Berkunjung ke Felda Bukit Rokan Utara


Bergambar di hadapan Masjid Felda Bukit Rokan Utara

Kata orang tua-tua jauh perjalanan luas pemandangan. Malam tadi saya ke Masjid Felda Bukit Rokan Utara kerana memenuhi undangan menyampaikan ceramah Israk Wal Mikraj.

Tiga minggu lepas, sebelum pihak Masjid mengesahkan jemputan, mereka bertanyakan maklumat peribadi, nombor kad pengenalan, pekerjaan dan nombor surat tauliah mengajar untuk tujuan semakan dan tapisan di Jabatan Agama Islam Negeri Sembilan.

“Wah ketat betul prosedur untuk berceramah di masjid ini”, tanya saya.

“Bukan apa ustaz…, saya hanya menjalankan arahan seperti yang diminta oleh Jawatankuasa Masjid “, kata Ust Osman bin Hasan Guru Agama Felda yang menghubungi saya.


Suasana menjelang waktu Maghrib

Setelah rujukan dan tapisan di buat, barulah Ust Osman menghubungi saya mengesahkan jemputan tersebut.

"Berapa bayarannya Ustaz ?", tanya Ust Osman.

"Terpulanglah kepada pihak Masjid, saya tidak meletakkan sebarang bayaran, lagi pun saya ini bukanlah penceramah popular", jawab saya berterus terang.

Petang semalam, dengan bertemankan abang Ipar, Bahzin bin Mat Diah yang tinggal di Taman Desa Kiara Sikamat, saya bertolak ke destinasi selepas menunaikan solat Asar di Masjid Qaryah Sikamat.

Turut bersama ialah dua orang anak lelaki, Ahmad Afif Amiruddin dan Ahmad Afif Arifuddin.

Saya diminta oleh Ust Osman menggunakan jalan Kuala Pilah kerana katanya lebih dekat.

“Saya tunggu Ustaz di bangunan Tabung Haji Kuala Pilah”, pesan Ust Osman.


Dari kanan ialah Imam, Nazir dan AJK Masjid

Dalam keadaan hujan renyai-renyai saya memandu kereta Pesona milik isteri dengan kelajuan 70 ke 80 km sejam. Tiba di Bukit Putus, Ybhg Al-Fadhil Ust Haji Khushairi bin Hamthan rakan se 'classmate' ketika di SMKA SHAMS pula telefon,

“Sheikh…, malam ini anta free tak ?, Kalau free tolong gantikan ana berceramah di sekian tempat ”, tanya Ust Khushairi.

“Aasif jiddan ya akhi…, Al -Aan uridu an azhaba ila Bukit Rokan , kerana ceramah Israk Mikraj”, jawab saya menggunakan bahasa Arab rojak.

“ Ok, ana doakan anta selamat pergi dan selamat balik, pandu kereta berhati-hati..." kata Ust Khushairi.

Lebih kurang jam 6.03 minit petang kami pun sampai di bangunan Tabung Haji Kuala Pilah. Saya kemudian menghubungi Ust Osman memberitahu ketibaan saya.

“Ana pun dah sampai. Kereta Toyota Avanza ana ada di depan bangunan Tabung Haji. Ustaz tunggu sekejap, ana sekarang sedang gunting rambut”, beritahu Ust Osman.

20 minit selepas itu Ust Osman pun muncul dan terus memimpin kami ke Masjid yang dimaksudkan.


Sebahagian dari jemaah lelaki

Rupa-rupanya perjalanan dari bangunan Tabung Haji Kuala Pilah ke Masid Bukit Rokan Utara tidaklah jauh sangat, lebih kurang 30 minit sahaja.

Kami melalui Senaling, Kepis dan Jelai.

Pukul 6.45 kami pun sampai didestinasi. Pihak Masjid mengundang kami untuk makan nasi terlebih dahulu.

Dengan berlaukkan daging masak gulai cili api, sayur sawi goreng dan ikan masin sepat kami pun makan dengan berselera.

Selepas Maghrib, majlis pun dimulakan.


Kehadiran jemaah wanita amat memberangsangkan

Pukul 9.00 malam saya pun menghentikan ceramah. Cukuplah satu jam sahaja. Selepas solat Isyak dan menikmati sedikit jamuan ringan, pukul 9.33 malam kami pun pulang ke seremban.

Sampai di rumah pukul 10. 57 malam.

Di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua warga Felda Bukit Rokan Utara….., terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan ... terima kasih atas segala layanan yang diberi ... dan terima kasih segala-galanya ....

Maafkan saya jika ada kekurangan semasa menyampaikan ceramah.....Insya Allah kalau panjang umur kita berjumpa lagi…..

Noktah.

Comments

Popular posts from this blog

KENA FAHAM BAIK BAIK, AZAN PERTAMA HARI JUMAAT BELUM MASUK WAKTU ZUHOR !

UMRAH : CARA MENYAMPAIKAN KIRIMAN SALAM KEPADA RASULULLAH

Hukum menipu