Pengalaman menduduki peperiksaan di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya
Semalam saya menghadiri peperiksaan bertulis dan lisan sebagai Guru Pembimbing Ibadah Haji di Kompleks Haji Kelana Jaya.
Bila sampai, saya melihat ramai Ustaz dan Ustazah sudah menunggu sejak awal pagi. Mereka datang dari seluruh Negara.
Ada yang sedang membaca nota, ada yang sedang berbual-bual dalam bahasa Arab dan ada juga yang relaxs sahaja.
Di kalangan mereka ada yang memiliki jazah Master dari dalam mahu pun luar Negara.
Latar belakang kerjaya juga agak hebat, ada yang berkhidmat sebagai Pegawai Hal Ehwal Agama Islam di JAKIM, ada yang bekerja di Jabatan-Jabatan Agama Islam, ada yang berpangkat Mejar dalam KAGAT, ada Pensyarah-pensyarah IPTA, ada bekas Qadhi, ada bekas Pengetua Sekolah Ma’had dan ramai lagi.
"Anta kerja di mana ?", tanya saya bila berjumpa seorang Ustaz dari Seremban.
"Ana kerja sebagai Pensyarah di Institut Perguruan Raja Melewar", jawabnya.
Saya cuba melihat diri saya….., Masya Allah… siapalah saya jika dibandingkan dengan mereka semua.
Saya hanyalah seorang ‘Ustaz Soghir ‘, ilmu pun tidaklah setinggi mereka.
Justeru, saya memujuk hati saya agar tidak meletakkan harapan yang terlalu tinggi disebabkan saingan yang agak sengit.
Peperiksaan bertulis bermula.
Tepat jam 9.00 pagi peperiksaan pun bermula.
Ada 20 soalan objektif dan 5 soalan subjektif.
Alhamdulillah soalannya agak mudah kerana ia berkait dengan perkara-perkara asas dalam ibadah Haji. Saya yakin semua calon Guru-Guru Pembimbing Ibadah Haji boleh menjawab dan mendapat markah cemerlang.
Lembaga Tabung Haji meletakkan syarat mesti lulus dengan mendapat markah 75 peratus sebagai standard untuk ditauliahkan sebagai Guru Pembimbing Ibadah Haji.
Peperiksaan lisan
Pukul 10.30 pagi, sesi kedua pun berlangsung. Kami dipecahkan kepada 6 kumpulan.
Satu kumpulan 14 ke 15 orang.
Saya dikumpulkan dalam kumpulan satu. Ada 14 orang kesemuanya. Giliran saya nombor 8.
Panel penemuduga bagi kumpulan satu ialah Yang Berbahagia Sheikh Dr. Haji Muhammad Uthman El-Muhammady dan Yang Berbahagia Prof. Madya Dr. Hajah Anisah Binti Abd. Ghani.
Setiap orang ditanya selama 15 ke 20 minit.
Respon dari mereka yang sudah selesai di temuduga menunjukkan soalan yang ditanya agak berbeza. Kalau sama, mudahlah saya membuat persiapan.
Prof Madya Dr Hajah Anisah lebih banyak bertanya mengenai ibadah Haji manakala Sheikh Dr. Haji Muhammad Uthman El-Muhammady lebih bertanya kepada pengetahuan am.
Tiba giliran saya
Tepat jam 12.57 minit tengah hari, ketika perut mula berkeroncong, nama saya pun dipanggil.
Dengan lafaz Bismillah saya pun masuk dengan tertib. Setelah bersalaman dengan Dr Muhammad Uthman El-Muhammady, saya duduk mengadap mereka berdua.
“Tawakal kepada Allah”, hati saya berbisik.
Prof. Madya Dr Anisah binti Abd Ghani mula menyemak ijazah dan sijil-sijil saya.
“Anta sudah ada tauliah mengajar di Negeri Sembilan ?”, soalan pertama dari Prof. Madya Dr. Hajah Anisah.
“Sudah, tauliah saya ada pada muka surat dua dalam folder. Saya ditauliah oleh Sahibus Samahah Dato’ Sheikh Haji Muhd Murtadza bin Haji Ahmad , ketika itu dia menjadi Mufti Kerajaan Negeri Sembilan”, jawab saya berterus terang.
Semasa menyebut nama Sheikh Haji Murtadza bin Sheikh Haji Ahmad, sengaja saya kuatkan sedikit supaya di dengari oleh Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.
Saya tahu Dr Muhammad Uthman El-Muhammady seorang tokoh yang amat menyintai amalan kesufian. Beliau dan Sheikh Haji Murtadza adalah rakan baik yang sangat keras menentang fahaman Wahabi.
“Sheikh Haji Muhd Murtadza ?”, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady menyampuk.
“Ya, saya mendapat tauliah terus dari Sahibus Samahah Dato’ Sheikh Sheikh Haji Murtadza”, jawab saya bersungguh-sungguh.
“Dia kawan baik ana”, Dr Muhammad Uthman El-Muhammady tersenyum gembira.
Prof. Madya Dr. Anisah meneruskan soalan kedua.
“ Apa erti Tahalul ?”, tanyanya.
“Tahalul ertinya melepaskan diri dari pantang larang ihram semasa mengerjakan Haji”, jawab saya lancar.
“ Apa beza Nafar Awal dan Nafar Thani ?”, soalan ketiga dari Prof Madya Dr Anisah.
Dengan tenang saya menjawab,
“Nafar Awal ialah apabila seseorang jemaah hajitu meninggalkan Mina pada 12 Zulhijjah dengan niat tidak mahu kembali semula ke tempat itu sebelum terbenam matahari dengan syarat dia hendaklah selesai melontar Jamratul Aqabah serta melontar Jamratul Ula, Wusta dan Aqabah pada 11 dan 12 Zulhijjah. Manakala Nafar Thani ialah apabila seseorang itu keluar dari Mina pada 13 Zulhijjah setelah melakukan semua kerja-kerja melontar, seperti Jamratul Aqbah dan hari-hari Tasyrik.”, jelas saya.
Prof. Madya Dr Anisah terus mengasak dengan soalan ketiga,
“ Siapakah yang dikecualikan daripada melaksanakan Tawaf Wada’ ?”, tanyaya.
Bagaikan memberi bola tanggung, saya terus melipat,
“Mereka yang dikecualikan daripada melakukan Tawaf Wada’ ialah perempuan yang datang haidh dan jemaah haji yang sakit atau uzur ”, jawab saya.
Tanpa membuang masa Prof. Madya Anisah terus melontarkan soalan keempat,
“Bilakah seseorang itu boleh mengupah orang lain untuk melakukan lontaran bagi pihak dirinya ?”.
Saya menjawab,
“Seseorang itu boleh mengupah orang lain untuk melaksanakan lontaran bagi pihak dirinya setelah mendapat pengesahan dari doctor. Dan upah itu hedaklah dilaksanakan sebelum berakhirnya 13 zulhijjah. Dengan kata lain seseorang itu tidak boleh sewenang-wenang mengupah orang lain untuk mengerjakan lontaran bagi pihak dirinya sebelum tarikh itu kerana dibimbangi dia kembali sehat sediakala”.
Saya melihat Prof. Madya Anisah tersenyum.
“Baik sekarang saya serahkan kepada Dr Muhammad Uthman El-Muhammady untuk bertanya soalan kepada Ustaz ”, katanya.
“Cuba anta baca surah Al-Fatihah”, soalan pertama dari Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.
Saya pun membacanya seperti saya menjadi imam solat berjemaah di Masjid mahu pun Surau.
“Sebutkan perkara-perkara dalam tasawuf yang membantu kita untuk khusyuk dalam solat ?”, tanya Dr Muhammad Uthman El-Muhammady untuk soalan kedua.
Masya Allah….. ini soalan maut yang betul-betul saya tidak sangka.
Saya teringat masa belajar dengan Prof Zakaria Stapa ketika mengambil paper Tasawuf 1 di UKM.
Dengan ingat-ingat lupa saya menjawab,
“Menurut Hujjatul Islam Imam al-Ghazali, bagi membantu seseorang itu untuk khusyuk dalam solat dia hendaklah menghadirkan dalam hatinya perasaan Raja’, khauf, tafahhum, takzim,hayak dan ……… minta maaf Dr, saya tidak ingat. ”, jawab saya berterus terang.
Dr Muhammad Uthman El-Muhammady hanya tersenyum.
Adakah dia tersenyum kerana jawapan saya salah atau betul, wallahualam.
“Kholas”, respon dari Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.
“Terimakasih Dr., Prof.., ”, kata saya minta izin untuk keluar.
“Oh ya, jika anta balik ke Seremban dan berjumpa dengan Sheikh Haji Muhd Murtadza, sampaikan salam ana pada dirinya”, kata Dr Muhammad Uthman El-Muhammady.
“Insya Allah”, jawab saya.
Apabila saya keluar dari bilik temuduga, ramai calon-calon lain terperanjat.
“Eh, kenapa anta cepat sangat, baru tujuh minit dah keluar ?”, tanya mereka.
Saya mengangkat bahu.
Adakah ini petanda awal yang saya...... atau waktu Zuhor pun sudah dekat.
Apa pun saya berserah kepada Allah SWT.
Wallahualam.
p/s – Terima kasih kepada Abang Jamal dari Bandar Warisan Puteri Sikamat kerana sudi membawa saya ke Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Semoga Allah SWT membalas jasa baik tuan.
Comments
Post a Comment