harta / wang itu tidak disimpan maka pencuri yang mengambilnya sama ada isteri atau suami tidak akan dikenakan apa-apa hukuman.

Pendapat kedua, suami atau isteri yang mencuri harta sesama sendiri tidak wajib dikenakan hukuman potong tangan, sama ada harta / wang yang dicuri itu disimpan ataupun tidak. Pendapat ketiga dan merupakan pendapat yang paling kuat, jika harta yang dicuri itu merupakan harta khusus yang disimpan oleh isteri maka suami yang mencurinya akan dikenakan hukuman potong tangan, tetapi jika harta itu adalah simpanan suami yang khusus maka si isteri yang mencurinya tidak akan dikenakan hukuman potong tangan kerana si isteri mempunyai hak nafkah di dalam harta suaminya, tetapi bukan sebaliknya kerana si isteri tidak bertanggungjawab memberi nafkah kepada suaminya.

Pendapat ketiga di atas sesuai dengan tindakan Rasulullah saw yang telah mengharuskan Hindun isteri kepada Abu Sufiyan untuk mengambil harta suaminya sekadar yang patut untuk perbelanjaan diri dan anak-anaknya biarpun tanpa pengetahuan suaminya.”

Macam mana pula kes bapa curi harta anak dan sebaliknya ..?

Para ulama juga berbeza pendapat mengenai kes kecurian yang berlaku di antara bapa mencuri harta anak, dengan anak mencuri harta bapanya. Menurut Mazhab Hanafi dan Syafie, jika anak mencuri harta bapa hingga ke atas (datuk dan seterusnya) atau pun bapa mencuri harta anaknya hingga ke bawah (cucu dan seterusnya), mereka tidak dikenakan hukuman potong tangan.

Manakala Imam Malik rhm pula berpendapat, jika bapa mencuri harta anaknya dia tidak dikenakan hukum potong tangan kerana bapa mempunyai hak ke atas harta anaknya tetapi jika si anak mencuri harta orang bapanya maka dia akan dikenakan hukuman potong tangan kerana anak tidak mempunyai hak ke atas harta benda bapanya

Wallahualam.

Rujukan,

1.Undang Undang Jenayah Islam –Dr. Mat Saad Abd Rahman, Penerbit Hizbi Shah Alam
2.Jinayah Dalam Islam – Dr. Mahfodz Mohammad, Nurin Enterprise Kuala Lumpur
3.Milenia Muslim, Jun 2006 m.s 36.


p/s :- Lepas ni saya cadang nak pasang alarm kat rumah.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu